(Ulasan) OPPO Find N2 - Sayang Seribu Kali Sayang, Lipatanmu Kekal Terbayang

OPPO Find N2 merupakan salah satu daripada 2 peranti lipat dirasmikan OPPO untuk pasaran China bulan ini. Kami berkesempatan untuk menggunakannya selama seminggu.

Tahun lalu, kami pernah menggunakan abangnya, OPPO Find N yang hadir dalam bentuk yang sama. Namun, jelas ada beberapa penambahbaikan yang sangat kami kagum dengan edisi terbaru ini.

Untuk baca ulasan model tahun iaitu Find N, klik SINI.

Reka bentuk


OPPO Find N2 hadir dengan rekaan lipatan horizontal atau melintang seperti Samsung Galaxy Z Fold.



Apabila digunakan seperti telefon biasa, terasa comel saja Find N2 dalam pegangan tangan walaupun agak tebal. Apabila dibuka dan digunakan seperti tablet, kelebarannya pula menyenangkan saya kerana tidak terlalu besar.



Ia boleh digunakan dalam satu tangan dan ini menjadi punca utama saya menggemari peranti ini.

Antara beza Find N2 dengan Find N ialah bahan binaannya di mana kali ini diperbuat daripada gentian karbon dan aloi yang lebih kukuh tetapi lagi ringan.

Ini bukan sekadar gimik kerana telefon ini sememangnya lebih ringan daripada model sebelumnya tetapi terasa lebih kukuh. Ya, agak ironi tapi inilah kenyataannya.



Model lama menggunakan rekaan sisi melengkung tetapi model terbaru ini hadir dengan sisi rata yang membolehkannya berdiri apabila diletakkan atas meja. Justeru, saya boleh 'dirikannya' di atas meja atau lantai dengan mudah.

Sisi tepi yang rata dengan binaan aloi ini memang jelas nampak kukuh berbanding kemasan berkilat pada Find N dulu.



Selain itu, panel belakang (bila dilipat) juga tidak lagi menggunakan kemasan berkilau seperti Find N. Sebaliknya, Find N2 ini tampil dengan kemasan seakan-akan kulit yang membuatkan anda rasa 'puas' bila memegangnya.

Ia boleh diibaratkan Find N sesuai untuk wanita kerana berkilau tetapi Find N2 pula sesuai untuk lelaki yang (perasan) macho.



Dari segi rupa luaran, Find N2 nampak sedikit lebih serius tapi bergaya manakala Find N nampak lebih fancy. Ini seolah-olah mencadangkan idea bahawa siri lipatan ini semakin matang dan bukan datang hanya untuk menunjuk-nunjuk sebagai perhiasan.

Lipatan


Perkara paling saya kagumi dan minat dalam Find N2 ini ialah lipatannya yang sangat kemas dan tidak menampakkan alur kesan lipatan yang jelas pada skrin dalam.



Mungkin kerana ia masih baru, tetapi kesan lipatannya sangatlah minimal. Anda hanya akan dapatinya apabila membelek-belek dengan teliti.

Dengan teknologi engsel Flexion baru ini, jarak antara skrin apabila dalam mod lipatan sangat rapat, kontra dengan peranti lipat Samsung Z Fold mahupun Fold.



Keseluruhan gap antara skrin apabila dilipat, sekata dan rapat seperti tiada isu dengan skrin mahupun engsel pernah dihadapi OPPO. Ia juga kukuh dan rasa selamat.

Saya pernah menggunakan Huawei P50 Pocket yang mana ruang antara skrin memang rapat, tapi terasa sedikit longgar dan tidak kukuh.



Dalam kepala saya, "Nampaknya OPPO lagi power daripada Samsung sebab boleh buat telefon lipat yang gapless padahal Samsung yang mula dulu. Dahsyat betul dah sampai tahap macam ni."



