Sebilangan pengguna WhatsApp kini mula menerima ciri yang membolehkan penghantaran mesej dijadualkan lebih awal melalui platform pemesejan itu.
Berdasarkan laporan WABetaInfo, WhatsApp mula menguji fungsi tersebut menerusi versi beta Android 2.26.40.7 pada Oktober lalu, sebelum diperluaskan kepada penguji beta iOS melalui versi 26.42.10.19. Kini, ciri berkenaan juga mula diterima sebilangan pengguna versi stabil, walaupun pengedarannya masih terhad kepada akaun tertentu.
Ciri ini menyokong penghantaran mesej teks, pautan, foto dan video, sama ada dalam perbualan individu mahupun kumpulan. Pengguna boleh menetapkan penghantaran sekurang-kurangnya 10 minit lebih awal atau sehingga dua minggu dari waktu semasa.
Untuk menjadualkan mesej, pengguna hanya perlu menaip mesej seperti biasa sebelum menekan dan menahan butang hantar. Pilihan untuk menetapkan tarikh dan waktu penghantaran kemudiannya akan dipaparkan.

Mesej yang telah dijadualkan boleh disemak menerusi bahagian khusus dalam maklumat sembang bagi setiap perbualan. Pengguna juga boleh memadamnya sebelum waktu penghantaran tanpa penerima dimaklumkan mengenai tindakan tersebut.
Namun begitu, setiap foto dan video perlu dijadualkan secara berasingan kerana WhatsApp tidak menyokong penghantaran beberapa kandungan dalam satu mesej berjadual.

Bagi sembang kumpulan, mesej hanya akan dihantar kepada ahli yang sudah berada dalam kumpulan ketika jadual penghantaran ditetapkan. Individu yang menyertai kumpulan selepas itu tidak akan menerima mesej berkenaan.
Perkembangan ini turut dikongsikan oleh akaun rasmi WhatsApp di platform X, dengan menyatakan fungsi tersebut sudah berfungsi. Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai peluasan ketersediaannya, yang setakat ini dilihat dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna.
