Apple hari ini memperkenalkan Apple Creator Studio, pakej langganan baharu yang memberikan akses kepada enam aplikasi kreatif, ciri pintar serta kandungan premium dalam satu langganan.
Apple Creator Studio merangkumi Final Cut Pro, Logic Pro dan Pixelmator Pro untuk Mac dan iPad, Motion, Compressor dan MainStage di Mac, serta ciri pintar dan kandungan premium bagi KeyNote, Pages, Numbers dan Freeform.

Pixelmator Pro yang sebelum ini hanya tersedia untuk Mac kini turut boleh digunakan di iPad.
Pelanggan Apple Creator Studio juga akan mendapat akses kepada ciri kecerdasan buatan (AI) eksklusif serta kandungan premium, bukan sahaja untuk Final Cut Pro dan Pixelmator Pro, malah untuk aplikasi iWork (Numbers, Pages dan Keynote) serta Freeform yang akan menerima sokongan ini pada lewat tahun ini.

Keynote, Pages, Numbers dan Freeform akan kekal percuma untuk semua pengguna bagi tujuan mencipta, menyunting serta bekerjasama dengan orang lain. Namun, langganan Apple Creator Studio menawarkan akses penuh, termasuk kelebihan tambahan seperti templat premium, Content Hub dengan koleksi foto dan grafik berkualiti tinggi tanpa royalti, serta ciri pintar yang lebih berkuasa.
Harga dan ketersediaan
Apple Creator Studio akan tersedia bermula Khamis, 29 Januari, pada harga RM29.90 sebulan atau RM299 setahun. Semua pelanggan baharu akan menikmati percubaan percuma selama sebulan. Selain itu, dengan pembelian Mac atau iPad baharu yang layak, pelanggan boleh mendapat langganan Apple Creator Studio secara percuma selama tiga bulan.
Sehingga enam ahli keluarga boleh berkongsi semua aplikasi dan kandungan dalam Apple Creator Studio melalui Family Sharing.
Bagi pelajar kolej dan pendidik, Apple Creator Studio ditawarkan pada harga RM9.90 sebulan atau RM99 setahun.
Selain itu, Apple turut menyediakan versi pembelian satu kali untuk Final Cut Pro (RM1,299.90), Logic Pro (RM999.90), Pixelmator Pro (RM229.90), Motion (RM229.90), Compressor (RM229.90) dan MainStage (RM129.90) turut tersedia di Mac App Store.
Untuk maklumat lanjut, layari laman Apple Creator Studio.
{suggest}


