Google kini melancarkan ciri perlindungan penipuan dipertingkat dalam Google Play Protect kepada semua pengguna Android di Malaysia bagi melindungi rakyat daripada ancaman perisian hasad dan penipuan kewangan. Inisiatif yang disokong oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini dilancarkan sempena acara Google 2026 Online Safety Dialogue bersama Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan digital negara melalui Kempen Internet Selamat 2.0.
Ciri perlindungan baharu ini berfungsi dengan menganalisis dan menyekat secara automatik pemasangan aplikasi yang dikesan menyalahgunakan kebenaran sensitif untuk tujuan penipuan kewangan.
Apabila seseorang pengguna cuba memasang aplikasi daripada sumber luar seperti pelayar web atau aplikasi mesej, Google Play Protect akan melakukan pemeriksaan kebenaran secara masa nyata bagi memantau kebenaran ‘runtime’ yang sering dieksploitasi seperti membaca SMS atau memintas kata laluan sekali guna (OTP).
Jika aplikasi tersebut dikesan meminta akses kepada data sensitif ini, pemasangan akan disekat serta-merta dan pengguna akan diberikan amaran jelas mengenai risiko kecurian identiti atau penipuan kewangan yang mungkin berlaku.
Selain perlindungan pada peringkat peranti, Google turut mengumumkan kemas kini bagi meningkatkan akauntabiliti kandungan dalam talian melalui pengesahan pembangun Android mandatori bagi menghalang pesalah tegar daripada mengedarkan aplikasi berbahaya, dengan sasaran semua aplikasi di Malaysia mestilah datang daripada pembangun sah menjelang tahun 2027.
Google juga mewajibkan pengiklan perkhidmatan kewangan untuk mendapatkan pengesahan daripada pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum boleh menjalankan iklan di platform mereka, bermula 14 April 2026 bagi membantu menyekat promosi kewangan yang bersifat penipuan.
Bagi melengkapkan usaha ini, Google akan melancarkan permainan “Be Scam Ready” dalam Bahasa Melayu bermula suku ketiga tahun 2026 untuk membantu pengguna membina kemahiran berfikir secara kritis dalam mengesan penipuan di dunia nyata.
Selain itu, Google turut memperluaskan inisiatif Scam Ready ASEAN di Malaysia dengan kerjasama Yayasan ASEAN, yang menyasarkan jangkauan kepada lebih 200,000 rakyat Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang melalui model “latih-para-pelatih” bagi memperkasakan pemimpin komuniti dalam menyampaikan latihan pencegahan penipuan yang berkesan.
{suggest}



