Kalau anda pernah membaca ulasan Pixel 10 Pro Fold saya sebelum ini, anda mungkin sudah tahu bahawa saya mempunyai hubungan yang agak pelik dengan telefon boleh lipat Google.
Dari sudut perkakasan, Pixel 10 Pro Fold bukanlah foldable paling mengagumkan yang pernah saya gunakan. Saya pernah menggunakan HONOR Magic V5 yang jauh lebih nipis dan ringan, dengan perkakasan yang secara terus membuatkan Pixel kelihatan seperti sebuah peranti daripada generasi berbeza.
Namun, selepas selesai mengulas Pixel 10 Pro Fold, peranti itu kekal menjadi telefon kedua saya sehingga sekarang.
Kenapa?
Jawapan paling mudah ialah perisian.
Pixel mungkin bukan foldable dengan bateri paling besar, kamera paling hebat atau reka bentuk paling nipis, tetapi selepas menggunakannya dalam tempoh yang panjang, saya masih berpendapat Google antara pengeluar yang paling memahami bagaimana sebuah foldable Android sepatutnya digunakan.
Pixel 11 Pro Fold kini cuba membaiki beberapa kelemahan generasi sebelumnya. Ia lebih nipis, lebih ringan, mempunyai kamera utama baharu serta engsel yang dipertingkatkan.
Semuanya kedengaran bagus.
Masalahnya ialah pada ketika Google mula membaiki perkara tersebut, industri foldable sudah bergerak jauh ke hadapan.
Pixel Fold Yang Jauh Lebih Selesa
![]()
Perubahan paling mudah dirasai pada Pixel 11 Pro Fold ialah beratnya.
Pixel 10 Pro Fold mempunyai berat 258 gram, angka yang sememangnya ketara jika dibandingkan dengan kebanyakan telefon biasa atau foldable lain yang lebih moden. Pixel 11 Pro Fold kini turun kepada 239 gram, selain tubuhnya turut dibuat lebih nipis.
Atas kertas, pengurangan beberapa milimeter atau gram mungkin nampak seperti perubahan kecil. Tetapi bagi sebuah peranti yang dipegang setiap hari, ia sebenarnya memberikan perbezaan yang cukup terasa.
Inilah antara kelemahan Pixel 10 Pro Fold yang saya harap Google akan baiki, dan kali ini mereka memang melakukannya.
Skrin luar juga kini sedikit lebih besar pada 6.5 inci, sementara skrin dalaman masih menawarkan ruang besar sekitar 8 inci.
Saya masih menyukai nisbah skrin Pixel Fold kerana apabila ditutup, ia terasa seperti sebuah telefon Android biasa. Saya tidak rasa terpaksa membuka skrin dalam hanya untuk membalas mesej, membaca notifikasi atau melakukan perkara mudah.
Apabila dibuka pula, skrin hampir berbentuk segi empat memberikan ruang yang sangat selesa untuk membaca artikel, menggunakan dua aplikasi serentak, Google Maps, melihat gambar atau sekadar melayari web.
Itu antara perkara yang membuatkan saya terus menggunakan Pixel 10 Pro Fold sebelum ini.
Pixel 11 Pro Fold mengambil formula yang sama dan memperhalusinya.
Engsel juga terasa lebih matang dan keseluruhan binaan memberi keyakinan yang lebih baik. Secara fizikal, ini memang Pixel Fold terbaik Google setakat ini.
![]()
Cuma satu perkara masih jelas kelihatan apabila skrin dibuka iaitu kesan lipatan (crease).
Ia bukan sesuatu yang terlalu mengganggu saya selepas beberapa ketika, tetapi pada tahun 2026 apabila beberapa pesaing sudah berjaya menghasilkan skrin foldable dengan crease yang semakin minimum, Google sepatutnya sudah boleh melakukan lebih baik.
Masalah Google Bukan Tak ‘Improve’, Tapi Tambah Baik Itu Terlalu Perlahan
Di sinilah masalah sebenar Pixel 11 Pro Fold.
