Ruang storan menjadi semakin terhad apabila sebahagian besarnya diisi oleh sistem operasi dan aplikasi dengan saiz yang semakin besar.
Bermula dengan Android 15, Google kini mewajibkan sekurang-kurangnya 32GB storan untuk telefon pintar yang ingin mempunyai rangkaian aplikasi dan perkhidmatan Google yang diprapasang (dikenali sebagai Google Mobile Services atau GMS).
Daripada 32GB tersebut, sekurang-kurangnya 75% perlu diperuntukkan untuk bahagian data khusus, yang menyimpan aplikasi sistem yang diprapasang, data aplikasi sistem, fail sistem tertentu, serta semua aplikasi dan fail pengguna.
Keperluan ini menggandakan storan minimum sebelumnya, iaitu 16GB yang diperkenalkan dengan Android 13 pada 2022. Perlu diingatkan bahawa telefon dengan storan kurang daripada 32GB tidak dapat dinaik taraf ke Android 15, sekiranya dilancarkan dengan versi yang lebih lama.
Begitu juga dengan RAM. Peranti dengan 2GB dan 3GB RAM perlu menggunakan Android Go Edition, versi yang direka khas untuk telefon ultra-bajet, manakala peranti dengan kurang daripada 2GB RAM tidak dapat menggunakan Google Mobile Services (GMS) sama sekali.
Walaupun tidak banyak peranti yang masih menggunakan storan 16GB atau 32GB, serta 3GB RAM, ia masih wujud dalam kategori peranti ‘mesra poket’.
Namun, secara keseluruhan, peningkatan keperluan minimum storan dan RAM tidak memberi kesan besar kepada majoriti peranti yang ditawarkan di pasaran hari ini.
{suggest}
Sumber: Android Authority