vivo telah melancarkan satu peranti baharu Vivo Y21T di bawah tanda harga RM1,000 iaitu RM899 pada bulan Mac lepas dan peranti tersebut menawarkan lebih daripada harganya. Vivo Y21T dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 680, menyokong sambungan bicu audio 3.5mm, port pengecasan USB-C 2.0 dan bateri sebesar 5,000mAh.
Setelah menggunakan peranti ini lebih daripada seminggu, terdapat beberapa perkara yang ingin saya ulaskan secara jujur. Saya berharap ulasan peranti ini sedikit sebanyak dapat membantu anda memahami peranti ini.
Tahan Lama, Sesuai Untuk Food Rider
Seperti yang saya nyatakan, vivo Y21T ini disokong dengan bateri jenis Lithium Polymer sebesar 5,000mAh. Sejujurnya, saya sangat terkejut dengan prestasi bateri ini kerana ketahanan yang ada pada peranti ini setara dengan peranti kelas pertengahan premium dan andalan.
Tambahan lagi, saya dapat menggunakan peranti ini dalam lingkungan seharian aktiviti saya termasuk bekerja, rehat, dan waktu dirumah. Dan dipenghujung hari, peranti ini masih mempunyai baki kuasa yang boleh saya gunakan. Memang benar bahawa semua ini kerana kapasiti bateri 5,000mAh yang dimiliki peranti ini tetapi saya dapat kesan bahawa penurunan peratusan bateri ia sangat cekap dan ia sesuatu yang sangat tidak saya jangkakan bagi peranti dengan tanda harga seperti ini.
Jika sesebuah peranti itu mempunyai bateri bersaiz besar sekalipun tetapi kecekapan sistem operasi yang rendah dalam memanfaatkan kuasa bateri yang tersedia, ia tetap tak berguna bagi saya. Sistem operasi Funtouch 12 berasaskan Android 11 yang dimiliki peranti ini benar-benar telah mengoptimumkan penggunaan kuasa bateri agar lebih cekap.
Bagi penggunaan untuk bermain permainan Android, saya telah menguji prestasi bateri peranti ini pada permainan Android Genshin Impact. Hal ini disebabkan Genshin Impact merupakan permainan Android dengan tuntutan grafik yang tinggi berbanding permainan yang sedia ada.
Dengan tetapan grafik pada aras terendah, saya mampu bermain Genshin Impact dalam masa menjangkaui 4 jam waktu permainan dengan pengecasan penuh pada awalnya. Bayangkan prestasi bateri yang cemerlang seperti ini dengan tanda harga di bawah RM1,000 sahaja.
Selain itu, untuk penggunaan media sosial seperti YouTube, TikTok, Facebook dan sebagainya, saya telah mampu mencapai waktu penggunaan lebih daripada 5 jam. Peranti ini masih mempunyai baki peratusan bateri yang mampan selepas penggunaan media sosial yang melampau daripada saya.
Dengan bateri yang besar dan ditambahkan lagi dengan kecekapan sistem operasi Funtouch 12 dalam mengoptimumkan penggunaan kuasa bateri, saya berasa ianya tidak salah jika saya mengisytiharkan bahawa vivo Y21T merupakan salah satu peranti yang hadir dengan bateri tahan lebih lama.
Walau bagaimanapun, terdapat satu trade off kurang menyenangkan kesan daripada mempunyai bateri yang besar. vivo hanya membekalkan palam pengecas bersaiz 18W sahaja untuk mengecas bateri gergasi ini. Walaupun ia menyokong Fast Charging tetapi ia seperti seorang lelaki muda yang kuat sedang menolak pokok balak yang tinggi dan beratus tahun umurnya.
Saya telah mengecas bateri ini pada paras 15% dan ia mengambil lebih daripada 1 jam 30 minit untuk ia mencapai paras 90%. Sejujurnya, pengecasan yang saya alami agak lambat berbanding apa yang saya jangkakan dan sayang sekali peranti ini tidak menyokong pengecasan pantas lebih daripada 18W.
Walaupun begitu, ia tidak menjadi masalah kerana anda boleh mengecas peranti ini sebelum anda masuk tidur dek kerana ketahanan baterinya yang mampu menyokong seharian aktiviti anda. Dan pilihan untuk menggunakan port pengecasan USB-C pada peranti ini merupakan satu perkara yang baik untuk peranti di kelas pertengahan.
Skrin Sesuai Dengan Harganya
vivo Y21T menggunakan skrin IPS LCD bersaiz 6.51 inci dengan 81.8% nisbah skrin-kepada-badan. Saya ingin menekan 2 perkara dalam bab ini iaitu kualiti skrin IPS LCD dan dimensi skrin pada vivo Y21T ini.
Peranti ini menggunakan skrin jenis IPS LCD dan ia tidak mengejutkan saya kerana ini merupakan peranti kelas pertengahan. Tetapi apa yang mengejutkan saya adalah kualiti, kelancaran dan ketajaman skrin yang ditawarkan peranti ini kepada saya. Walaupun skrin jenis IPS LCD, peranti ini mempunyai skrin yang cantik dengan kejelasan yang tidak setanding dengan kedudukannya di kelas pertengahan lain.
Tambahan lagi, peranti ini mempunyai viewing angle yang lebih baik berbanding panel IPS LCD yang digunakan pada beberapa tahun sebelum ini. Ini kerana anda masih boleh melihat tulisan yang terpapar pada skrin walaupun anda melihatnya daripada sisi tepi peranti ini.
