Golongan muda berumur 30 tahun dan ke bawah merekodkan sebanyak 65.9 juta transaksi Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) bernilai RM5.4 bilion pada separuh pertama 2026.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, Kementerian Kewangan memaklumkan jumlah itu merangkumi 37.9% daripada keseluruhan transaksi BNPL di Malaysia bagi tempoh tersebut.
Dari segi nilai pula, transaksi golongan muda menyumbang 36.7% daripada keseluruhan nilai transaksi BNPL di Malaysia, iaitu RM14.7 bilion daripada 173.9 juta transaksi bagi tempoh yang sama.
Setakat 30 Jun 2026, baki terkumpul pembiayaan BNPL dalam kalangan golongan belia pula berjumlah RM2.4 bilion. Daripada jumlah itu, sebanyak RM96.8 juta direkodkan sebagai jumlah tidak berbayar, bersamaan 4% daripada baki terkumpul pembiayaan mereka. Bagaimanapun, Kementerian Kewangan memaklumkan jumlah tidak berbayar tersebut masih terkawal.
BNPL kini dikawal selia oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873). Melalui kerangka ini, semua pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit, termasuk penyedia BNPL, perlu mematuhi standard serta keperluan pelesenan yang ditetapkan bagi memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara adil dan bertanggungjawab.
Bagi memastikan kemudahan kredit yang ditawarkan bersesuaian dengan kemampuan pengguna, SKP mewajibkan penyedia BNPL menjalankan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang sebelum menawarkan kemudahan tersebut, khususnya kepada golongan muda.
