HONOR Magic V3 secara rasminya sudah dilancarkan untuk pasaran global dan juga pasaran Malaysia serentak.
Kalau dulu, ia merupakan telefon lipat paling ringan dan nipis. Kali ini, pun sama juga. Katanya, inilah telefon lipat ternipis dan ringan di dunia buat masa sekarang.
Namun, rekaan macam itu saja tak cukup. Belon masih boleh terbang atau masih tak tenggelam bila letak atas kertas pada air. Perkara ini, bukanlah pengguna macam kita akan buat betul?
Kita mahukan peranti yang betul-betul bagi fungsi dan manfaat pada kita.
Kalau dahulu, saya memang kagum dengan telefon lipat keluaran jenama-jenama China. Mereka tidak kedekut dalam memberikan sesuatu kepada pengguna. Malah, mereka all-out dari segi rekaan dan perkakasan.
Akan tetapi, mereka ini semua sedikit kurang dari segi perisian. Pengalaman penggunaan agak terkebelakang berbanding pesaing rapatnya, iaitu tak lain tak bukan Samsung.
Bagaimanapun, OPPO Find N3 atau versi di negara lain, OnePlus Fold dah buka mata kepada semua yang sebenarnya telefon lipat ini ada je ruang untuk diinovasikan.
Macam HONOR Magic V3 ini, saya dah gunakan hampir dua minggu dan sejujurnya, saya suka.
spesifkasi
[specs]
Cip: Snapdragon 8 Gen 3
Memori: 12GB RAM + 12GB RAM Turbo
Storan: 512GB
Sistem Operasi: MagicOS 8.0.1, Android 14
Skrin: 6.43 inci LTPO OLED 120Hz (luar), 7.92 inci LTPO OLED 120Hz (dalam)
Kamera: 50MP lebar, 40MP ultra lebar, 50MP (3.5x zum optikal, 100x zum digital) telefoto periskop, 20MP swafoto
Bateri: 5,150mAh, pengecasan 66W berwayar, 50W wayarles
Kalis Air: IPX8
Lain-lain: NFC, Dwi SIM, sokongan stylus, pengimbas cap jari sisi
[/specs]
Rekaan Dan Skrin
Sebenarnya, apa yang HONOR pasarkan, tidak salah atau overclaim. Memang betul pun Magic V3 ini ringan dan nipis. Tak salah kalau saya kata ia lagi ringan daripada Samsung Galaxy S24 Ultra dan juga iPhone 15 Pro Max. Baik apabila peranti dilipat. Mahupun apabila dibuka lipatannya. Yalah, beratnya hanya 226g sahaja.
Sekiranya dilipat, peranti ini hanya setebal 9.2mm dan sama tebalnya dengan iPhone 15 Pro.
Kalau kita lipat, tebalnya hanya 9.2mm dan sama tebalnya dengan iPhone 15 Pro, Pixel 9 atau sewaktu dengannya.
Dari segi luaran, kalau anda lihat, nampak tak banyak beza berbanding Magic V2 sebelum ni tapi modul kamera belakang dia diubah berbentuk oktagon ala-ala Magic6 Pro atau Magi6 RSR.
Bila kita buka telefon ini, ketebalan dia 4.35mm. Yang ini, kalau kita bandingkan dengan Galaxy Fold6, tidak ketara sangat beza dia.
Apa-apa pun, Magic V3 masih lagi nipis dan ringan. Sepanjang saya guna, terasa macam telefon standard di luar sana sebab skrin luar dia macam normal fon. Nisbah dia tak pelik. Bila nak guna sambil kita buka lipatan (unfold) pun, tak rasa kekok atau beban di tangan.
Skrin luar dalam pun cantik, masih boleh guna masa berada di luar. Melihat skrin dalam waktu panjang pun tak sakit mata sangat sebab HONOR memang selalu fokus benda ini pada telefon mereka.
Tak lupa juga, Magic V3 menyokong stylus, iaitu Magic Pen. Macam biasa, tak ada ruang nak simpan tapi pen tersebut HONOR menyediakan bekas simpanan secara berasingan. Namun, saya tak guna sangat stylus itu dan fungsinya pun masih tak berapa banyak. Kalau dibandingkan dengan Samsung punya, jauh lagi banyak fungsi.
