Galaxy Z Fold5 Mungkin Hadir Dengan Lipatan Yang Lebih Nipis, 'Crease' Semakin Kurang

Arena peranti lipat kini semakin meriah. Contohnya, OPPO semalam melancarkan Find N2 Flip untuk pasaran Malaysia pada harga serendah RM3,999.

Terbaru, laporan dari tanah Korea Selatan mengatakan Samsung akan menggunakan engsel jenis baharu untuk siri Fold tahun ini yang mana akan mengurangkan jarak antara skrin bila peranti dilipat.

Engsel berbentuk seakan-akan titisan air ini akan menggantikan engsel bentuk U yang digunakan sekarang.



Samsung boleh dikatakan perintis untuk peranti jenis boleh lipat komersial dan sehingga kini masih mendominasi segmen itu. Namun, antara kelemahan ketara peranti Fold dan Flip ialah kedudukan dan jarak skrin bila ia dilipat.

Jenama-jenama China seperti Huawei, vivo, OPPO, HONOR sudah pun hadir dengan telefon boleh lipat yang kelihatan gapless atau jarak yang sekata bila kedua-dua skrin ditutup.



Kami sendiri pernah berkongsi ulasan OPPO Find N dan N2 yang tidak dijual di Malaysia dan kedua-duanya antara peranti boleh lipat terbaik setakat percubaan kami.

Menerusi rekaan engsel 'tear-drop' yang dijangka akan digunakan pada Z Fold5, ini dikatakan dapat meminimumkan jarak skrin serta mengurangkan kesan lipatan (crease).



Waktu ini, ketebalan engsel telefon Z Fold4 ialah 15.8mm dan syarikat itu mahu mengurangkannya ke 14mm.

Samsung dilapor sudah mula mengujinya dan jika berjaya, kita mungkin akan lihat Z Fold5 pada Ogos ini dengan gap yang semakin nipis dan kesan lipatan yang kurang ketara.

{suggest}

Sumber: The Elec