Selepas pertama kali didedahkan pada Mei lalu, Xiaomi YU7 kini dilancarkan secara rasmi sebagai SUV elektrik kedua keluaran Xiaomi, meneruskan momentum selepas kejayaan Xiaomi SU7. Kali ini, YU7 hadir dengan saiz lebih besar, teknologi canggih, dan prestasi yang menyaingi model popular seperti Tesla Model Y tetapi dengan harga yang jauh lebih rendah.
Dengan panjang 4,999 mm dan jarak roda 3,000 mm, YU7 direka khusus untuk pasaran EV keluarga, menampilkan ruang dalaman luas serta teknologi terkini dari ekosistem pintar Xiaomi.
Bahagian dalaman Xiaomi YU7 menampilkan susun atur yang menekankan integrasi teknologi. Di bahagian papan pemuka, terdapat skrin HyperVision sepanjang 1.1 meter yang terdiri daripada tiga paparan Mini-LED, masing-masing dengan kecerahan maksimum sehingga 1,200 nits. Paparan ini berfungsi sebagai pusat kawalan utama untuk sistem hiburan dan kenderaan, dan dijana oleh cip NVIDIA DRIVE AGX Thor.
YU7 turut menyokong integrasi dengan ekosistem Apple, termasuk fungsi kunci digital UWB untuk iPhone, yang membolehkan akses dan kawalan kenderaan melalui peranti mudah alih. Sistem pembantu suara XiaoAI juga boleh digunakan dari luar kereta untuk tugasan seperti membuka but atau menyemak maklumat cuaca.
Bagi tempat duduk, model ini menawarkan pilihan tempat duduk hadapan “zero-gravity” berbalut kulit Nappa dengan ciri baring sehingga 123 darjah dan fungsi urutan. Tempat duduk belakang boleh dilaraskan sehingga 135 darjah secara elektrik. Terdapat juga pilihan peti sejuk terbina berkapasiti 4.6 liter yang boleh menyejuk atau memanaskan kandungan mengikut keperluan.
Semua varian YU7 dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan yang menggunakan LiDAR dan radar 4D. Struktur badan menggunakan reka bentuk “Armor-Cage” yang terdiri daripada campuran keluli dan aluminium, termasuk komponen keluli dengan kekuatan sehingga 2,200 MPa. Pek bateri dilindungi dengan salutan kalis peluru sebagai langkah perlindungan tambahan.
YU7 ditawarkan dalam tiga varian:
- YU7 (RWD) – Motor tunggal, 320hp, 528Nm, 0-100 km/j dalam 5.88 saat, jarak 835 km (CLTC).
- YU7 Pro (AWD) – Dwi-motor, 496hp, 690Nm, 0-100 km/j 4.27 saat, jarak 770 km.
- YU7 Max (AWD) – Model paling berkuasa, 690hp, 866Nm, 0-100 km/j 3.23 saat, kelajuan maksimum 253 km/j, jarak 760 km dengan bateri 101.7 kWh.
Kesemua model dibina atas platform 800V untuk pengecasan ultra pantas di mana 10% ke 80% hanya dalam 12 hingga 21 minit, bergantung kepada model.
Harga
Berikut adalah harga mengikut model:
Xiaomi YU7 (RWD)
- Harga: RMB253,500 (~RM149,650)
- Kuasa: 320hp, tork 528Nm
- Jarak (CLTC): 835 km
- Pecutan 0-100 km/j: 5.88 saat
- Pacuan: Roda belakang (RWD)
- Bateri: 96.5 kWh, jenis LFP
- Had laju: 240 km/j
- Pengecasan DC 10–80%: 21 minit
Xiaomi YU7 Pro (AWD)
- Harga: RMB279,900 (~RM165,000)
- Kuasa: 496hp, tork 690Nm
- Jarak (CLTC): 770 km
- Pecutan 0-100 km/j: 4.27 saat
- Pacuan: Semua roda (AWD)
- Bateri: 96.5 kWh, jenis LFP
- Had laju: 240 km/j
- Pengecasan DC 10–80%: 21 minit
Xiaomi YU7 Max (AWD)
- Harga: RMB329,900 (~RM194,516)
- Kuasa: 690hp, tork 866Nm
- Jarak (CLTC): 760 km
- Pecutan 0-100 km/j: 3.23 saat
- Pacuan: Semua roda (AWD)
- Bateri: 101.7 kWh, jenis NMC
- Had laju: 253 km/j
- Pengecasan DC 10–80%: 12 minit
{suggest}