Tambahan lagi, telefon ini ada penarafan kalis air IPX8. Jadi, tak perlu risau kalau termasuk dalam sinki atau guna semasa tangan basah. HONOR sendiri ada memperlihatkan yang ia boleh dicelup dalam air dan masih boleh beroperasi.
Walau bagaimanapun, disebabkan telefon ini terlalu nipis, kadangkala saya rasa macam susah sikit bila nak buka lipatannya. Saya berasakan rekaan sisi peranti yang nipis dan sedikit lekuk, itu yang membuatkannya susah sedikit nak buka. Saya harap, HONOR tidak buat telefon yang nipis lagi berbanding Magic V3.
Lagi satu, walaupun engsel baharu dia lebih kuat, tak ada gap atau ruang bila tutup, tapi kadang-kadang bila saya buka telefon ini macam ada bunyi sikit. Ibarat kertas plastik lut sinar yang bila kita mahu buka lipatannya. Bunyi tu tak selalu dengar tapi kadangkala ada. Tak pasti adakah saya sahaja yang kena atau mungkin unit yang saya terima ini sahaja yang ada isu tersebut.
Akhir sekali, bagi saya telefon ini boleh digunakan dalam 90° atau mungkin sehingga 80° sahaja dalam penggunaan hover mode atau pesaingnya panggil flex mode.
Ini sebab, kalau terlebih sikit sudut darjah itu, telefon ini akan terbuka habis. Berbeza dengan Samsung, telefon mereka boleh tetapkan pada sudut-sudut tertentu. Mengikut kesesuaian pengguna. Bagi saya, perkara ini HONOR perlu perbaiki.
Prestasi
Disebabkan telefon ini berkelas andalan, saya tak nak sentuh sangat prestasi gaming dan lain-lain. Memang saya ada cuba bermain Honor of Kings dan ia tidak terlalu panas. Malah, kita dah boleh jangka prestasi peranti ini, persis telefon yang sama kelasnya.
Apa saya nak tekankan di sini adalah HONOR tak lupa tentang perisiannya. Macam saya kata awal tadi, perkakas semata-mata tidak cukup, pengalaman guna tu yang penting.
Setakat saya guna hari-hari, memang best dan banyak aplikasi yang dah dioptimumkan. Kalau anda tak faham macam mana optimum tu, dia tak adalah stretch aplikasi tu untuk skrin penuh bila kita unfold.
Macam FaceBook, Instagram, X, Threads, WhatsApp dan Telegram, ia sudah optimum untuk skrin boleh lipat. Kalau macam saya yang guna reddit, aplikasi ini akan ‘dipaksa’ untuk skrin besar. Pada TikTok pula, akan ada black bar di tepi. Ibarat kita main permainan konsol pada monitor ultra lebar, kurang optimum.
Satu lagi benda penting tahun ini, HONOR dah bekerjasama dengan Google Cloud dan menawarkan AI semestinya.
Pertama sekali, AI eraser. Saya rasa tak perlu nak ulas panjang benda ini sebab macam yang dah ada pada telefon Pixel atau Samsung atau peranti lain. Setakat saya cuba, ada masa dia memang nampak bersih bila padam, ada masa kurang bersih. Kalau ia ganti kepada objek lain pun sama, ada masa okay ada masa tidak. Ikut situasi. Namun, tidaklah teruk.
Kedua, ciri Magic portal – Circle to do more. Yang ini ala-ala circle to search tetapi lain sikit. Bila ketuk dan buat bulatan pada gambar, anda boleh buat carian di Google Search atau pergi ke mana-mana aplikasi yang kita nak. Rasa janggal sikit pada awalnya bila guna ciri ini tapi lama kelamaan, akan biasa.
Kemudian, ada ciri Face to face translation yang mana boleh terjemah secara langsung. Yang ini pun sama macam Samsung. Bezanya, ada bahasa Melayu. Tapi, jangan rasa terlalu gembira.
Walaupun menyokong bahasa Melayu, saya boleh katakan yang terjemahan dia mungkin ada masa tak berapa nak tepat.
