Xiaomi 18 Fold akhirnya dilancarkan secara rasmi di China selepas diperlihatkan kepada umum di IFA 2026 baru-baru ini. Telefon boleh lipat ini hadir dengan reka bentuk lipatan lebar, selain membawa beberapa spesifikasi kelas flagship termasuk cip baharu Xiaomi, bateri 6,000mAh dan kamera Leica 200MP.
Xiaomi 18 Fold dilengkapi skrin luaran AMOLED berukuran 5.38-inci dengan resolusi 1712 x 1168, manakala skrin dalaman berukuran 7.58-inci dengan resolusi 2364 x 1672. Kedua-dua skrin menyokong kadar segar semula adaptif LTPO 1-120Hz dan kecerahan puncak sehingga 4,000 nits.

Skrin dalaman menggunakan nisbah sekitar √2:1, sama seperti kertas A4, yang menurut Xiaomi membolehkan penggunaan ruang skrin yang lebih tinggi untuk pelbagai jenis kandungan seperti video 16:9, foto 4:3 dan dokumen.
Xiaomi turut menggunakan struktur Ultra Thin Glass (UTG) dua lapisan pada skrin dalaman. Ia terdiri daripada lapisan UTG atas setebal 50μm dan lapisan sokongan UTG setebal 30μm untuk meningkatkan perlindungan skrin. Sokongan HDR10+, HDR Vivid dan Dolby Vision turut disediakan.

Dari segi reka bentuk, Xiaomi 18 Fold mempunyai berat 219 gram, dengan ketebalan 10.68mm dalam keadaan dilipat dan 5.02mm apabila dibuka. Peranti ini menggunakan bingkai aloi aluminium 7000-series, manakala bahagian belakang dan skrin luaran dilindungi Xiaomi Shield Glass 3.0.
Untuk bahagian lipatan, Xiaomi 18 Fold dimuatkan engsel generasi baharu dengan struktur three-link dipatenkan, yang mengelilingi bahagian skrin untuk memberikan perlindungan tambahan, selain menyediakan lebih banyak ruang untuk paparan.

Xiaomi menyatakan penambahbaikan pada engsel, kawasan sekelilingnya dan struktur skrin membolehkan Xiaomi 18 Fold menawarkan 258% peningkatan ketahanan hentakan pada skrin dalaman serta menyokong jatuhan dari ketinggian sehingga 1.2 meter.
Untuk prestasi, Xiaomi 18 Fold dikuasakan cip XRing O3 yang dibangunkan menggunakan proses 3nm TSMC. Cip ini menampilkan CPU 10-teras ‘all-big-core’ pada kelajuan sehingga 4.35GHz, GPU 16-teras G2-Ultra NX dan NPU empat teras XRing.
XRING O3 juga merupakan cip pertama yang menyokong memori LPDDR6. Teknologi tersebut menawarkan kadar data sehingga 10,667Mbps, antara muka 24-bit dan bandwidth memori sehingga 113.8GB/s, iaitu hampir 50% lebih tinggi berbanding LPDDR5X-9600.
Pilihan memori Xiaomi 18 Fold bermula dengan 12GB RAM LPDDR5X + 256GB storan UFS 4.1, diikuti konfigurasi 12GB + 512GB dan 16GB + 512GB, yang kedua-duanya turut menggunakan LPDDR5X dan UFS 4.1. Varian tertinggi pula menawarkan 16GB RAM LPDDR6 + 1TB storan UFS 4.1.
Untuk fotografi, Xiaomi melengkapkan telefon ini dengan sistem tiga kamera belakang berjenama Leica. Kamera utamanya menggunakan sensor 200MP HP5 berukuran 1/1.56-inci. Ia digandingkan dengan kamera periskop telefoto 50MP f/2.8 yang menawarkan zum optikal 3.5x, zum berkualiti sehingga 7x serta OIS. Kamera ketiga pula ialah 50MP ultra lebar dengan apertur f/2.4.

Sistem kamera belakang itu turut menyokong rakaman video sehingga 8K/24fps, manakala rakaman 4K boleh dilakukan pada 30fps atau 60fps. Untuk video gerak perlahan, ia menyokong sehingga 960fps pada resolusi 1080p atau 720p. Di bahagian hadapan, terdapat kamera 16MP f/2.2.

Bagi menghidupkan peranti, Xiaomi 18 Fold dilengkapi bateri 6,000mAh dengan dua sel bateri. Kedua-duanya menggunakan proses stacking dengan kandungan silikon tinggi sebanyak 20%, selain menawarkan ketumpatan tenaga sehingga 920Wh/L. Xiaomi mendakwa kapasiti bateri ini merupakan yang terbesar dalam kalangan peranti dengan faktor bentuk yang sama.
Ia menyokong pengecasan berwayar Xiaomi HyperCharge 67W dan 50W wayarles.

Antara sambungan yang tersedia termasuk Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0, UWB dan USB 3.2 Gen 2. Xiaomi 18 Fold turut mempunyai penarafan IP58 dan IP59, serta menjalankan Xiaomi HyperOS 4 dan turut membawa Super XiaoAi 2.0, iaitu pembantu pintar Xiaomi.

Xiaomi 18 Fold ditawarkan dalam empat pilihan kemasan iaitu Black, White, Red dan Ceramic Version.
Untuk edisi Ceramic Version, Xiaomi menggunakan bahan seramik silikon nitrida pada panel belakang. Menurut Xiaomi, ini merupakan kali pertama bahan tersebut digunakan pada panel belakang sebuah telefon pintar.
Harga dan ketersediaan
Xiaomi 18 Fold dijual pada harga bermula 10,999 yuan (~RM6,628) di China, manakala Ceramic Version dengan warna Pink tersedia pada harga 15,999 yuan (~RM9,611) dalam konfigurasi 16GB RAM + 1TB dan terhad kepada 1,500 unit.
Buat masa ini, Xiaomi masih belum mengumumkan bila atau sama ada Xiaomi 18 Fold akan dijual di luar pasaran China.
{suggest}





