Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AI Study Workspace with Floating Tools

4 Laman Web AI Percuma Yang Boleh Bantu Pelajar IPT Siapkan Tugasan

Diterbitkan November 19, 2026 oleh srhhazirah

Penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) kini semakin biasa dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sama ada untuk mencari bahan rujukan, memahami nota kuliah, menyemak penulisan atau menyediakan bahan pembentangan.

Kebanyakan platform AI popular turut menawarkan pelan percuma, walaupun dengan had penggunaan tertentu. Setiap satu juga mempunyai fungsi berbeza, jadi pelajar boleh memilih mengikut keperluan masing-masing.

Berikut ialah empat laman web AI yang boleh dicuba oleh pelajar IPT untuk membantu urusan pembelajaran.

Senarai Laman Web AI

Gemini Notebook (NotebookLM)

NotebookLM is now Gemini Notebook

Gemini Notebook, yang sebelum ini dikenali sebagai NotebookLM, merupakan platform kecerdasan buatan (AI) daripada Google yang membantu pelajar memahami bahan pembelajaran dengan lebih mudah.

Anda boleh memuat naik bahan seperti dokumen PDF, nota kuliah, dokumen Google dan pautan laman web untuk dianalisis oleh AI. Berdasarkan sumber yang dimuat naik, platform ini boleh membantu menghasilkan ringkasan serta menyusun maklumat mengikut keperluan anda.

Antara fungsi menarik yang tersedia ialah ‘Audio Overview’ yang boleh menukarkan bahan pembelajaran kepada perbincangan audio seperti audio siar (podcast).

Selain itu, terdapat juga ‘Slide Deck’ untuk menghasilkan slaid pembentangan, ‘Video Overview’ untuk menghasilkan video penerangan dan ‘Mind Map’ untuk menyusun isi penting dalam bentuk peta minda.

Pelajar juga boleh menggunakan fungsi ‘Flashcards’ untuk menghasilkan kad imbas dan ‘Quiz’ untuk menjana soalan berdasarkan bahan yang dimuat naik.

Gemini Notebook turut menyediakan fungsi ‘Reports’ untuk menghasilkan laporan dan panduan pembelajaran, ‘Infographic’ untuk mempersembahkan maklumat dalam bentuk grafik serta ‘Data Table’ untuk menyusun maklumat ke dalam jadual. Platform ini menawarkan pelan percuma dengan had penggunaan tertentu, manakala kuota yang lebih tinggi tersedia melalui pelan berbayar.

Rujuk SINI untuk mengetahui fungsi Gemini Notebook dengan lebih terperinci.

Pautan laman web: https://notebook.google.com/

Perplexity AI

Perplexity Logo, symbol, meaning, history, PNG, brand

Perplexity AI merupakan enjin carian berasaskan AI yang membantu pelajar mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber di Internet. Berbeza dengan enjin carian biasa, platform ini menyusun maklumat yang ditemui menjadi jawapan yang lebih mudah difahami berserta pautan sumber untuk semakan lanjut. Ini memudahkan pelajar mendapatkan gambaran awal tentang sesuatu topik tanpa perlu membuka terlalu banyak laman web secara berasingan.

Antara fungsi yang boleh digunakan ialah ‘AI Search’ untuk mencari maklumat berdasarkan soalan yang diberikan.

Perplexity turut menyediakan ‘Source Citations’ yang memaparkan pautan sumber bagi membantu pengguna menyemak kesahihan maklumat. Selain itu, fungsi ‘Follow-up Questions’ membolehkan pelajar mengemukakan soalan tambahan berdasarkan hasil carian sebelumnya untuk mendapatkan penerangan yang lebih terperinci.

Platform ini juga menawarkan fungsi ‘Pro Search’ untuk menjalankan carian yang lebih mendalam serta kemudahan memuat naik fail bagi mendapatkan bantuan analisis. Pengguna akaun percuma boleh mencuba fungsi-fungsi tertentu ini, tetapi tertakluk kepada kuota penggunaan.

Perplexity sesuai digunakan oleh pelajar yang ingin mencari maklumat awal, memahami sesuatu topik dan mendapatkan sumber rujukan untuk tugasan akademik.