Aktiviti tutup-buka lipatan juga menyenangkan kerana terasa kekukuhan engsel tapi pada masa sama tidak terlalu ketat. Yang tinggal hanyalah persoalan ketahanan, apakah skrin dan engselnya mampu kekal dalam keadaan sebegini untuk jangka masa panjang?

Kita tahu teknologi telefon boleh lipat ini masih baru, jadi banyak isu akan timbul sementara jenama-jenama ini cuba menyelesaikannya.

Ciri-ciri khas


Peranti yang kami terima menggunakan ColorOS 13 yang berasaskan ROM untuk pasaran China.



Untuk ciri-ciri seperti FlexForm Mode (seperti Flex Mode pada telefon Samsung), ia sangat terhad. Antaranya kamera, YouTube, kalkulator dan beberapa aplikasi natif lain.



Ia sangat terbatas dan saya menjangka OPPO akan memperluas sokongannya pada aplikasi lain juga dalam jangka masa panjang.

Saya ada mencubanya dengan aplikasi Netflix, namun kadang-kadang saja ia berjaya. Tapi saya faham saja kerana ini ROM China, pastinya ada beberapa perbezaan dari segi keserasian perisian.


Paparan


Antara kekuatan peranti ini juga ialah paparannya yang sungguh cantik, hasil penggunaan panel AMOLED LTPO 120Hz dengan sokongan HDR10+.



Tak perlu saya ulas lanjutlah dengan AMOLED -- warnanya sangat jelas, terang, hitamnya gelap. Tambah pula dengan ciri antisilau.

Satu perkara yang saya akan rindu kerana tidak ada pada telefon lain ialah nikmat menonton Netflix melalui skrin utamanya. Beza menonton pada skrin luar atau pada telefon biasa, saya dapat melihat kedalaman (depth) kesan visual dan butiran objek dengan lebih teliti.

Segala bayang dan cahaya seperti babak dalam bilik siasatan dapat ditonton dengan jauh lebih puas.

Resolusi yang tinggi akhirnya dapat betul-betul dinikmati dengan skrin AMOLED sebesar 7.1". Apabila saya tonton pada skrin luar yang saiznya seperti telefon biasa, segala nikmat tadi hilang walaupun sama AMOLED.

Kamera


Bagi sebuah peranti lipat, kamera pada N2 ini sangat memuaskan. Kita semua tahu kekuatan OPPO bab kamera dan berita baiknya ialah mereka tidak meninggalkan model 'eksperimen' ini dengan kamera yang biasa-biasa.

Setakat cubaan saya dengan beberapa peranti boleh lipat, ia selalu datang dengan kamera yang okey-okey saja, contohnya Z Flip4. Yalah, ia boleh diwajarkan dengan alasan ia bukan peranti andalan untuk kegunaan fotografi yang ekstrem.



Kesemua aspek baik dari mod biasa, zum, potret, gambar malam sangat memuaskan hati. Warna dihasilkan pekat, agak tepat seperti luar foto, butiran terjaga rapi.

Namun untuk potret bukan manusia, banyak cubaan perlu diambil sebelum betul-betul 'ngam' dengan objek yang ingin difokuskan.


Kesimpulan


Saya seorang yang tidak menggemari telefon jenis lipat atas alasan practicality tapi tuan puan, inilah telefon lipat terbaik pernah saya gunakan sepanjang berkhidmat di Wiser dan saya sangat sukakannya.

Bahkan, model tahun lalu juga sudah berjaya menambat hati kami.

{suggest}

Sayangnya, saya percaya ia hanya dijual untuk pasaran China melalui klu-klu ditinggalkan. Wakil OPPO Malaysia sendiri hanya berteka-teki dengan kami tentang jualannya di sini apabila ditanya.

Tidak pasti apakah OPPO memang mahu ekslusiviti untuk model ini atau masih takut dengan penerimaannya di luar China. Tapi, saya dengan penuh berani mengatakan, ia telefon boleh lipat terbaik yang ada di pasaran sekarang.

Kalau ia dijual di Malaysia, pastinya beri saingan sengit pada Fold4.