Kalau saya hanya membandingkannya dengan Pixel 10 Pro Fold, Google sebenarnya sudah melakukan kerja yang baik.
Lebih ringan? Ya.
Lebih nipis? Ya.
Skrin lebih baik? Ya.
Kamera utama baharu? Ya.
Engsel lebih kukuh? Ya.
Secara keseluruhan, Pixel 11 Pro Fold memang lebih baik daripada generasi sebelumnya.
Namun, ia seperti hanya melawan diri sendiri.
Dalam tempoh sama, pengeluar lain terus mengejar foldable yang semakin nipis, bateri semakin besar, pengecasan semakin pantas, kamera semakin bagus dan skrin dengan kesan lipatan semakin kurang ketara.
Itulah dilema Pixel 11 Pro Fold.
Google memperbaiki banyak perkara yang saya kritik tahun lalu, cuma penyelesaiannya tiba ketika pesaing sudah bergerak kepada masalah seterusnya.
Google juga bukan baru pertama kali menghasilkan telefon boleh lipat.
Ini sudah beberapa generasi Pixel Fold.
Sebab itu tahap toleransi terhadap alasan bahawa teknologi foldable masih baru semakin rendah.

Lebih-lebih lagi sekarang apabila Apple sendiri sudah memasuki kategori ini menerusi iPhone Duo.

Secara tiba-tiba, pasaran foldable bukan lagi sekadar persaingan Samsung, Google dan jenama China.
Semua jenama sudah makin laju ke hadapan.
Google pula kadangkala terasa seperti baru hendak menghidupkan enjin.
Sudahlah model AI Gemini agak ketinggalan, telefon pintar pun Google masih lambat lagi?
Pengecasan Masih Terlalu Perlahan
Kalau ada satu kelemahan Pixel 11 Pro Fold yang paling sukar saya maafkan, ia adalah pengecasan.
Google memang cuba mempercepatkan proses pengecasan pada generasi kali ini, tetapi untuk sebuah foldable premium pada tahun 2026, pengalaman keseluruhannya masih terasa perlahan.
Ini terutama ketara apabila kita sudah biasa melihat telefon Android lain memberikan jumlah bateri yang signifikan selepas dicucuk pengecas hanya sekitar 15 hingga 20 minit.
Bagi saya, itulah benchmark penggunaan sebenar yang lebih penting. Bayangkan yang saya perlu menunggu sekitar sejam setengah untuk penuh, itu pun peratus bateri dari sekitar 30%.
Kadangkala kita bukan mahu mengecas telefon daripada kosong sehingga penuh. Kita cuma mahu mendapatkan bateri secukupnya sebelum keluar rumah, pergi mesyuarat atau memulakan perjalanan.
Dalam situasi begitu, pengecasan pantas memang memberi perbezaan.
Pixel 11 Pro Fold masih belum memberikan keyakinan yang sama.
Untuk telefon berharga RM7,999, saya rasa Google sudah sepatutnya lebih agresif dalam aspek ini.
Tambahan pula, harga tersebut sama seperti Pixel 10 Pro Fold ketika ia dilancarkan di Malaysia tahun lalu.
Dari satu sudut, bagus kerana Google tidak menaikkan harga.
Tetapi pada harga yang sama, jangkaan terhadap perkakasannya juga kekal sangat tinggi.
Software Masih Sebab Utama Saya Suka Pixel Fold
![]()
Walaupun banyak kritikan terhadap perkakasannya, inilah sebab Pixel 10 Pro Fold masih berada bersama saya selepas ulasan tamat.
Pixel Android masih terasa sangat sedap digunakan.
Animasi lancar, transisi apabila bertukar daripada skrin luar kepada skrin dalaman kemas dan pengoptimuman aplikasi pada paparan besar secara keseluruhannya terasa matang.
Ini perkara yang agak susah diterangkan melalui helaian spesifikasi.
Ada foldable lain yang mungkin lebih nipis, lebih ringan atau mempunyai bateri lebih besar, tetapi selepas beberapa hari digunakan, saya masih lebih selesa dengan cara Google menyusun pengalaman foldable mereka.
