Akaun Fleksibel KWSP Yang Benarkan Pengeluaran Bila-Bila Masa Bermula Pada Mei Ini

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan akaun fleksibel kepada pencarumnya yang membolehkan mereka mengeluarkan wang pada bila-bila masa menerusi akaun 3 akan bermula pada 11 Mei depan.







Di bawah Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini, akaun ahli KWSP akan distruktur semula daripada dua (2) akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga (3) akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

  • Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan;

  • Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan; dan

  • Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.








Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut: 75% ke dalam Akaun Persaraan, 15% ke dalam Akaun Sejahtera dan 10% ke dalam Akaun Fleksibel.

"Antara 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel. Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

"Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan. Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli." KWSP.

Kaedah pindahan adalah mengikut pecahan seperti di bawah:

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas

Pindahan akan dibuat seperti berikut:
•  Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;
•  Lima per tiga puluh (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan
•  Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang dari RM3,000

Pindahan akan dibuat seperti berikut:
•  Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
•  Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Perbezaan dalam kaedah pengagihan ini adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

Ringkasan pindahan amaun permulaan adalah seperti berikut:



Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Ahli yang masih belum mendaftar KWSP i-Akaun adalah digalakkan untuk melakukannya bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dapat dilaksanakan.

Menurut KWSP, ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel mereka pada bila-bila masa selepas tempoh kuat kuasa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Ahli KWSP boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun.

Sumber: KWSP