Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

CEO Telegram Dedah Punca Telegram Dialih Keluar Sementara Dari App Store

Posted on Ogos 5, 2026Ogos 5, 2026

Apple sebelum ini memaklumkan aplikasi Telegram dialih keluar sementara daripada App Store selepas semakan mendapati terdapat kandungan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) yang melanggar garis panduan platform itu.

Kini, CEO Telegram, Pavel Durov, pula tampil menjelaskan apa yang didakwanya sebagai punca sebenar di sebalik insiden itu, yang menurutnya melibatkan taktik seorang pemeras ugut untuk memanipulasi sistem penyelarasan platform.

Kandungan haram diselit melalui helah teknikal

Menurut Durov, individu terbabit telah memuat naik kandungan haram ke dalam sebuah kumpulan awam Telegram menggunakan helah teknikal. Beliau mendakwa penyerang menyunting satu mesej lama dalam kumpulan yang masih aktif sebelum memasukkan kandungan haram yang telah diubah suai menggunakan AI.

Kaedah itu didakwa menyebabkan kandungan berkenaan sukar dilihat oleh ahli kumpulan, sekali gus menghalang ia daripada dilaporkan dengan segera.

Beliau menjelaskan Telegram lazimnya mengesan dan membuang kandungan haram dalam kumpulan awam dengan pantas menerusi pelbagai sistem penyelarasan (moderation). Disebabkan itu, penyerang didakwa terpaksa menggunakan helah sedemikian kerana kandungan haram yang dimuat naik secara biasa berkemungkinan besar akan dikesan dan dipadam dengan cepat.

Taktik pemeras ugut

Durov mendakwa individu berkenaan merupakan pemeras ugut (takedown extortionist) yang menggunakan akaun automasi untuk menanam kandungan haram dalam kumpulan awam sebelum melaporkannya terus kepada Apple.

Menurutnya, kumpulan seperti ini kemudian mengugut pemilik komuniti dengan menuntut bayaran sebagai balasan supaya mereka tidak terus menjadi sasaran serangan serupa.

Sebagai peringatan untuk platform lain

Dalam kenyataan sama, Durov turut mempersoalkan kewajaran tindakan Apple yang mengalih keluar Telegram daripada App Store sebelum menghubungi syarikat itu terlebih dahulu.

“Pemeras ugut telah menemui cara untuk memanipulasi Apple sehingga bertindak keterlaluan. Apple mengalih keluar Telegram daripada App Store sebelum menghubungi kami. Ini mewujudkan potensi risiko sistemik kepada setiap aplikasi mudah alih yang menempatkan kandungan dijana pengguna. Jika aplikasi yang digunakan lebih satu bilion orang pun boleh dialih keluar daripada App Store tanpa sebarang amaran awal, maka mana-mana aplikasi juga boleh mengalami nasib yang sama,” katanya.

Durov juga mengingatkan bahawa taktik kumpulan pemeras ugut seperti ini semakin berkembang dan boleh memberi kesan kepada komuniti di pelbagai platform dalam talian. 

Katanya, Telegram mempunyai pengalaman mengenal pasti helah yang digunakan oleh kumpulan pelaporan terancang untuk melindungi komuniti yang sah. Namun, platform lain mungkin tidak mempunyai tahap kesiapsiagaan yang sama untuk mengesan dan menangani taktik sedemikian.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress