Selepas kenaikan Mac lalu, Shopee sekali lagi mengumumkan pelarasan Yuran Komisen Marketplace yang bakal berkuat kuasa mulai 16 Julai 2025.
Shopee memaklumkan kadar komisen baharu ini hanya terpakai kepada penjual Marketplace tempatan dan tidak melibatkan penjual Shopee Mall serta kadar komisen penjual luar negara.
Dengan kadar baharu ini, penjual Marketplace akan dikenakan komisen sehingga 15%, berbanding kadar tertinggi sebelum ini iaitu 13%.
Menurut Shopee, yuran komisen ini hanya akan dikenakan kepada penjual yang berniaga di platform itu melebihi 120 hari, bermula dari tarikh penyenaraian produk pertama penjual di platform Shopee. Yuran ini hanya akan mula berkuat kuasa pada hari ke-121 dan seterusnya.
Butiran penuh kadar komisen bagi setiap subkategori boleh disemak di laman rasmi Shopee.
Yuran Sokongan Platform
Selain pelarasan yuran komisen, Shopee turut memperkenalkan Yuran Sokongan Platform berkuat kuasa 16 Julai 2025.
Kadar yang ditetapkan sebanyak RM0.50 (tertakluk kepada 8% SST) bagi setiap pesanan yang berjaya dihantar, terpakai untuk semua pesanan yang dibuat mulai 16 Julai 2025 – pesanan di bawah “Fulfilled by Shopee Program” akan dikecualikan.
Caj ini akan ditolak secara automatik daripada setiap pesanan sebelum hasil jualan dipindahkan ke baki akaun penjual di Shopee.
Menurut Shopee, Yuran Sokongan Platform merupakan caj perkhidmatan yang diperkenalkan bagi menyokong pembangunan berterusan, penyelenggaraan, penambahbaikan serta peningkatan di platform Shopee untuk memastikan pengalaman pengguna yang lebih lancar.
Ia merangkumi sokongan terhadap pelbagai ciri baharu seperti aplikasi Shopee Seller Centre, kandungan yang dijana AI, Shop AI Assistant dan pelbagai fungsi lain yang membantu penjual mengoptimumkan jualan serta prestasi, selain memudahkan urusan pembelian untuk pembeli.
Yuran ini hanya dikenakan kepada penjual yang telah melepasi tempoh 120 hari dari tarikh penyenaraian produk pertama atau telah mencapai 100 pesanan berjaya, bergantung kepada mana-mana yang berlaku lebih awal.
{suggest}