Walau bagaimanapun, ada sedikit perkara yang saya kurang senang akan dimensi peranti ini. vivo Y21T mempunyai lebar yang sangat sesuai untuk pegangan tangan anda dan jika anda memegangnya dengan satu tangan, anda akan berasa selesa ketika peranti ini ada dalam pegangan anda.
Namun begitu, peranti ini mempunyai panjang skrin yang melebihi daripada panjang yang sepatutnya. Apabila saya memegang peranti ini dengan satu tangan, ia agak sukar untuk saya mencapai notification toggle di atas skrin untuk membaca sebarang mesej yang diterima.
Di samping itu, Funtouch 12 tidak “mesra alam” antara kepanjangan skrin peranti ini dengan penggunaan sebelah tangan. Hal ini kerana, jika anda hendak menarik notification toggle dengan scroll ke bawah di permukaan skrin, ia akan membuka enjin pencarian Google daripada menunjukkan notification toggle.
Seandainya anda ingin menarik notification toggle ke bawah, anda perlu menarik daripada hujung atas skrin peranti untuk mengakses notifikasi anda. Hal ini agak leceh memandangkan saiz skrin yang terlalu panjang, sistem operasi Funtouch 12 yang kurang mesra pada penggunaan sebelah tangan dan keperluan untuk membaca mesej-mesej pada notifikasi.
Kamera 50MP, Jangan Letak Letak Harapan Terlalu Tinggi
vivo Y21T mempunyai 3 kamera utama dengan tetapan 50 MP, f/1.8 (lebar) + 2 MP, f/2.4 (makro) + 2 MP, f/2.4 (kedalaman) dan kamera depan 8 MP, f/1.8, (lebar). Saya bukan seorang yang suka menangkap gambar dan spesifikasi kamera peranti ini tidak menjadi keutamaan saya.
vivo Y21T mempunyai banyak ciri-ciri dan prestasi yang bagus tetapi kualiti kamera bukanlah salah satu daripadanya. Jika anda membuka kameranya, anda akan mendapati ada sedikit pecah-pecah pada tatapan dalam kamera. Pada mulanya, saya tak perasan akan perkara ini tetapi selepas mencuba prestasi kamera yang ada pada peranti ini barulah saya perasan akan perkara ini.
Walaupun begitu, peranti ini berjaya menangkap gambar yang memuaskan dalam setiap gambar yang saya cuba ambil. Selain itu, saya tidak menafikan bahawa gambar yang terhasil memang baik jika kita bandingkan dengan peranti lain di kelasnya. Anda akan berasa kurang senang dan menjadi salah sekiranya anda membandingkan kualiti gambarnya dengan gambar daripada kelas pertengahan premium atau andalan.
Main ‘Game’ Masih Lagi Lancar
Selama saya menggunakan peranti vivo Y21T ini, saya tidak mendapati sebarang penurunan dalam prestasi ketika menggunakan peranti ini untuk kegunaan harian. Apabila digunakan untuk melayan media sosial, tiada masalah yang datang seperti penurunan fps atau skrin ‘tersangkut’.
Ketika saya bermain permainan Android, tiada masalah yang timbul dan saya dapat bermain dengan lancar dan berterusan dek kerana bateri bersaiz ‘Godzilla’. Untuk permainan Android seperti Apex Legends, PUBG Mobile dan Mobile Legends, saya menasihatkan anda untuk menetapkan tetapan grafik di tengah-tengah atau paling rendah untuk mendapatkan prestasi permainan yang lebih lancar dan baik.
Walau bagaimanapun, saya membuat pengecualian untuk Genshin Impact kerana ia adalah permainan yang memerlukan grafik yang lebih tinggi berbanding permainan Android yang lain. Saya hanya bermain dengan lancar dan baik jika menetapkan tetapan grafik pada yang paling rendah.
Hal ini tidak mengejutkan kerana Snapdragon 680 merupakan cip pemprosesan kelas pertengahan dan sejujurnya ia mampu menjalankan sebarang tugas yang kita berikan kepadanya dengan baik jika kita membuat tetapan yang tepat. Di samping itu, vivo Y21T mempunyai ciri istimewa yang mampu mengoptimumkan prestasi peranti ini supaya anda dapat bermain dengan lancar dan tanpa gangguan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, peranti baharu vivo Y21T ini memang berada pada tanda harga yang agak mahal sedikit dalam kelas pertengahan berbanding pesaingnya yang lain. Tetapi sistem operasi vivo, Funtouch 12 adalah antara OS yang agak baik jika nak dibandingkan dengan pesaingnya yang lain.
Oleh itu, tanda harga yang ditetapkan oleh vivo pada peranti ini ada sesuatu yang boleh diterima, berbaloi dan padan dengan ciri-ciri dan kelebihan yang ditawarkan vivo melalui Y21T ini.
Saya sangat mengesyorkan peranti ini untuk anda yang sedang mencari peranti baharu dengan bajet di bawah RM1,000. Jika anda seorang pelajar, vivo Y21T adalah telefon pintar yang berbaloi dengan bajet anda di bawah RM1,000 dan bakinya boleh anda manfaatkan untuk perkara lain.
Kepada food rider di sekitar Malaysia yang hendak mencari peranti untuk anda menjalankan kerja seharian anda dengan mudah. Sejujurnya dari lubuk hati dan jiwa saya, vivo Y21T merupakan pilihan yang berbaloi untuk anda beli kerana baterinya yang besar dan ketahanan baterinya juga.
Saya berharap ulasan ini sedikit sebanyak dapat membantu para pembaca dalam memahami peranti ini dan membuat keputusan yang bijak dalam bajet anda.
Baca juga: