HONOR Magic V5 hadir ke pasaran tempatan pertengahan Julai lepas, ia meneruskan kesinambungan Magic V3 yang mana saya anggap sebagai penanda aras baharu bagi telefon lipat.
Sebagai peminat peranti boleh lipat, saya memang sentiasa nantikan apa penawaran atau pembaharuan yang bakal ditawarkan dalam peranti sebegini.
Ini kerana dari segi spesifikasi, rekaan, Magic V5 sudah kemas, premium dan masih ringan. Saya tak ada isu sangat bab spesifikasi. HONOR sudah melakukan perkara yang baik, termasuklah harga di mana HONOR kekalkan dari generasi kedua sehinggalah keempat ini.
Namun, apa saya boleh katakan kepada HONOR — bergerak ke hadapan nanti, bukanlah pada bentuk fizikal atau kekuatan peranti itu lagi.
Sebaliknya, HONOR perlu lebih agresif pada perisian. Ini peranti foldable, jadi, ia mestilah memfokuskan perisian yang khusus untuk segmen ini.
Klik pautan ini untuk spesifikasi penuh.
Ciri MagicOS Sudah Baik Tapi Tak Cukup Wow
Dalam sesebuah peranti, ciri-ciri perisian amatlah penting bagi saya kerana kita akan menggunakannya setiap hari. Lebih-lebih lagi sebuah telefon boleh lipat.
Saya bagi anda contoh, apa yang membezakan tablet dan telefon selain daripada saiz skrin yang besar? Sudah tentu ciri yang ditawarkan terutama fungsi multitugas.
Inilah yang saya mahu tekankan pada peranti Magic V5.
Bukanlah saya nak kata MagicOS 9 ini teruk tetapi ia macam tak cukup wow. Ia sudah baik tetapi HONOR boleh bagi yang lebih baik.
Fungsi multiflex yang mana membolehkan penggunaan tiga aplikasi serentak secara sebelah menyebelah sudah cukup baik. Ini mengingatkan saya akan telefon OPPO Find N3 dahulu. Bezanya, cara penyampaian HONOR dan OPPO sahaja.
Selain itu, Quick Layout pun bagi saya menarik untuk digunakan kerana tekan sahaja bahagian ini dan pilih sahaja aplikasi yang ingin masuk ke dalam multitugas.
Namun begitu, ciri sebegitu diikutkan sudah ada atau lebih kurang dengan pesaingnya yang lain.
Saya fikir, mungkin peranti jenis lipat memang terhad untuk menawarkan ciri multitugas macam ini sahaja.
Akan tetapi saya silap, rupa-rupanya ada ruang untuk ditawarkan. Apa dia? Ciri mirip pada tablet dan dibawa masuk ke telefon lipat.

Perkara inilah yang saya lihat dan sangat tertarik ketika menggunakan vivo X Fold5 menerusi ciri Origin Workbench.
Sekilas pandang bila saya menggunakannya, ia mirip fungsi stage manager dalam iPad. Tetingkap mudah untuk dilaras saiznya, mudah juga untuk saya memilih aplikasi mana untuk digunakan. Sangat pantas, sangat efisien.
Pengalaman sebeginilah yang patut wujud dalam mana-mana telefon lipat. Bukan nak gantikan tablet mahupun komputer riba tetapi orang yang membeli telefon lipat adalah disebabkan produktivitinya.
Kenapa perlu bawa tablet dan laptop apabila berjumpa klien sedangkan semuanya boleh dilakukan dengan ‘phablet’?
Kamera Harcourt Studio Menarik, Tapi Pesaing Lebih Garang
Ini adalah tahun kedua penawaran Harcourt Studio dalam telefon lipat HONOR. Kesan khas dalam mod potret ini memang kemas dan cantik.
Walaupun kali ini sudah ada benda baharu, iaitu simulasi filem tetapi bagi saya itu tidak cukup. HONOR tidak boleh terlalu selesa.