Pautan laman web: https://www.perplexity.ai/

Claude AI

Claude's Logo Unboxed: The Colors, Shapes, and Story Behind It — AnyLogo

Claude merupakan pembantu AI yang dibangunkan oleh syarikat Anthropic. Ia boleh membantu pelajar dalam pelbagai tugasan akademik, termasuk memahami bahan pembelajaran, menganalisis dokumen dan menyusun idea penulisan. Pengguna juga boleh memuat naik dokumen seperti PDF untuk mendapatkan ringkasan serta penerangan berdasarkan kandungannya.

Antara kelebihan Claude ialah keupayaannya membantu menghasilkan dan memperbaiki penulisan. Pelajar boleh mendapatkan cadangan untuk menyusun idea, memperkemas struktur esei dan menjadikan ayat lebih mudah difahami.

Claude juga boleh meringkaskan nota kuliah yang panjang dan menerangkan konsep yang sukar difahami. Bagi pelajar bidang teknologi, ia turut boleh digunakan untuk memahami kod pengaturcaraan dan mengenal pasti masalah dalam sesuatu kod.

Claude menawarkan pelan percuma dengan had penggunaan berasaskan sesi yang ditetapkan semula setiap lima jam. Menurut Anthropic, saiz context window dan had penggunaan bagi pelan percuma boleh berubah mengikut permintaan.

Seperti alat AI lain, pelajar perlu menyemak semula fakta dan rujukan yang diberikan Claude sebelum menggunakannya dalam tugasan.

Pautan laman web: https://claude.ai/

Grammarly

grammarly logo long transparent PNG - StickPNG

Bagi anda yang sering menyiapkan tugasan dalam Bahasa Inggeris, Grammarly boleh membantu menyemak kualiti penulisan sebelum tugasan dihantar kepada pensyarah.

Platform ini menggunakan teknologi AI untuk mengenal pasti kesalahan tatabahasa, ejaan dan tanda baca supaya penulisan menjadi lebih jelas serta mudah difahami. Pengguna boleh memasukkan teks secara terus atau menggunakan Grammarly melalui pelayar web dan aplikasi yang disokong.

Antara fungsi yang disediakan ialah ‘Grammar Checker’ untuk mengesan kesalahan tatabahasa, ‘Spell Checker’ untuk membetulkan kesalahan ejaan dan ‘Punctuation Checker’ untuk menyemak penggunaan tanda baca. Grammarly turut menyediakan ‘Tone Detector’ yang membantu mengenal pasti nada penulisan, contohnya sama ada sesuatu ayat kedengaran formal, santai atau profesional.

Selain itu, fungsi cadangan penulisan membantu pengguna memperbaiki struktur ayat dan menjadikan penyampaian lebih tersusun. Grammarly menawarkan pelan percuma yang merangkumi semakan asas tatabahasa, ejaan dan tanda baca serta akses terhad kepada ciri AI. Walau bagaimanapun, fungsi penulisan lanjutan dan penggunaan AI dengan kuota lebih tinggi memerlukan langganan berbayar.

Pautan laman web: https://www.grammarly.com/ 

Penutup

Secara keseluruhannya, setiap laman web AI yang disenaraikan mempunyai fungsi dan kelebihan yang tersendiri dalam membantu urusan pembelajaran. Daripada mencari bahan rujukan dan memahami nota kuliah hinggalah menyemak penulisan, setiap platform boleh dimanfaatkan mengikut keperluan masing-masing.

Walau bagaimanapun, penggunaan AI perlu disertakan dengan semakan dan penilaian sendiri bagi memastikan maklumat yang diperoleh itu adalah tepat dan boleh dipercayai. Jadikan teknologi ini sebagai alat bantuan pembelajaran, bukannya pengganti kepada usaha dan pemahaman sendiri.

Berkaitan

  • 3 Kabel IEM USB-C Bawah RM100
  • Terlupa Kata Laluan MyDigital ID? Kini Boleh Tetapkan Semula Tanpa Batal Sijil Digital

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • China Jadi Lubuk Penjual Telefon Terpakai, iPhone Paling Laku
  • Cara 'Refund' Jom Rebut Deals ShopeeFood
  • Skor AnTuTu Xiaomi 18 Pro Max Melebihi 5 Juta
  • GTA VI Lebih Mencabar, Ini Antara Perubahan Utamanya
  • Curbie, Robot Tolak Tong Sampah Secara Automatik
  • Selepas 13 Tahun, GTA VI Akhirnya Dilancarkan Dengan Ulasan Hampir Sempurna
  • Google Perkenal Gemini 4 Neon, Kualiti Setanding Carbon Dengan Kos Tugasan 32% Lebih Rendah
©2026 WISER.MY