Activision mengumumkan bahawa permainan Call of Duty: Warzone Mobile tidak lagi tersedia di App Store dan Google Play bermula 18 Mei 2025 dan sokongan bagi permainan tersebut juga kini secara rasmi ditamatkan.
Menurut kenyataan rasmi Activision, keputusan ini dibuat kerana Warzone Mobile tidak memenuhi jangkaan mereka, terutamanya dalam menarik pemain mudah alih seperti yang berlaku pada versi PC dan konsol.
Walaupun game ini sudah tidak boleh dimuat turun, pemain yang telah memasangnya sebelum 19 Mei 2025 masih boleh bermain seperti biasa.
Fungsi seperti matchmaking dan inventori masih berfungsi, tetapi tiada lagi kandungan baharu, kemas kini musim, atau pembelian dalam aplikasi.
COD Points sedia ada masih boleh digunakan dalam permainan, tetapi pemain tidak boleh lagi membuat pembelian baharu menggunakan wang sebenar.
Sebagai penghargaan kepada pemain sedia ada, Activision menawarkan ganjaran khas dalam Call of Duty: Mobile. Pemain hanya perlu log masuk ke COD Mobile menggunakan akaun Activision yang sama untuk menebusnya.
Secara ringkas, Warzone Mobile tidak akan menerima sebarang perkembangan baharu dan akan perlahan-lahan ditamatkan. Fokus kini kembali kepada Call of Duty: Mobile sebagai platform utama FPS mudah alih.
{suggest}
