Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

WhatsApp Plus Mula Ditawarkan Di Malaysia, Harga RM3.50/Bulan

Posted on Jun 12, 2026Jun 12, 2026

Meta baru-baru ini telah melancarkan pelan langganan berbayar untuk aplikasi utamanya, dan kini WhatsApp Plus dilihat mula ditawarkan kepada pengguna iOS dan Android di Malaysia.

Di Malaysia, langganan pilihan ini tersedia pada harga RM3.50/bulan dengan percubaan percuma selama sebulan untuk pengguna baharu. Perkhidmatan pemesejan dan panggilan sedia ada kekal percuma, manakala WhatsApp Plus hanya memberikan akses kepada lebih banyak pilihan penyesuaian serta beberapa ciri tambahan dalam aplikasi.

Antaranya termasuk pilihan ikon aplikasi tersuai, pelekat eksklusif, tema antara muka aplikasi, serta nada dering eksklusif untuk kenalan tertentu.

Selain itu, pengguna turut diberikan lebih banyak kawalan dalam mengurus perbualan. WhatsApp Plus membolehkan sehingga 20 sembang dipinkan pada bahagian atas senarai sembang, sekali gus memudahkan akses kepada perbualan yang paling kerap digunakan atau dianggap penting.

Instagram Plus turut ditawarkan

Dalam masa yang sama, Meta juga mula menawarkan Instagram Plus kepada pengguna di Malaysia. Langganan tersebut berharga RM4.50 sebulan dan turut disertakan percubaan percuma selama sebulan.

Berbanding WhatsApp Plus yang memfokuskan kepada penyesuaian aplikasi dan pengurusan sembang, Instagram Plus menawarkan ciri tambahan yang tertumpu kepada perkongsian Instagram Stories, pemperibadian profil serta akses kepada maklumat tambahan mengenai kandungan yang dimuat naik.

Antara ciri yang ditawarkan termasuk Story Spotlight untuk memberikan keutamaan Story dalam kalangan rakan, keupayaan mencipta pelbagai senarai audiens Story, pilihan memanjangkan tempoh Stories sehingga 48 jam serta fungsi untuk melihat berapa kali Story ditonton semula.

Dari aspek penyesuaian, pelanggan Instagram Plus boleh memilih ikon aplikasi tersuai, menukar fon bio profil, pin sehingga enam siaran (post) pada profil serta memuat naik kandungan terus ke profil atau Highlights tanpa memaparkannya dalam suapan pengguna lain.

Buat masa ini, kedua-dua langganan tersebut dilihat mula tersedia kepada pengguna di Malaysia secara berperingkat menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress