Waze menafikan dakwaan bahawa aplikasi navigasinya mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membolehkan mana-mana pihak mengeksploitasi data peribadi pengguna, susulan keputusan kerajaan Malaysia melarang penjawat awam menggunakan aplikasi itu ketika menjalankan tugas rasmi.
Memetik laporan Reuters, jurucakap Waze pada Khamis menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar sama sekali.
“Waze beroperasi di bawah dasar privasi yang ketat bagi melindungi data pengguna dan mematuhi piawaian undang-undang perlindungan data global,” kata jurucakap syarikat itu dalam kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada Reuters.
Terdahulu, kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 20 Oktober 2026.
Menurut kerajaan, keputusan itu dibuat berdasarkan dua pertimbangan utama. Pertama, skop data terperinci yang dikumpulkan Waze, termasuk maklumat lokasi, pergerakan, perjalanan dan peranti pengguna. Kedua, Terma Penggunaan Waze yang menetapkan penggunaan aplikasi tersebut tertakluk kepada undang-undang Israel dan bidang kuasa eksklusif mahkamah di Tel Aviv, Israel.
