Google baru-baru ini mengumumkan langkah seterusnya dalam dunia kecerdasan buatan dan realiti lanjutan (XR). Kalau sebelum ini Gemini hanya hidup dalam telefon, jam tangan, TV atau skrin dalam kereta, kini Google cuba bawa pengalaman AI terus ke mata pengguna melalui platform baharu yang dikenali sebagai Android XR.
Android XR ialah platform Android pertama yang dibina khusus untuk era Gemini. Ia direka untuk menyokong pelbagai jenis peranti termasuk fon kepala dan cermin mata pintar. Tapi yang paling menarik perhatian adalah pengenalan kepada cermin mata Android XR yang boleh faham apa yang anda lihat dan dengar.

Cermin mata ini dilengkapi kamera, mikrofon dan pembesar suara. Ia juga boleh disambung dengan telefon dan memberikan paparan peribadi melalui skrin dalam lensa.
Dengan bantuan Gemini, pengguna boleh berinteraksi secara terus dengan AI yang faham konteks sekeliling mereka. Antara fungsi utama yang ditunjuk termasuk:
- Terjemahan masa nyata antara dua individu
- Navigasi heads-up tanpa buka telefon
- Hantar mesej, buat janji temu atau ambil gambar hanya dengan suara
- Paparan maklumat berdasarkan persekitaran secara spontan
Ciri-ciri ini membolehkan pengguna fokus pada dunia sebenar sambil kekal terhubung secara digital tanpa perlu pegang peranti. Ia lebih fleksibel dan mesra pengguna berbanding pengalaman AI pada skrin biasa.
Google juga sedar, kalau nak cermin mata ni betul-betul dipakai orang ramai, reka bentuk kena praktikal dan bergaya.
Sebab itu mereka bergabung dengan jenama seperti Gentle Monster dan Warby Parker untuk hasilkan cermin mata yang sedap dipakai dan nampak moden. Dalam masa terdekat, jenama seperti Kering Eyewear juga bakal sertai ekosistem ini.
Sebagai sebahagian daripada strategi ini, Google dan Samsung turut bekerjasama untuk membina platform rujukan yang membolehkan pembangun membina aplikasi khas untuk Android XR. SDK dan peralatan pembangunan akan mula dibuka kepada pembangun pada penghujung tahun ini.
Buat masa ini, belum ada tarikh pelancaran rasmi. Namun, berdasarkan demo yang ditunjuk di Google I/O, jelas teknologi ini semakin hampir untuk jadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Kali ini, Google nampak lebih bersedia untuk masuk ke dunia kaca mata pintar dengan cara yang praktikal dan relevan.
Anda teringat akan Google Glass bukan? Mungkin inilah versi baharu yang dibangkitkan semula.
{suggest}