(Ulasan) Samsung Galaxy A54 - Calon 'Midrange' Terbaik Bawah RM2000

Samsung Galaxy A54 5G adalah peranti midrange baharu dalam siri Galaxy A pada tahun 2023 ini. Siri Galaxy A terdiri daripada A34 5G dan A54 5G yang akan saya ulas dalam artikel ini.

Berbanding A34 yang dijual pada harga RM1,599, A54 adalah pilihan peranti midrange terbaik yang boleh anda pertimbangkan untuk bajet bawah RM2,000.

https://www.tiktok.com/@wisermy/video/7226660658194943238?lang=en

Anda boleh membaca artikel ulasan A34 melalui pautan ini dan melihat spesifikasi penuh Galaxy A54 dalam pautan ini pula.



Sama seperti Galaxy A53 yang terdahulu, peranti A54 pada tahun ini padat dengan pelbagai ciri, spesifikasi dan sokongan menarik yang ditawarkan Samsung buat kita.

Oleh itu, izinkan saya untuk berkongsikan kelebihan dan kekurangan yang dapat saya simpulkan selama menggunakan peranti Galaxy A54 ini.

Kelebihan (Terbaik Keseluruhan Berbanding Midrange Yang Lain)


Pertama sekali, rekaan A54 tidak jauh bezanya daripada A34 dengan rekaan rata dipaparan depan dan panel belakang, tetapan bonggol kamera seperti siri S23 tetapi saiz skrin 6.4 inci yang lebih kecil.



Saya berpendapat Samsung mengetengahkan saiz yang kecil pada A54 untuk memastikan ia lebih sedap dan selesa dalam penggunaan satu tangan.

Selain itu, A54 mempunyai skrin Super AMOLED yang memang cantik. Dek kerana Samsung adalah antara pembuat skrin paparan utama dunia, anda tidak perlu risau akan prestasi skrin A54 ini.

Menariknya lagi, Samsung Galaxy A54 hadir dengan tetapan lalai kadar segar semula 120 fps secara terus dari dalam kotak. Serius, saya agak terkejut juga akan realiti perkara ini ketika mula-mula mencuba A54 ini.



Hal ini demikian kerana sesetengah flagship ketika ini masih lagi memberikan peranti mereka dengan tetapan lalai kadar segar semula pada 60 fps.

Dan tetapan 120 fps dengan paparan skrin Samsung Super AMOLED, tiada skrin lebih baik yang boleh anda minta melainkan peranti ini untuk segmen midrange.

Seterusnya adalah OneUI 5.1 berasaskan Android 13 dalam Samsung Galaxy A54 5G. Dalam penggunaan harian, peranti ini memang sangat smooth, lancar, dan tiada masalah.



Penggunaan harian seperti sosial media, menonton video, mendengar muzik dan lagu, malahan bermain mobile games sekali pun, A54 tetap "jalan sahaja tanpa perlu singgah ke RnR".



Peranti ini dilengkapi sensor kamera utama 50MP dan hasil gambar yang diberikan agak memuaskan. Tidaklah saya menganggap gambar-gambarnya adalah yang terbaik dalam kelas ini, tetapi ianya 'cukup-cukup rasa' dengan kriteria kelas midrange.







Gambar yang dihasilkan tampak seimbang, ketepatan warnanya tinggi, kontrasnya seimbang dan sangat sharp. Peranti ini sangat sesuai dan senang untuk anda tangkap gambar-gambar alam flora, seseorang, panorama waktu malam dan swafoto.

Selain itu, A54 disokongkan bateri berkapasiti 5,000mAh yang besar, mencukupi dan memadai. Saya tidak perlu mengecas sekali pun peranti ini dalam kegunaan harian melainkan jika saya bermain game.



Terakhir, Samsung memberikan jaminan sokongan perisian sehingga 4 tahun lamanya dan 5 tahun kemas kini sekuriti. Sebagai contoh, Android yang kita miliki ketika ini adalah Android 13.

Oleh itu, peranti ini bakal menerima kemas kini Android 14, 15, 16 dan yang terakhir sekali ada 17. Ini adalah salah satu ciri faktor utama yang membuatkan peranti A54 lebih baik daripada pesaing-pesaing yang lain.

Kekurangan (Kehadiran Model A34 Membuatkan A54 Tidak Relevan)


Secara umumnya, peranti ini tiada sebarang kelemahan yang nyata melainkan isu ketiadaan pengecas di dalam kotaknya.

Walau bagaimanapun, model Galaxy A34 ini sebenarnya membuatkan A54 ini bukanlah satu peranti yang berbaloi untuk dibeli.

Hal ini demikian kerana A54 dan A34 mempunyai persamaan yang terlalu banyak tetapi perbezaan yang cukup minimalis.

Kedua-dua peranti ini mempunyai jenis skrin Super AMOLED yang sama, saiz bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W, sokongan penambahan storan kad mikroSD dan rekaan yang agak mirip.

Selain itu, A34 dan A54 mempunyai penarafan IP67, sokong port sambungan USB - C, pembesar suara stereo dan perlindungan Corning Gorilla Glass 5.

Sementara itu, perbezaan yang ada antara kedua-dua peranti ini tidaklah terlalu banyak bagi pendapat saya.

Model A34 dan A54 hanya dibezakan jenis panel belakang, saiz skrin yang hampir serupa, rekaan kamera swafoto, jenis sensor kamera yang digunakan dan jenis cip mereka.



Untuk pengetahuan anda, Samsung A54 menggunakan cip Exynos 1380 (5nm), manakala A34 pula dikuasakan cip Dimensity 1080 (6nm).



Walaupun begitu, kita boleh lihat skor kedua-dua fon ini tidak terlalu ketara dan tidak berbaloi dengan jurang perbezaan harga sebanyak RM300.

Seperti yang saya ulaskan sebelum ini, kedua-dua A34 dan A54 juga menerima sokongan perisian dan kemas kini sekuriti yang sama - 4 tahun Android dan 5 tahun sekuriti.

Kesimpulannya (Baik Beli A34)


Samsung Galaxy A54 adalah antara sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang terbaik buat tahun 2023. Dan perkara itu adalah fakta dan tiada penafian ke atasnya.

Walau bagaimanapun, untuk keadaan ekonomi yang tak stabil ketika ini, kuasa membeli rakyat yang rapuh, Samsung A34 adalah pilihan terbaik berbanding A54 atas beberapa faktor.

Sekiranya kita mengambil kira faktor harga, bajet dan perbezaan kedua-dua peranti ini yang sangat tidak ketara, A34 adalah pilihan yang lebih berbaloi.

{suggest}

Namun, anda yang sedang membaca ulasan ini sangat saya syorkan Samsung Galaxy A54 jika anda telah menyediakan bajet untuk mendapatkan peranti terbaik bawah RM2,000.

Dan percaya cakap saya, you won't regret it and last but not least:

For Your Consideration - Samsung Galaxy A54 5G

Beli di Shopee - https://invl.io/clhuf4s

Beli di Lazada - https://invol.co/clhuf8q