Zaman remaja dulu, mungkin kita rasa nama seperti [email protected] atau [email protected] nampak menarik. Tapi sekarang, mungkin ada yang mula rasa kurang selesa untuk menggunakan alamat e-mel “unik” itu dalam urusan rasmi
Selama lebih 20 tahun, satu-satunya cara untuk menukar alamat Gmail hanyalah dengan mendaftar akaun baharu. Kini, Google mula membenarkan pengguna menukar alamat “@gmail.com” tanpa perlu mencipta akaun baru.
Ciri ini mula diperkenalkan di Amerika Syarikat sekitar awal April, dan kini dilihat mula muncul kepada sebahagian pengguna di Malaysia.
Namun begitu, pelaksanaannya masih terhad dan tidak semua akaun mempunyai akses, menunjukkan ia dilancarkan secara berperingkat. Sebagai contoh, ada pengguna yang hanya boleh menukar alamat pada satu akaun sahaja walaupun mempunyai beberapa akaun.
2004 was a good year, but your Gmail address doesn't need to be stuck in it.
To say goodbye to [email protected] or [email protected] (or whatever you were into at the time), go to your Google Account settings and choose any name available. You'll keep your old…
— Sundar Pichai (@sundarpichai) March 31, 2026
Sebelum menukar alamat e-mel, ada beberapa perkara yang perlu difahami terlebih dahulu. Penukaran alamat e-mel Google tidak akan menjejaskan data yang disimpan dalam akaun seperti foto, mesej, fail dan lain-lain.
Selain itu, alamat lama akan disimpan sebagai e-mel alternatif dan masih boleh digunakan untuk log masuk ke akaun Google. E-mel yang dihantar ke alamat lama juga tetap akan diterima melalui peti masuk yang sama.
Dalam masa sama, sesetengah perkhidmatan Google dan pihak ketiga mungkin akan menggunakan alamat baharu, manakala ada juga yang masih memaparkan alamat lama.
Jika perlu, pengguna boleh kembali menggunakan alamat lama pada bila-bila masa. Namun, penukaran alamat e-mel baharu hanya dibenarkan sekali setiap 12 bulan, dengan had maksimum tiga kali sepanjang hayat akaun. Ciri ini juga hanya tersedia untuk akaun Gmail peribadi dan tidak melibatkan akaun kerja atau sekolah.
Cara Tukar Alamat E-mel Akaun Google
Buat masa ini, Google masih belum mengesahkan bila ciri ini akan tersedia untuk semua pengguna. Namun jika akaun sudah menyokongnya, proses untuk menukar alamat e-mel Google adalah seperti berikut:
- Pergi ke myaccount.google.com dan masukkan kata laluan. Sebagai alternatif, boleh terus ke myaccount.google.com/google-account-email dan langkau langkah 2 & 3.
- Klik “Personal Info” di menu sebelah kiri.
- Klik kad “Email”.
- Di bawah “Google Account email”, klik “Change Google Account email”.
- Seterusnya, masukkan nama baharu yang diinginkan, sahkan perubahan, dan ikuti langkah yang diberikan sehingga selesai.
Jika pilihan tersebut belum muncul, kemungkinan besar ciri ini belum diaktifkan untuk akaun berkenaan lagi. Pengguna boleh menyemaknya dari semasa ke semasa.

{suggest}


