Kita sudah sedia maklum, bila sebut telefon lipat sahaja, jenama yang terlintas di fikiran semestinya Samsung. Jenama dari Korea Selatan itu sentiasa menjadi yang popular dan juga meletakkan penanda aras dalam sesebuah peranti boleh lipat.
Namun, bermula tahun 2022, telefon dalam segmen ini kian hari kian mendapat sambutan orang ramai. Bahkan, jenama-jenama dari China pun mula merancakkan lagi telefon boleh lipat bagi memberi saingan yang sebelum ini didominasi Samsung.
Bagaimanapun, keselesaan Samsung mungkin bakal tergugat kerana OPPO kali ini membawa masuk peranti boleh lipatnya ke pasaran Malaysia, iaitu OPPO Find N2 Flip.
Peranti ‘Flip’ tidak banyak berada di pasaran. Tambahan lagi, lipatan dalam kategori ‘Flip’ juga boleh saya katakan lebih mesra dalam kalangan pengguna kerana harganya tidaklah terlalu mahal jika nak dibandingkan dengan keluarga ‘Foldable’.
Spesifikasi
CPU – Dimensity 9000+
Memori – 8GB LPDDR5
Storan – 256GB UFS3.1
Skrin – 6.8″/resolusi 1080×2520 (Utama), 3.28″/resolusi 382×720 (Sekunder), LTPO AMOLED, 120Hz, HDR10+, 1600 nits maksimum
Kamera Swafoto – 32MP f/2.4
Kamera Belakang – 50MP f/1.8 Utama + OIS, 8MP Ultra-Lebar f/2.2
Bateri – 4300mAh, 44W SuperVOOC
Lipatan Flip Pertama Tapi Macam Sudah Lama Ada
Masih segar dalam ingatan saya sejak kali pertama menggunakan telefon lipat pertama daripada OPPO, iaitu Find N. Sebelum ini, saya meluahkan bahawa saya tidak gemar dengan telefon boleh lipat. Akan tetapi, OPPO berjaya mengubah tanggapan saya terhadapnya.
Sama juga kesnya dengan OPPO Find N2 Flip. Mula-mula saya terfikir kenapa skrin kedua pada flip ini begitu besar. Sedangkan, jenama-jenama lain kelihatan malu-malu untuk meletakkannya.
Sebaliknya OPPO, mereka tidak segan silu untuk menyertakan skrin sekunder dengan lebih besar. Dengan ini, ia kelihatan lebih berfungsi berbanding paras rupa estetik semata-mata.
Skrin pada bahagian hadapan ini boleh ditatal dan paparannya lebih jelas. Malah, ‘viewfinder’ atau pratonton ketika mengambil gambar swafoto menggunakan kamera utama juga lebih asyik.
Bagi saya, ia satu langkah yang bagus kerana Find N2 Flip hadir dengan MariSilicon X dan juga Hasselblad. Maka, rugilah kalau kita tidak memanfaatkannya bukan?
Dari segi luaran, rekaan Find N2 Flip ini ada sisi yang rata tetapi masih lagi slim. Ditambah lagi dengan tubuh yang ringan, ia membuatkan penggunaan sebelah tangan lebih seronok.
Bagaimanapun, perkara yang paling menarik perhatian saya adalah tiada jurang atau gap apabila telefon ini dilipat. Apabila saya mahu membuka atau lipat peranti ini pun, ia tidak terasa begitu longgar seperti Huawei P50 Pocket ataupun sedikit ketat seperti Samsung Galaxy Z Flip4.
Nanti, ada lagi. Biarpun begitu, OPPO masih lagi mampu mengurangkan garis lipatan pada skrin atau bahasa mudah crease. Jujur saya katakan, saya seolah-olah terlupa bahawa telefon yang saya gunakan ini masih dalam kategori telefon boleh lipat.
Jika anda pernah guna atau pernah lihat Galaxy Z Flip, crease pada peranti ini begitu ketara. Malah, ketika mana skrin ditatal pun, boleh terasa kesan lipatan itu. Ia mungkin menimbulkan perasaan kurang selesa lebih-lebih lagi dalam penggunaan harian.
Pada Find N2 Flip ini, ia tak terasa sebegitu dan syabas kepada OPPO, anda berjaya meneruskan teknologi yang ada pada Find N terdahulu.
Jangan salah faham, tidak bermakna Find N2 Flip ini langsung tiada crease. Ia masih lagi boleh dilihat jikalau anda cuba-cuba mencarinya seperti mencari kesalahan orang lain.
OPPO Find X5 Pro Tapi Dalam Bentuk Boleh Lipat
Macam yang saya katakan awal tadi, OPPO Find N2 Flip hadir dengan cip MariSilicon X dan juga kolaborasi dengan Hasselblad. Maknanya, OPPO bukan sahaja nak tawarkan rekaan menarik tetapi pada masa yang sama prestasinya juga seiring dengan peranti andalan sedia ada.
Hasil kamera yang diberikan OPPO kali ini, susah nak disangkal bahawa gambar yang diambil daripada telefon Find N2 Flip memang mencuci mata. Semasa saya mengulas Find X5 Pro dulu pun, saya kagum dengan hasil kameranya. Begitu juga dengan telefon ini.
Cip pemprosesan imej dan kolaborasi Hasselblad bukan gimik semata-mata. Dengan adanya Hasselblad juga, antara muka kamera serta mod XPAN turut didatangkan sekali.
Oleh itu, ia seolah-olah memberikan anda sebuah Find X5 Pro tetapi boleh dilipat. Ia lari sedikit dari norma kebiasaan. Ini kerana, kebanyakan peranti andalan menggunakan cip dari Qualcomm.
Namun, cip Dimensity 9000+ menguasakan peranti tersebut. Cip MediaTek Dimensity bukan kaleng-kaleng kerana selain prestasinya yang berkelas flagship, ia juga lebih efisien.
Telefon Lipat Sepatutnya Begini
Walaupun penggunaan saya terhadap OPPO Find N2 Flip tidak begitu lama tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dan masih ‘menahan diri’ dari impressed.
Peranti ini membuka mata kepada mana-mana jenama yang mahu menawarkan sebuah telefon dalam kelas flip. Ini kerana Find N2 Flip cukup resipi dari segi rekaan, prestasi, bateri paling besar berbanding mana-mana telefon flip lain dan juga kamera.
Kalau ada yang bertanya tentang UI, ColorOS 13 sudah hampir sempurna untuk peranti boleh lipat OPPO. Mungkin, ada lagi ruang-ruang yang boleh ditambahbaik bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih sedap kepada pengguna.
Dengan tanda harga RM3999, saya boleh katakan yang anda boleh mencuba dengan telefon lipat OPPO ini. Akhir kata, saya masih bingung kerana mengapa versi foldable OPPO Find N2 tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia.
{suggest}