Benda ini sama juga berlaku dengan ciri AI HONOR notes yang boleh transkrip audio dan terjemah secara langsung. Apa saya maksudkan, fungsi ini memang berguna. Cuma, ada kala pelik dan lari sedikit terjemahannya. Perkara ini, saya berasakan yang HONOR atau Google kena bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Saya harap sangat bagi terjemahan yang sedap sedikit. Bukan direct translate.
Macam mana pula dengan bateri? Yang ini saya boleh puji. Walaupun saiz telefon nipis tapi ada ruang untuk memuatkan kapasiti 5,150mAh. HONOR guna bateri silikon karbon generasi ketiga.
Saya kerap guna telefon ini bila dibuka lipatan, dan biasanya mencapai sehari setengah atau ada masa hampir dua hari untuk kegunaan biasa tanpa main game. Cas pun masih laju, kurang dari sejam. Namun, kelajuan mengecasnya masih sama macam Magic V2, 66W. Walau bagaimanapun, kali ini ada pengecasan wayarles. Memang laju, 50W.
Dari segi pembesar suaranya pula, masih lagi sedap. Akan tetapi saya rasa Magic6 Pro punya lagi syahdu.
Kamera
Biasanya, telefon jenis lipat ini tak tekankan sangat bab kamera. Tapi, sejak kebelakangan ini, telefon macam OPPO, Xiaomi, vivo tak main-main bab kamera. Samalah macam Magic V3. Mereka menaik taraf berbanding Magic V2 dulu.
Kamera utama dia 50MP, ultra lebar 40MP, telefoto periskop 50MP dengan 3.5x optikal, 100x digital dan kamera swafoto 20MP.
Paling best pada kamera dia saya nampak, HONOR bawa semua ciri-ciri yang ada pada telefon mereka yang lain ke dalam telefon ini.
Antara paling ketara adalah Harcourt Studio. Bagi saya, benda ini memang akan jadi signature telefon dari China. Kalau vivo dengan ZEISS, Xiaomi dengan Leica. Memang mereka akan bagi pada telefon-telefon andalan. Mungkin HONOR akan memfokuskan mod potret Harcourt Studio pula nanti.
Apa-apa pun, saya puas hati dengan hasil gambar yang Magic V3 ni bagi. Baik dari kamera lebar, ultra lebar, zum periskop, swafoto dan juga termasuk mod potret Harcourt Studio. Hasil gambar memang setaraf telefon andalan HONOR lain dan antara telefon lipat yang ada kamera baik.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, HONOR diikutkan berjaya dengan Magic V3 kali ini. Rekaannya yang sedap, kamera pun cantik, perisian pun dah lebih matang dan dah ada AI.
Walaupun RAM dia kali ni ada turun taraf, iaitu 12GB berbanding 16GB tahun lalu tetapi mereka memberikan RAM turbo 12GB.
Tak banyak perkara sangat yang saya nak mengeluh terhadap telefon ni. Pengalaman penggunaan tu pun dah makin sedap. Saya rasa, kalau Honor boleh perkemaskan lagi mereka punya perisian tu macam Samsung buat pada Galaxy Fold dan kurangkan lagi bloatware tu, memang perfect dah.
Lagi satu, AI dia masih perlukan sambungan internet dan kalau nak banding ciri AI yang ada pada Samsung, memang jauh lagi. Tapi, saya rasa HONOR akan kejar. Selain itu, bila dah ada ciri AI dan bekerjasama dengan Google, adakah AI ini masih percuma atau HONOR mahu menawarkan langganan? Ini kita perlu tunggu.
Jadi, adakah berbaloi?
Ya, dengan harga RM6,999, sama macam Magic V2, saya boleh cakap cukup berbaloi untuk anda yang gemar telefon lipat jenis macam ini. Saya sendiri pun minat dengan telefon fold, bukan flip. Paling penting, harga macam ini, anda akan dapat selongsong (casing) yang agak premium, dapat kabel dan dapat pengecas lagi. Bukanlah telefon dan kabel semata-mata.
Akhir kata, pada pendapat peribadi saya, mungkin HONOR Magic V3 ini telefon lipat terbaik tahun 2024.
{suggest}