Telegram mula menghantar amaran keselamatan kepada pengguna iPhone yang masih menggunakan versi iOS lama, dengan mengingatkan kelemahan pada sistem operasi tersebut boleh mendedahkan data dan akaun pengguna kepada risiko penggodaman.
Amaran itu turut dikongsikan pengasas Telegram, Pavel Durov, yang mendakwa pengguna iPhone sedang menjadi sasaran penggodaman secara besar-besaran.
Menurutnya, dalam keadaan tertentu, hanya dengan membuka laman web sudah boleh menyebabkan peranti diceroboh.
🚨 iPhone users are being hacked on a massive scale.
If your iOS is even slightly outdated, all your data is at risk.
Just opening a website can be enough to get you hacked.
We're sending this warning to all our users on older iOS versions: pic.twitter.com/k2BKf5N5ua
— Pavel Durov (@durov) November 27, 2026
Menerusi amaran yang dihantar dalam aplikasi Telegram, pengguna diminta memasang kemas kini iOS terkini yang tersedia untuk telefon masing-masing bagi mengurangkan risiko tersebut.

Kebimbangan mengenai serangan melalui laman web turut disokong oleh penemuan berasingan firma keselamatan Confiant yang sebelum ini mendedahkan kempen pengiklanan berbahaya dikenali sebagai MoldyRoost. Kempen tersebut melibatkan lebih 480 domain iklan dan dilaporkan menyasarkan pengguna di lebih 47 negara.
Menurut Confiant, laman web yang dibuka melalui iklan berbahaya boleh digunakan untuk mengeksploitasi kelemahan pada iPhone yang masih belum menerima tampalan keselamatan berkaitan. Serangan sedemikian berpotensi berlaku tanpa pengguna perlu memuat turun fail atau memasang aplikasi secara manual.
Bagaimanapun, Durov tidak menyatakan versi iOS tertentu yang terlibat, mahupun memperincikan serangan yang dirujuk dalam amaran tersebut. Amaran Telegram itu juga tidak mengesahkan kaitannya dengan kempen MoldyRoost.
Untuk mengurangkan risiko, pengguna iPhone disarankan menyemak kemas kini sistem operasi melalui Settings > General dan pilih Software Update. Pengguna kemudian boleh memasang versi iOS terkini yang tersedia untuk model iPhone masing-masing.