Multitasking terasa natural, aplikasi bertukar orientasi dengan baik dan saya jarang merasakan skrin besar itu seperti sekadar telefon yang diregangkan menjadi tablet.
Sebab itulah saya masih menggunakan Pixel 10 Pro Fold sehingga hari ini.
Pixel 11 Pro Fold tidak mengubah formula tersebut secara drastik.
Dan bagi saya, itu sebenarnya perkara yang bagus.
Google tidak perlu mencipta semula pengalaman software foldable mereka kerana bahagian itu memang sudah menjadi antara kekuatan terbesar Pixel.
Mereka cuma perlu memastikan hardware mampu mengejarnya.
Kalau Mahu Rasa Android, Pixel Masih Pixel
Ada satu lagi sebab saya semakin menghargai Pixel sejak kebelakangan ini.
Saya sendiri menggunakan iPhone dan Android.
Jadi saya tidak berminat untuk masuk ke dalam perdebatan Android vs iPhone. Dua-dua mempunyai kekuatan masing-masing dan saya suka menggunakan kedua-duanya.
Sebab itulah apabila saya mengambil telefon Android, saya mahu ia terasa seperti Android.
Dalam beberapa tahun terakhir, semakin banyak pengeluar Android mula bermain dengan elemen antara muka lut sinar, kaca dan bahasa visual yang mengingatkan saya kepada Liquid Glass Apple.
Saya tidak mengatakan semua yang menggunakan elemen tersebut sedang meniru Apple secara bulat-bulat. Trend reka bentuk memang sentiasa saling mempengaruhi.
Tetapi kalau saya mahukan pengalaman seperti iPhone, saya sudah mempunyai iPhone.
Saya tidak perlukan telefon kedua yang cuba memberikan rasa sama.
Pixel masih mempunyai identitinya sendiri.
Material You (kini sudah Material 3 Expressive) dan pendekatan reka bentuk Google masih terasa playful, berwarna-warni dan mempunyai karakter yang berbeza daripada iOS.
Bagi saya, inilah antara pengalaman yang paling hampir dengan apa yang saya anggap sebagai identiti Android sebenar.
Bukan kerana Pixel menjalankan “stock Android” dalam definisi teknikal, tetapi kerana ia terasa seperti Android yang dibina mengikut visi Google sendiri.
Dan untuk telefon kedua saya, saya sukakan perbezaan itu.
Tensor G6, Cukup Untuk Saya
Pixel 11 Pro Fold dikuasakan Tensor G6.
Kalau anda mencari telefon gaming paling berkuasa atau mengejar nombor benchmark tertinggi, Pixel masih bukan pilihan yang saya akan cadangkan.
Tetapi selepas menggunakan Pixel Fold dalam tempoh panjang, saya rasa soalan lebih penting bukanlah sejauh mana Tensor boleh mengalahkan cip lain dalam penanda aras (benchmark).
Soalannya, adakah prestasi Tensor mengganggu penggunaan harian saya?
Untuk penggunaan seperti media sosial, kamera, membaca, navigasi, multitasking dan aplikasi produktiviti, saya tidak mempunyai masalah besar dengannya.
Foldable pun bukan peranti yang saya beli semata-mata untuk bermain permainan berat.
Saya lebih menghargai peningkatan kecekapan, kestabilan dan pengalaman harian berbanding skor benchmark.
Kalau Google dapat memberikan semua itu secara konsisten, Tensor sudah melakukan tugasnya untuk saya.
Namun, seperti aspek hardware lain, ia tetap tidak mengubah hakikat bahawa pesaing menawarkan prestasi lebih tinggi pada kelas harga yang sama.
Walau bagaimanapun, jika anda mahu sedikit pendapat berkaitan Tensor G6, anda boleh baca dalam ulasan Pixel 11 Pro ini.
Kamera Lebih Baik, Tapi Bukan Sebab Utama Beli Pixel Ini
![]()
Pixel 11 Pro Fold turut membawa peningkatan pada kamera, termasuk kamera utama 48MP baharu.
