Google mengumumkan aplikasi Fitbit kini dijenamakan semula sebagai Google Health.
Melalui kemas kini ini, Google bukan sekadar menukar nama aplikasi, malah memperkenalkan rekaan dan pengalaman penggunaan yang lebih menyeluruh dengan integrasi pelbagai ciri kesihatan dalam satu platform.
Aplikasi Google Health kini dibahagikan kepada empat tab utama iaitu Today, Fitness, Sleep dan Health bagi memudahkan pengguna melihat data berkaitan aktiviti harian, kecergasan, tidur serta kesihatan keseluruhan dengan lebih cepat.

Google turut menambah sokongan untuk lebih banyak pilihan metrik yang boleh disesuaikan untuk papan pemuka di tab Today dan Health mengikut keutamaan pengguna.
Selain itu, butang “Log” baharu juga membolehkan pengguna menambah data secara manual seperti aktiviti, lemak badan, makanan, glukosa, hidrasi, kitaran haid, tidur, suhu badan dan berat badan melalui antara muka yang lebih moden.
Bagi pengguna di Amerika Syarikat, Google turut menyediakan ciri penyelarasan rekod perubatan yang membolehkan maklumat seperti keputusan makmal, ubat-ubatan dan tanda vital dipaparkan terus dalam aplikasi.
Pelanggan Google Health Premium, yang sebelum ini dikenali sebagai Fitbit Premium, pula akan menerima Google Health Coach yang dibina menggunakan Gemini. Ciri ini boleh memberikan cadangan berkaitan kesihatan, pelan senaman mingguan serta analisis tabiat tidur pengguna secara lebih diperibadikan.

Google Health Premium kini turut disertakan dalam pelan Google AI Pro dan AI Ultra di lebih 30 negara. Ia juga boleh dilanggan secara berasingan pada harga RM38.90 sebulan atau RM329.90 setahun.

Ketersediaan
Menurut Google, pengguna Fitbit sedia ada tidak perlu memuat turun aplikasi baharu kerana kemas kini akan dilakukan secara automatik bermula 19 Mei dan dijangka tersedia sepenuhnya menjelang 26 Mei 2026. Semua data pengguna juga akan dipindahkan secara terus ke Google Health.
Google turut menegaskan data kesihatan pengguna Fitbit tidak akan digunakan untuk tujuan pengiklanan Google Ads, dan pengguna masih mempunyai kawalan penuh terhadap data mereka termasuk pilihan untuk memadam atau mengurus perkongsian data pada bila-bila masa.
{suggest}
