Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Samsung Terlalu Selesa, Makin Hilang Sentuhan Inovasi — Ini Realiti Pahit Yang Harus Ditelan

Posted on Julai 16, 2025

Samsung, nama yang memang tak perlu diperkenalkan lagi. Jenama yang popularnya melangkaui batas umur dan latar belakang. Bahkan, orang buta teknologi pun pasti kenal.

Produk mereka merangkumi segala segmen, daripada gajet seperti telefon, tablet, komputer riba, jam tangan pintar, hinggalah ke peralatan rumah seperti mesin basuh, penyaman udara, peti sejuk, televisyen, dan banyak lagi.

Nama “Samsung” sendiri dah jadi sinonim dengan teknologi. Tapi sebagai pengguna lama dan pemerhati perkembangan industri, saya makin rasa satu benda, Samsung dah jadi terlalu selesa.

Bukan maksud saya produk mereka tak bagus. Tapi bila dibandingkan dengan momentum inovasi beberapa tahun lepas, sekarang macam suam-suam kuku.

Dulu mereka rancak eksperimen, siap sindir Apple kononnya lambat inovasi. Sekarang? Dua kali lima. Samsung sendiri dah makin mirip Apple—terlalu berhati-hati, kurang berani mencuba perkara baharu, isu lama masih berulang (terutama bab skrin), dan harga pula makin lama makin naik.

Sedangkan jenama telefon dari China sekarang jauh lebih laju dan agresif dalam hal inovasi.

Lebih kepada ‘play safe’

Apabila saya bercakap tentang telefon dari China, mereka bukan setakat mengejar tetapi saya lihat mereka dah mula tapau Samsung dalam beberapa segmen.

Kelas permulaan atau mampu milik? Segmen ini sudah dipenuhi jenama Infinix, TECNO, Redmi.

Kelas pertengahan? Sama juga, Infinix, Xiaomi, OPPO, vivo dan HONOR. ‘Flagship’ bajet? Pun sama, jenama Xiaomi, HONOR, vivo sudah pegang.

Mengambil contoh, HONOR ada berkongsikan bahawa mereka kini sedang menguasai pasaran telefon yang berharga sekitar RM1,500 – RM3,000.

Saya sendiri yang selalu menjengah ruangan komen serta komuniti pengguna di media sosial, ramai sudah sedar dan tahu mahu pilih peranti mana yang berbaloi dengan bajet.

Lihat saja Galaxy Z Fold7 yang baru sahaja dilancarkan. Mungkin ada segelintir yang nampak ia mengagumkan. Rekaan lebih nipis, kamera 200MP dan lebih premium.

Memang tidak dinafikan, saya berani katakan peranti-peranti Samsung memang feel premium. Mirip bila pegang peranti Apple.

Walaupun begitu, hakikatnya adalah Samsung sudah jauh ke belakang terutama dalam segmen telefon boleh lipat. Setiap peranti baharu, lebih kepada peningkatan kecil sahaja. Macam pernah dengar bukan? Ya, inilah yang Apple buat setiap tahun.

Xiaomi Mix Flip
OPPO Find N2 Flip

Dulu, Samsung antara terawal dalam ‘game’ peranti lipat ni. Sekarang? Mereka terpaksa mengikut rentak jenama dari China. Contohnya, telefon OPPO Find N2 Flip yang ada skrin luar besar, Samsung baru mahu buat pada Z Flip5.

Bagi saya, segmen peranti boleh lipat ini adalah pentas sebenar dalam inovasi telefon pintar. Ini kerana telefon biasa yang sedia ada ibarat sudah sampai kemuncak. Saya sendiri sudah mula bosan dengan telefon standard dan lebih berminat dengan foldable.

OPPO Find N3
OPPO Find N5

Kita lihat jenama dari China, sudah banyak inovasi yang dilakukan. Peranti jauh lebih nipis, lebih ringan. Bukan itu sahaja, peranti nipis itu masih mampu menawarkan bateri silikon-karbon berkapasiti sehingga 6000mAh. Malah, cas pun sangat laju.

Samsung pula masih ditakuk lama. Bateri 4,400mAh dan pengecasan 25W. Ini memang tidak masuk akal untuk sebuah peranti yang cecah harga RM8k.

Adakah Samsung masih mempunyai mimpi ngeri Galaxy Note 7 meletup?

Apa kekuatan Samsung sebenarnya?

Anda jangan salah faham, Samsung masih lagi ada kelebihan dalam beberapa perkara. Misalnya sokongan kemas kini yang lebih lama dan One UI merupakan antara muka yang kemas dan stabil dalam Android pada pendapat saya.

Selain itu, Samsung juga kerap menjadi terawal sejak kebelakangan ini. Penggunaan kaca Corning Gorilla terbaru, pertama yang hadir dengan ciri AI baharu Google dan penggunaan cip pemprosesan khas yang berkuasa dari Qualcomm (Snapdragon for Galaxy).

Ekosistem Samsung juga tidak terhad kepada gajet, ia merangkumi keseluruhan yang mana rumah pintar dengan peranti-peranti Samsung.

Kemudian, macam saya kata sebelum ini, barisan peranti Samsung memang terasa premium bila pegang.

Andai saya diberi pilihan untuk tinggalkan ekosistem Apple, Samsung dalam senarai saya selain HONOR.

Bukan itu sahaja, jenama Samsung itu sendiri sudah cukup kuat. Mahal macam mana atau teruk sesuatu produk itu, masih akan ada pengguna tegar membelinya.

Sama sahaja bagi mana-mana jenama di dunia ini. Tetap akan ada orang beratur membeli.

Pengguna mula bosan dan beralih

Namun, apa gunanya semua itu. Samsung sebagai jenama keseluruhan memang cukup kuat tetapi dalam segmen telefon pintar, tablet, jam tangan pintar, komputer riba, mereka semakin hilang kekuatan atau terus terang saya kata hambar.

