Berdiri megah di sepanjang banjaran bukit yang menghijau di selatan Laos, 133 turbin angin buatan China membantu memacu pertumbuhan pesat Vietnam serta mencerminkan sebahagian daripada perlumbaan serantau untuk mempelbagaikan sumber tenaga.
“Pemandangannya sangat indah. Turbin-turbin ini lebih besar daripada pokok,” kata Toukta Phonsala, 23, kepada AFP dari dalam rumah panggung kayunya di kampung Dak Wai sambil memangku bayinya.
Empangan hidroelektrik telah berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun pengeluarannya merosot pada musim kemarau dan pengkritik turut kesal dengan impak ekologinya.
Pakar menyatakan bahawa tenaga angin kini bersedia untuk berkembang pesat dan menunjuk kepada Projek Tenaga Angin Monsoon berkapasiti 600 megawatt di Laos, yang mula beroperasi pada Ogos 2025, sebagai satu kajian kes yang berdaya maju secara kewangan.
Merangkumi kawasan seluas Singapura, skim bernilai kira-kira $950 juta itu merupakan projek angin rentas sempadan yang pertama di Asia dan ladang angin terbesar di Asia Tenggara.
Dibangunkan oleh firma negeri China dan dimiliki oleh konsortium yang diketuai syarikat Thailand, ia menjual bekalan elektrik secara eksklusif kepada grid kebangsaan Vietnam menerusi talian transmisi khas.
Pusat pembuatan Vietnam, yang merupakan ekonomi paling cepat berkembang di Asia Tenggara, sebelum ini sememangnya mengimport kuasa hidro dari Laos, jiran termiskinnya.
Namun “aspek ekonomi kini menyebelahi tenaga angin,” kata Tristan Bellingham, ketua program teknikal di organisasi tidak berasaskan keuntungan EnergyLab Asia.
“Serupa seperti kuasa hidro 20 hingga 30 tahun lalu, kini terdapat perlumbaan untuk mendapatkan konsesi dan hak pembangunan” bagi projek angin baharu, katanya kepada AFP.
Laos kini menempatkan 90 loji janakuasa hidro, manakala terdapat berpuluh-puluh lagi di negara-negara jiran, menyebabkan hanya tinggal sedikit lokasi yang benar-benar sesuai.
‘Lebih Baik Untuk Pembangunan’
Bellingham berkata ladang angin lain kini sedang menyusuli kejayaan projek Monsoon, di mana seorang pegawai Laos menunjuk kepada 10 hingga 15 projek yang kini sedang dalam pembangunan di seluruh negara.
Bagi Toukta, 18 ahli keluarga yang tinggal bersamanya serta petani padi dan kopi lain yang menetap berhampiran turbin tersebut, projek Monsoon telah membawa jalan baharu serta meningkatkan akses kepada air bersih dan perkhidmatan kesihatan.
Namun begitu, apa yang tidak dibawanya kepada komuniti beliau ialah bekalan elektrik.
Penduduk berkata mereka masih mengalami gangguan bekalan elektrik semasa ribut kencang kerana infrastruktur elektrik Laos sendiri sudah usang dan utiliti negeri menanggung hutang yang berat.
Meskipun begitu, Toukta gembira Laos dapat mengeksport bekalan tenaga ke luar negara.
“Ia lebih baik untuk pembangunan dan boleh membawa kemakmuran,” katanya.
Bagi Vietnam, projek ini menawarkan sumber tenaga yang boleh diharap pada kos yang lebih rendah.
Negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik yang teruk pada 2023 apabila kemarau menjejaskan bekalan hidroelektrik, dan kerajaan memberi amaran pada September mengenai risiko kekurangan elektrik bermula tahun hadapan akibat kelewatan projek tenaga yang dirancang serta permintaan yang semakin meningkat.
Menerusi Monsoon, “tenaga angin dijual pada harga yang jauh lebih murah kepada Vietnam berbanding apa yang dibeli oleh Vietnam secara tempatan,” kata Thomas Jakobsen, pengarah urusan di Indochina Energy Partners.\
Beliau menganggarkan utiliti negara Electricity Vietnam (EVN), membayar Monsoon sekitar enam sen bagi setiap kilowatt-jam, iaitu dua hingga empat sen lebih murah berbanding kadar di Vietnam.
Wakil-wakil Monsoon Wind, EVN dan Bank Pembangunan Asia (ADB), yang merupakan penyusun kewangan projek Monsoon, enggan berkongsi kadar sebenar semasa lawatan media minggu lalu.
‘Sesuatu Yang Unik’
Projek ini juga kunci penting bagi Vietnam untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, menurut Ninh Xuan Hiep, seorang pegawai di Perbadanan Transmisi Tenaga Kebangsaan EVN.
Di sebuah pencawang di ibu negara Vietnam, Hanoi, beliau memberitahu AFP bahawa menjelang 2030, import dari Laos akan menyamai hampir 10 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang Vietnam iaitu pengeluaran maksimum yang munasabah.
Monsoon Wind merancang untuk meningkatkan kapasiti sebanyak 1,000 megawatt dan sedang berusaha memastikan sebahagian daripada tenaga tambahan ini digunakan di dalam Laos, menurut pengurus besarnya, Narut Boakajorn.
“Laos mempunyai begitu banyak sumber semula jadi , angin, hidro dan solar,” kata Narut kepada AFP dalam satu temu bual di bawah bilah turbin setinggi 110 meter yang sedang berputar.
“Tidak banyak negara yang mempunyai semua tenaga boleh baharu yang baik di satu tempat yang sama. Laos mempunyai sesuatu yang unik.”
Kerajaan Laos dijangka meraih $180 juta sepanjang tempoh kontrak 25 tahun, merangkumi cukai serta dana pembangunan komuniti dan perlindungan alam sekitar, menurut Narut.
Beliau menegaskan bahawa tiada sesiapa yang dipaksa berpindah disebabkan projek tersebut, walaupun bantahan awam sangat dilarang di Laos yang berfahaman komunis.
Beliau menambah 1,600 aduan yang direkodkan, kebanyakannya daripada petani yang meminta pampasan atas impak pembinaan terhadap tanaman mereka, telah diselesaikan.
Di bawah bayangan turbin, seorang petani berusia 23 tahun, Phonekhan Sengsopha, berkata beliau bangga kerana elektrik yang dihasilkan di negaranya dihantar kepada jiran mereka, yang juga sebuah negara komunis.
“Kerana Vietnam dan Laos seperti adik-beradik. Mereka saling membantu antara satu sama lain.”
– AFP
