Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Apple store, Huangpu district, AFP

Apple Catat Untung Besar, Perkhidmatan Digital Jadi Sumber Utama Pendapatan

Posted on Oktober 31, 2025

Apple mencatatkan keuntungan bersih sebanyak US$27.5 bilion bagi suku kewangan berakhir September, disokong oleh hasil kukuh daripada jualan iPhone dan perniagaan perkhidmatan digitalnya.

Pendapatan keseluruhan syarikat mencecah US$102.5 bilion, melepasi jangkaan pasaran walaupun berdepan kesan kewangan daripada tarif perdagangan Amerika Syarikat serta sedikit penurunan hasil di China berbanding tahun lalu.

“Apple sangat berbangga mencatatkan rekod hasil bagi suku September,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook, dalam kenyataan rasmi.

Saham Apple meningkat lebih 2% dalam dagangan selepas waktu pasaran susulan laporan kewangan itu dikeluarkan.

Walaupun jualan iPhone sedikit di bawah jangkaan penganalisis, jumlah hasilnya masih meningkat kepada US$49 bilion, didorong pelancaran siri iPhone 17 pada September lalu.

Naib Presiden Penyelidikan CFRA, Angelo Zino, menyifatkan prestasi tersebut sebagai “memberangsangkan” memandangkan permintaan tinggi untuk model baharu itu.

Sektor perkhidmatan Apple pula menjadi penyumbang utama, mencatatkan US$28.8 bilion hasil — meningkat kira-kira US$3 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bahagian ini merangkumi langganan digital seperti iCloud, App Store, Apple Music dan Apple TV+.

Menurut Cook, tahun fiskal 2025 merupakan tahun luar biasa buat Apple dengan rekod hasil tahunan sebanyak US$416 bilion. Beliau turut menjangkakan suku semasa akan menjadi “yang terbaik pernah dicapai” oleh syarikat.

Cook berkata Apple terus memperluaskan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) melalui platform baharu “Apple Intelligence”, termasuk ciri seperti terjemahan masa nyata semasa panggilan dan pembantu digital Siri yang lebih pintar dijangka dilancarkan tahun depan.

Beliau turut menekankan peranan cip rekaan dalaman Apple Silicon dalam mengukuhkan pengalaman AI pada semua produk. “Cip kami yang canggih menjadikan peranti Apple tempat terbaik untuk alami kuasa sebenar AI,” jelas Cook.

Walaupun menghadapi kos tarif hampir US$1.1 bilion akibat dasar perdagangan era Trump, Apple tetap mencatat margin keuntungan lebih tinggi daripada jangkaan.

Secara keseluruhan, Apple kekal positif terhadap permintaan iPhone di China dan menjangkakan peningkatan jualan pada suku berikutnya apabila bekalan kembali stabil. – AFP

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress