CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menegaskan komitmennya dalam memastikan perlindungan data pelanggan dan akauntabiliti menjadi keutamaan mereka.
Menerusi forum bertemakan “Tanggungjawab dalam Era AI” anjuran CelcomDigi, ia menghimpunkan pakar pelbagai bidang bagi membincangkan amalan piawaian kecerdasan buatan (AI) yang selamat, privasi, serta keselamatan siber.
Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling menyatakan,
“Orang ramai perlu yakin bahawa data mereka dilindungi, organisasi bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat, dan perniagaan mengambil kira kesan pertumbuhan digital terhadap masyarakat secara menyeluruh.”
Syarikat itu turut berkongsi kemajuan dua tahun strategi ESG lima tahunnya yang merangkumi empat keutamaan utama.

Pertama, bagi Akses Digital yang Inklusif dan Selamat, CelcomDigi berjaya mengesan dan memberi amaran kepada 260 juta panggilan berunsur penipuan serta menyekat 22 juta SMS setiap bulan demi melindungi pelanggannya
Kedua, mewujudkan Rantaian Nilai Mampan dengan menyasarkan 25,000 jam latihan serta 800 pemeriksaan pembekal setahun bagi memelihara piawaian keselamatan.
Ketiga, memperkasakan Budaya Tadbir Urus dan Prestasi menerusi pelaksanaan Rangka Kerja Tadbir Urus AI Bertanggungjawab yang menekankan ketelusan, latihan krisis, dan ujian pemulihan bencana di seluruh syarikat.
Akhir sekali, bagi Kesan dan Tindakan Alam Sekitar, CelcomDigi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 3.95% antara 2024 dan 2025, manakala pelepasan bagi setiap terabait data yang digunakan berkurangan sebanyak 30% antara 2023 dengan 2025.
Selain itu, Celcomdigi turut melengkapi lebih 15,000 tapak rangkaian dengan ciri penjimatan tenaga.
Celcomdigi menegaskan bahawa pihaknya sedar, skala operasi mereka membawa tanggungjawab yang besar dengan perlu terus meningkatkan standard menerusi kerjasama dengan pihak lain untuk menangani cabaran secara bersama.