Jika saya nak bandingkan dan meletakkan telefon HONOR ini dengan pesaingnya — OPPO, vivo, Huawei dan Xiaomi, HONOR sedikit tertinggal.
Kolaborasi vivo+ZEISS, OPPO+Hasselblad, Xioami+Leica dan juga Huawei dengan sistem XMAGE sebenarnya memang membuahkan hasil. Ia sedikit sebanyak memberi kelebihan buat mereka.
Setiap hasil gambar itu akan memberikan keunikan tersendiri. ‘Color science’ setiap peranti itu sudah membezakannya. Belum lagi sistem kamera seperti saiz sensor, teknologi lensa serta pemprosesan imej.
HONOR+Harcourt Studio ada seninya dan keunikannya tetapi HONOR Perlu lebih garang dalam fotografi andai kata mahu serius lawan pesaing.
Saya tak nak cakap tentang kamera Apple, Samsung atau Google kerana bagi saya jenama dari China jauh lebih kehadapan dalam fotografi.
Mungkin HONOR perlu mencari jalan untuk mempertingkatkan lagi bahagian kamera.
Jangan salah faham, kamera HONOR bukan tak cantik tetapi ada ruang yang boleh diperbaiki lagi.
Kekalkan Yang Lain
Selain kekurangan pada perisian dan kamera, HONOR sudah melakukan tugas yang baik untuk telefon lipatnya.
Telefon ini sudah cukup nipis, ringan, tahan lasak dan sedap digunakan. Saya pernah tanya HONOR semasa acara IFA Berlin 2024 berkaitan telefon lipat ini.
Adakah peranti seterusnya akan masih mengekalkan strategi ‘foldable ternipis’ tetapi saya tidak dapat jawapan yang diharapkan.
Teknologi bateri pada peranti nipis ini pun sangat baik. Saya tak pernah risau akan kehabisan bateri kerana memang cukup tahan dan cas pun laju.
Namun, mungkin dah tiba masanya HONOR menggunakan protokol baharu bagi pengecasan pantas di Malaysia seperti mana diumumkan sebelum ini di mana kelajuan maksimum cas masih dapat dinikmati meskipun menggunakan palam serta kabel berlainan.
Bab prestasi pula saya tidak perlu cakap banyak kerana memang mencapai standard yang saya harapkan. Walaupun ada saya lihat yang orang katakan peranti ini panas apabila bermain game, saya tidak mengalami isu itu.
Setakat suam-suam, itu biasa. Lagi pun, ini bukanlah peranti gaming. Buat pengetahuan, memang saya menggunakan peranti ini untuk bermain game. Sebelum ini saya gunakan ROG Phone 8 Pro.
Kekurangannya sudah semestinya tiada banyak ciri gaming. Namun kena ingat, ini telefon lipat, bukan telefon gaming.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, HONOR Magic V5 masih lagi salah satu telefon lipat terbaik tahun ini. Ia cemerlang dari segi rekaan dan spesifikasi.
Walau bagaimanapun, macam yang saya katakan di atas, HONOR perlu lebih berani jika benar-benar mahu menjadi peneraju foldable dunia. Ia perlu lebih berjiwa foldable. Bagi ada beza di antara telefon dan telefon lipat.
Kamera pun perlu dipertingkatkan lagi. Bukan untuk telefon lipat sahaja tetapi kamera di telefon HONOR yang lain pun sama.
Sampai bila taktik pemasaran “paling nipis” ini akan digunakan? Jujur saya kata, cukup ini yang terakhir kerana lambat laun, pengguna akan jemu kerana pesaing HONOR pun sudah guna taktik sama.
Akhir kata dari saya, telefon lipat seterusnya dari HONOR perlu kekalkan apa yang baik sekarang termasuk harga berpatutan tetapi kena hadir juga keunikan lain. HONOR perlu lebih agresif, barulah boleh menguasai pasaran segmen telefon lipat.
{suggest}