Bulan ini kita saksikan dua peranti boleh lipat terbaru yang dilancarkan. Selain ciri AI, mana-mana jenama berlumba-lumba untuk memberitahu kepada pengguna bahawa peranti mereka adalah yang ternipis dan teringan di dunia.
Baru-baru ini, Ice Universe memuat naik video di X yang mana ia menunjukkan HONOR Magic V5 bukan ternipis di dunia tetapi peranti pesaingnya dari Korea Selatan.
Bagi meredakan isu tersebut, HONOR tampil memperjelaskan kepada gsmarena. Mereka menyertakan bukti bergambar di mana apabila Magic V5 diukur dengan kaliper, ia masih disahkan bahawa telefon itu nipis seperti yang didakwa. 8.80mm bila ditutup dan 4.10mm bila dibuka.
Sementara, ujian yang dilakukan Ice Universe tempoh hari memperlihatkan telefon dari Korea Selatan itu berukuran 8.79mm bila ditutup dan 8.95mm bagi Magic V5.
Menurut HONOR;
Data ini diperoleh daripada Makmal HONOR. Ketebalan 8.8mm merujuk kepada model Ivory White dalam keadaan dilipat, tidak termasuk lapisan pelindung skrin dalaman dan luaran serta bahagian kamera yang menonjol. Berat 217g pula adalah untuk model Ivory White tanpa mengambil kira pelindung skrin dalaman. Nilai sebenar mungkin berbeza bergantung pada konfigurasi, proses pembuatan, dan kaedah pengukuran. Sila rujuk pada peranti sebenar untuk maklumat yang lebih tepat.
Apa yang saya boleh katakan, setiap jenama ada “cara tersendiri” dalam mengukur tebal peranti. Ini juga yang berlaku semasa kami mengulas OPPO Find N5 yang mana OPPO ada bagi panduan cara mengukur ketebalannya.
Tidak lama lagi, akan ada satu lagi peranti boleh lipat fold yang bakal masuk ke pasaran tempatan dan mungkin pengguna akan pening, “siapa paling nipis?”. Skrip ini saya ibaratkan seperti cerita P. Ramlee — “Do ke Minah yang mati dulu”.
Benarlah apa yang saya katakan dalam artikel sebelum ini bahawa peranti boleh lipat akan jadi medan perang terbaru dalam inovasi telefon pintar.
Apa-apa pun, pada pandangan peribadi saya, tidak perlu bergaduh untuk membuktikan siapa paling nipis di dunia. Apa guna peranti nipis kalau bateri kecil dan cas lambat?
Sudah sampai masanya jenama-jenama telefon untuk fokus kepada spesifikasi, perisian, harga munasabah dan sokongan servis lepas jualan.
Setakat perbezaan 0.1mm atau 0.01mm sekali pun, sukar untuk pengguna biasa membezakannya.
{suggest}