Ini satu lagi bahagian yang memang perlu diperbaiki selepas Pixel 10 Pro Fold.
Dalam ulasan generasi sebelumnya, saya merasakan hasil kamera Pixel terlalu neutral dan kadangkala agak flat, terutama apabila dibandingkan dengan beberapa telefon lain yang memberikan gambar lebih menarik terus daripada kamera.
Pixel 11 Pro Fold memberikan hasil yang lebih konsisten dan kamera utama baharu memang satu peningkatan.
Namun, saya masih tidak akan mengatakan Google kini mempunyai sistem kamera foldable terbaik secara mutlak.
Beberapa pesaing menawarkan perkakasan kamera yang lebih agresif dan lebih fleksibel.
Sekali lagi, ini bukan bermaksud kamera Pixel 11 Pro Fold tidak bagus.
Ia bagus.
Cuma untuk sebuah telefon RM7,999, “bagus” sahaja semakin sukar untuk dianggap istimewa.
RM7,999 Sama Seperti Tahun Lepas, Tapi Persaingan Sudah Berubah

Google mengekalkan harga Pixel 11 Pro Fold pada RM7,999 di Malaysia, sama seperti Pixel 10 Pro Fold ketika dilancarkan tahun lalu.
Saya sebenarnya menghargai keputusan itu.
Sekurang-kurangnya Google tidak menggunakan alasan peningkatan hardware untuk menaikkan harga sekali lagi.
Kalau dibandingkan terus antara Pixel 10 Pro Fold dan Pixel 11 Pro Fold pada harga pelancaran yang sama, model baharu jelas menawarkan pakej yang lebih baik.
Lebih ringan, lebih nipis, lebih matang dan beberapa kelemahan utama generasi sebelumnya sudah diperbaiki.
Tetapi masalah sebenar bukan Pixel 10 Pro Fold.
Masalah sebenar ialah apa yang berlaku di sekeliling Google sepanjang setahun tersebut.
Pesaing tidak berhenti.
Rekaan semakin nipis, bateri semakin besar, pengecasan semakin pantas dan kini Apple sendiri sudah memasuki gelanggang.
Jadi walaupun Google menawarkan lebih banyak pada harga yang sama, nilai sebuah foldable tidak lagi boleh dinilai hanya dengan membandingkannya dengan model tahun lalu.
Foldable Google Terbaik, Tapi Masih Tidak Cukup
![]()
Akhirnya, saya masih suka Pixel 11 Pro Fold.
Malah jika saya perlu menggunakannya setiap hari, saya mungkin lebih seronok dengannya berbanding beberapa foldable lain yang secara objektif mempunyai perkakasan lebih hebat.
Itulah peliknya Pixel.
Pengalaman perisian yang sangat kemas, nisbah skrin yang praktikal dan identiti Android Google membuatkan telefon ini sedap digunakan.
Dan sebagai pengguna Pixel 10 Pro Fold, saya menghargai perubahan yang Google lakukan kali ini.
Pixel 11 Pro Fold memang lebih baik.
Persoalannya ialah sama ada ia lebih baik dengan cukup pantas.
Pada RM7,999, pembeli berhak meminta lebih daripada sekadar penambahbaikan.
Pesaing sudah menawarkan bateri lebih besar, pengecasan lebih pantas, prestasi lebih tinggi, kamera lebih agresif dan reka bentuk yang semakin nipis.
Pixel masih mempunyai satu kelebihan yang sukar diterjemahkan kepada angka iaitu pengalaman menggunakannya.
Bagi saya, Pixel 11 Pro Fold ialah foldable Google terbaik setakat ini.
Tetapi apabila pesaing bergerak begitu pantas, menjadi Pixel Fold terbaik tidak lagi cukup.
Google sudah tahu apa yang perlu diperbaiki.
Sekarang mereka cuma perlu memperbaikinya dengan lebih cepat.














