Penghujung tahun lepas, OPPO telah melancarkan telefon boleh lipat pertama mereka yang digelar OPPO Find N. Jadi, pada waktu itu juga, kami di Wiser pun sempat menikmati peranti tersebut walaupun penggunaannya tidak cukup lama.
Sekiranya anda terlepas pandang, boleh baca reaksi awalnya di SINI.
OPPO Berjaya Ubah Tanggapan Telefon Boleh Lipat
Kalau anda sudah membaca reaksi awal OPPO Find N, saya pernah berkata yang telefon tersebut mengubah tanggapan saya terhadap telefon boleh lipat.
Jika melihat mana-mana peranti sebegitu yang dilancarkan, kebanyakannya hadir dengan saiz agak besar. Bagi saya, sesebuah telefon boleh lipat tidak perlu didatangkan dengan saiz skrin terlalu besar kerana ia membuatkan anda berasa rimas untuk membawanya nanti.
Jadi, tidak hairanlah kenapa OPPO menampilkan rekaan yang begitu kompak. Baik dari segi menggunakannya ketika dilipat mahupun lipatan dibuka. Dua “mod” ini masih lagi selesa.
Bayangkan, anda sedang memegang sebuah peranti yang mempunyai saiz ala-ala iPhone 13 mini tetapi masih boleh menikmati siri Netflix atau video YouTube pada layar yang lebih besar.
Di sinilah sepatutnya konsep telefon boleh lipat digunakan. Telefon dan tablet yang digabungkan dengan jayanya. Atau boleh saya panggil sebagai ‘Phablet’.
Selain rekaannya yang selesa, saya memuji dengan crease line pada skrin OPPO Find N. Setakat hari ini, saya rasa OPPO berjaya menyembunyikan sebanyak 80% garisan lipatan itu. Agak sukar untuk melihat garisan itu kecuali kita cuba sedaya upaya mencarinya.
Jika nak dibandingkan Galaxy Z Fold3, HONOR Magic V atau HUAWEI P50 Pocket, crease tersebut dapat dilihat dengan mudah. Baik semasa paparan terbuka mahupun dimatikan.
Prestasi Seperti Dijangka Tapi Perlu Tambah Baik
Memandangkan OPPO Find N dikuasakan cip andalan Snapdragon 888, rasanya semua sudah tahu akan prestasinya. Mahu bermain game atau melancarkan aplikasi memang tidak menjadi masalah.
Cumanya, saya berasakan sistem penyejukan peranti ini kurang baik. Kadangkala saya sudah terasa suam-suam hampir panas walaupun hanya menatal aplikasi Facebook atau Twitter. Apa lagi kalau cuba bermain game kan?
Pun begitu, mungkin disebabkan kurangnya optimasi yang dilakukan terhadap OPPO Find N.
Tambahan lagi, masih banyak aplikasi yang tidak dapat menggunakan kuasa sepenuhnya daripada telefon boleh lipat OPPO ini. Meskipun mereka hadir dengan FlexForm Mode tetapi bukan semua yang menyokongnya.
Di sini, Samsung berjaya dalam mengintegerasikan penggunaan aplikasi dalam peranti Fold mereka. Sebagai contoh, apabila membuka YouTube dan dilipatkan, ia sepatutnya terbahagi kepada dua paparan. Satu di atas dan satu di bawah. Jadi, tidak adalah video anda melengkung.
Oleh itu, kalau OPPO benar-benar mahu mencabar segmen peranti boleh lipat, mereka perlu bekerja keras dalam sistem operasi mereka.
Selain itu, ketika saya menonton Netflix pun, sari kata yang dipaparkan terlalu besar. Mungkin ini juga berkait dengan optimisation. Lebih-lebih lagi peranti yang saya terima tempoh hari pun dalam bentuk China ROM, bukan versi global.
Dari segi jangka hayat bateri, boleh dikatakan agak baik walaupun baterinya kecil. Ia masih mampu menawarkan penggunaan satu hari dengan screen on time (SOT) 7 jam.
Untuk fotografi, memang cukup baik sama ada swafoto atau lensa belakang. Namun, mod potretnya kadangkala bagi saya kurang kemas. Bagaimanapun, peranti ini masih lagi mampu memberikan gambar yang cantik dengan warna yang menarik.
Berikut adalah contoh hasil gambar daripada OPPO Find N:
Sayang Tidak Dibawa Masuk Ke Malaysia
Mungkin ada segelintir tidak meminati peranti dari OPPO atas faktor harganya jika nak dibandingkan pesaing mereka yang lain seperti Xiaomi, vivo atau realme.
Namun, OPPO Find N agak mengejutkan kerana ia dijual pada tanda harga lain daripada lain, iaitu sekitar RM5000 sahaja. Sekiranya rasmi di Malaysia pun, saya pasti ia tidak mencecah RM6000 bagi permulaan.
Ini boleh dikatakan agak mampu milik terutama yang mahu berjinak-jinak dengan peranti boleh lipat. Mungkinkah OPPO masih belum bersedia untuk menawarkannya di luar pasaran China?
Sejujurnya, OPPO Find N bukanlah sebuah peranti boleh lipat yang terbaik kerana masih ada beberapa kekurangan seperti tiada penarafan kalis air dan debu, tiada sokongan pen stylus, perisian belum cukup cemerlang dan lain-lain.
Namun begitu, telefon boleh lipat pertama OPPO ini harus dipuji juga. Tidak hairan, beberapa nama besar dalam industri teknologi pun berpendapat yang sama.
Macam yang saya pernah nyatakan banyak kali, OPPO Find N sudah mengubah definisi telefon boleh lipat. Bahkan, saya menjangkakan dalam beberapa tahun lagi, telefon sebegini akan menjadi sebuah peranti yang digunakan ramai. Tidak seperti hari ini.
Mengapa? Sebab tablet sudah ke arah mahu menggantikan komputer riba. Telefon pula ke arah seperti mahu menjadi tablet.
Baca juga: