China telah mencatat satu lagi pencapaian penting dalam teknologi tenaga hijau apabila loji simpanan tenaga menggunakan karbon dioksida (CO₂) termampat pertama negara itu berjaya disambungkan ke grid elektrik.
Dikenali sebagai Stesen penyimpanan tenaga CO₂ termampat Huadian, projek berkapasiti 100 MW/1,000 MWh yang terletak di Xinjiang ini mampu menyimpan tenaga sehingga 10 jam dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui daripada ladang solar serta angin berskala besar.
Ia dibangunkan oleh pasukan Profesor Xie Yonghui dari Sekolah Kejuruteraan Tenaga dan Kuasa di Universiti Xi’an Jiaotong (XJTU), dengan Profesor Xie sebagai pencipta pertama.
Ini merupakan projek penyimpanan tenaga CO₂ termampat kelas 100 MW yang pertama di dunia, serta kemudahan penyimpanan CO₂ terbesar yang pernah didedahkan kepada umum setakat ini

Kemudahan tersebut, yang dikendalikan oleh China Huadian Corporation Ltd., dilengkapi dengan lima tangki simpanan gas, 141 unit simpanan cecair, dan 97 unit simpanan terma.
Berbeza dengan sistem simpanan tenaga udara termampat konvensional, teknologi ini menggunakan CO₂ sebagai medium penyimpanan dalam sistem tertutup.
Ketika lebihan elektrik dihasilkan, gas CO₂ akan dimampatkan dan disimpan bersama haba yang terhasil.
Apabila tenaga diperlukan, CO₂ akan dipanaskan semula dan digunakan untuk memacu turbin bagi menjana elektrik.

Kemudahan ini apabila beroperasi sepenuhnya nanti, ia dijangka mampu menjana kira-kira 200 juta kWh elektrik setiap tahun dan menyalurkan 180 juta kWh tenaga hijau semasa waktu permintaan puncak setiap tahun.
Ini sekali gus mengurangkan penggunaan arang batu sekitar 50,000 tan serta mengelakkan pelepasan 170,000 tan CO₂ setiap tahun.
Pencapaian ini menandakan bermulanya era operasi berskala GW yang disambungkan ke grid bagi teknologi penyimpanan tenaga jangka masa panjang berasaskan CO₂.
