Apple merancang untuk merombak Siri lewat tahun ini dengan menjadikan pembantu digital itu sebagai chatbot kecerdasan buatan (AI), lapor Bloomberg.
Menggunakan nama kod “Campos”, bot sembang ini dikatakan bakal diintegrasikan dalam iOS 27, iPadOS 27 dan macOS 27, sekali gus menggantikan versi Siri yang digunakan ketika ini.
Dari segi penggunaan, ia dijangka menawarkan fungsi perbualan bahasa semula jadi seperti bot sembang lain termasuk ChatGPT. Pengguna masih boleh mengaksesnya dengan menyebut arahan “Siri”, atau tekan dan tahan butang sisi pada iPhone atau iPad.
Menurut Mark Gurman, Siri “baharu yang lebih baharu” dalam iOS 27 ini merupakan naik taraf susulan daripada Siri “baharu” yang dijangka hadir dalam iOS 26.4.
Ringkasnya, Apple dikatakan akan memperkenalkan dua perubahan berasingan untuk Siri iaitu satu dalam iOS 26.4, dan satu lagi dalam iOS 27.
Siri versi bot sembang ini berkemungkinan menggunakan Gemini dengan sokongan TPU dan infrastruktur awan milik Google. Ini bermakna model tersebut dijangka jauh lebih berkuasa berbanding versi Siri yang bakal hadir dalam iOS 26.4, yang dijalankan pada pelayan Apple.
The Siri chatbot is known internally as Campos. It’ll be likely be powered by Gemini running on Google’s own TPUs and cloud infrastructure, meaning it’s a far more powerful model than the one coming to Siri this spring and running on Apple’s servers. https://t.co/sUE8wpLVvg
— Mark Gurman (@markgurman) January 21, 2026
Sebelum ini, Apple dilaporkan agak keberatan dan sengaja mengelak daripada melancarkan bot sembang, malah menyatakan dalam beberapa temu bual bahawa mereka tidak berminat dengan konsep tersebut.
Namun, ChatGPT yang kini mempunyai lebih 800 juta pengguna, serta Gemini, dilihat membuktikan Apple perlu bergerak lebih pantas ke arah itu.
{suggest}