Pengguna masa kini sudah semakin bijak. AI yang sentiasa diiklankan itu secara tidak langsung membuka mata pengguna sendiri untuk memilih mana yang baik.

iPhone 16 & iPhone 16 Pro

Nama Samsung tidak sekuat Apple. Walaupun Apple kurang inovasi, tidak banyak perkara baharu ditawarkan dan sentiasa lambat sedangkan pesaingnya sudah lama buat tetapi kuasa membeli serta kepercayaan peminatnya sangatlah kuat. Baik di Malaysia serta global.

Ini bukan cakap kosong tetapi semuanya berlandaskan fakta dan data. Saya ambil contoh tablet. Sehebat mana spesifikasi yang ada dalam tablet pesaingnya, iPad sentiasa mendominasi pasaran tablet.

Sumber: Canalys

Jam tangan pintar pula, walaupun kritikan demi kritikan netizen seperti “bateri tak tahan lama”, “hari-hari kena cas”, kategori ini masih didominasi Apple. Cuma, data IDC baru-baru ini sahaja yang menampakkan jenama lain memintas Apple di mana Huawei sudah mula menerajui pasaran ini.

Memang tidak dinafikan, jam tangan pintar Huawei sudah cukup baik untuk berdiri sama tinggi dengan Apple. Malah, mereka juga ada segmen bawah RM1000 tetapi ciri-ciri yang ditawarkan sangatlah baik. Samsung? Tiada dalam radar.

Bagaimana pula dengan telefon pintar?

Sejak dahulu lagi, siri Galaxy S sukar menembusi dalam 10 telefon paling laris di dunia.

Pada tahun 2024, Galaxy S24 tersenarai juga tetapi itu berada di kedudukan 10. Adakah orang tidak beli telefon Samsung? Bukan begitu. Orang masih membeli tetapi hanyalah model siri Galaxy A yang mana anda sendiri tahu, ia lebih mampu milik.

Samsung sendiri mengakui yang siri Galaxy A adalah yang popular.

Menurut data Canalys, iPhone mendominasi pasaran telefon pintar global sepanjang tahun 2024.

Bagaimana pula prestasi telefon Samsung untuk tahun 2025?

Setakat artikel ini ditulis dan data yang diperoleh, model Galaxy S akhirnya berjaya naik anak tangga di mana S25 Ultra berada di kedudukan ketujuh. Apa saya perasan, ini berkait rapat dengan apa saya tulis di atas tadi, iaitu kekuatan Samsung — antara terawal yang pakai (ciri AI, cip berkuasa, perlindungan kaca Corning Gorilla terbaru).

iPhone yang kurang berinovasi masih sentiasa mendominasi pasaran telefon pintar global.

Di Malaysia sendiri, rakyat kita cenderung ke arah jenama dari China. Xiaomi, Infinix, TECNO, HONOR, vivo dan OPPO. Salah satu faktor semestinya harga yang lebih murah.

Namun, apa saya perhati di ruangan komen dan komuniti di media sosial, pengguna akan beli peranti yang harga kena dengan spesifikasi dan tidak banyak mendatangkan masalah.

Rata-rata pengguna sudah banyak beralih jenama. Laungan “baik beli” pun sentiasa kelihatan.

Jika mahu AI, kebanyakan peranti ada AI dan jujur saya katakan, orang lebih banyak guna bot sembang AI berbanding yang terbina di dalam peranti.

vivo X200 Pro

Mahu gambar cantik? Jenama dari China sudah maju ke hadapan. vivo, Xiaomi, HONOR, OPPO, dan Huawei jauh lagi cantik hasil gambarnya. Bukan AI semata, ia diiringi sistem kamera serta saiz sensor yang besar.

HONOR Magic V5

Harga peranti pun semakin hari semakin mahal. Sedangkan pesaingnya boleh jual murah. Seperti peranti lipat HONOR Magic V5, mereka boleh kekalkan harga sama tiga tahun berturut-turut walaupun spesifikasi berbeza dan lebih baik.

Telefon andalan vivo, Xiaomi, OPPO pun pandai bermain harga untuk menarik minat pembeli.

Samsung kena berubah, jangan terlalu selesa

Samsung pernah jadi simbol inovasi. Saya sendiri pernah menggunakan telefon pintar Samsung satu ketika dahulu.

Tapi sekarang, mereka semakin tenggelam dalam zon selesa. Dalam dunia teknologi yang bergerak pantas, terlalu selesa itu bahaya.

Terlalu selesa atau ego yang tinggi boleh menjatuhkan sesiapa sahaja, tak kiralah sehebat mana pun jenamanya.

Kalau Samsung ingin terus relevan, mereka perlu berani untuk kembali radikal yang mana mengambil risiko, mencipta produk yang mengejutkan dunia teknologi, bukan sekadar penambahbaikan kecil saban tahun.

Samsung masih ada kelebihan, mereka masih ada kemampuan dalam industri teknologi global. Mereka ada kepakaran tetapi mereka dilihat ikut strategi Apple. Tenang dan santai.

Mereka ibarat Apple juga, yang masih setia dan teruja hanyalah peminat sejati atau ‘kipas susah mati’ sahaja.

Nak tak nak, Samsung kena kembali keluar daripada zon selesa. Jenama dari China semakin maju bukan sahaja dalam segmen telefon pintar tetapi merangkumi AI, rangkaian, EV, panel skrin dan banyak lagi.

Kalau Jepun pun akui kemampuan industri automotif China yang dahulunya jadi bahan ketawa, sekarang di mana mereka?

Oleh itu, Samsung memang sepatutnya takut. Namun, adakah Samsung mampu?

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress