Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) Google Pixel 10 Pro Fold – Pengalaman Foldable Terbaik Google, Tapi Bukan Untuk Semua

Posted on November 13, 2025

Google kembali ke arena peranti boleh lipat dengan Pixel 10 Pro Fold, membawa pendekatan tersendiri dalam dunia foldable yang kini semakin sesak dengan jenama China. Saya sendiri pun sedang menggunakan HONOR Magic V5.

Telefon ini bukan sekadar versi “boleh lipat” kepada siri Pixel biasa, tapi satu usaha Google untuk jadikan pengalaman Android lebih matang pada peranti foldable.

Namun, dengan tanda harga RM7,999, adakah ia benar-benar sepadan dengan nilai itu?

Rasa Premium, Tapi Agak Berat

Dari luar, Pixel 10 Pro Fold masih mengekalkan identiti Pixel — minimalis, elegan, dan terasa sangat solid di tangan.

Kualiti binaannya memang antara terbaik dalam kelasnya. Google kini guna lebih banyak bahan kitar semula, dan yang menarik, ia turut membawa penarafan IP68 — sesuatu yang jarang ada pada telefon boleh lipat.

Apa yang membuatkan saya tertarik adalah nisbah skrinnya. Bila tertutup, umpama Pixel 10 biasa. Paling best bila ia dibuka kerana nisbahnya umpama iPad. Di sini saya maksudkan nisbah skrin atau aspect ratio. Anda jangan keliru dengan saiz peranti pula.

Saya tidak berapa gemar dengan kebanyakan telefon lipat lain yang memanjang. Sebab itu satu ketika dahulu saya puji OPPO Find N.

Dan ya, telefon ni agak berat, jadi kalau anda dah biasa dengan foldable yang nipis dan ringan, Pixel 10 Pro Fold akan rasa sedikit “kejam” bila dipegang lama.

Namun, saya tetap seronok dengan rasa premium apabila saya pegang telefon ini.

Pengalaman Foldable Yang Paling “Google”

Kalau nak cari foldable dengan pengalaman Android paling bersih dan optimum, inilah dia. Google betul-betul manfaatkan ruang besar skrin dalamannya.

Antara yang menarik — banyak aplikasi utama seperti TikTok, Facebook dan pelayar web dah dioptimumkan khas untuk mod ‘fold’ atau apabila lipatan dibuka. Bukan telefon lipat lain tidak optimum tapi lepas menggunakan Pixel Fold, jujur saya cakap “inilah telefon lipat paling optimum yang pernah saya guna”.

Paparan “quick settings” pun direka semula supaya mudah dicapai bila guna dalam mod tablet. Saya hanya perlu ‘swipe’ dari atas ke bawah untuk akses tetapan dan juga notifikasi. Tidak perlu ‘swipe’ kanan untuk control center dan kiri untuk notifikasi. Leceh.

Cuma, bahagian garis lipatan (crease) masih jelas kelihatan di bawah cahaya terang. Tak seteruk generasi pertama, tapi belum capai tahap “invisible crease” seperti beberapa pesaing dari China.

Kamera Ada AI Coach, Tapi Hasil Masih ‘Biasa’

Salah satu fungsi baharu ialah Camera Coach, satu ciri berasaskan AI Gemini yang berperanan seperti pembantu fotografi dalam masa nyata.

Ia akan beri arahan terus di skrin — contohnya, “cuba ubah angle” atau “lighting terlalu terang” — bagi bantu pengguna ambil gambar lebih baik. Sangat berguna untuk mereka yang baru nak belajar asas fotografi.

Namun hasil gambarnya… jujur, agak vanilla. Dulu Pixel terkenal dengan “kamera flagship killer”, tapi kini bila dibanding dengan telefon China seperti HONOR Magic atau vivo X Fold, hasilnya nampak sedikit flat.

Color science-nya terasa terlalu selamat dan tiada ‘wow factor’ seperti sebelum ini.

Dari segi video, noise agak ketara bila rakam di luar, terutama waktu siang. Dengan harga hampir RM8,000, isu macam ni memang tak patut berlaku.

Kadang-kadang, algoritma warnanya terlalu agresif sampai tona kulit subjek lari daripada warna sebenar. Ini menunjukkan talaan kamera masih belum cukup matang, terutama dalam mengimbangi pencahayaan antara latar dan subjek.

OIS memang berfungsi dengan baik, tapi masih ada jenama lain yang lebih stabil dan lancar dalam rakaman.

Tensor G5 Masih Belum Cukup Ganas

Pixel 10 Pro Fold dikuasakan oleh Google Tensor G5, cip yang dibuat oleh TSMC. Ia dipadankan dengan RAM 16GB dan storan 256GB, nampak mantap di atas kertas.

Bagaimanapun, bila diuji dengan permainan berat seperti Genshin Impact, masih ada tanda-tanda struggle — terutamanya dari segi suhu dan kadar bingkai.

Jelas, Google lebih fokus kepada AI optimization berbanding prestasi.

Cip Tensor G5 ni okay sahaja untuk digunakan setiap hari tetapi kalau nak bermain game, ini bukan perantinya.

Bateri Tahan Lama, Tapi Cas Perlahan

Google melengkapkan Pixel 10 Pro Fold dengan bateri 5,015mAh, dan mendakwa ia boleh bertahan seharian penuh. Dalam mod Extreme Battery Saver, ia mampu mencapai sehingga 84 jam — bergantung pada penggunaan. Ya, telefon ini memang tahan lama.

Ia menyokong 30W pengecasan berwayar dan Qi2 wireless charging, tapi ada satu kelemahan klasik Pixel — tiada pengecas dalam kotak.

Kalau nak nikmati kelajuan penuh 30W, pengguna perlu beli pengecas asal secara berasingan.

Kesimpulan

Dengan harga RM7,999, Pixel 10 Pro Fold memang bukan untuk semua. Dari segi hardware, ya — ia kalah kepada banyak telefon lipat China yang mana harga jauh lebih mampu milik.

Akan tetapi dari sudut perisian, UI, dan optimum foldable experience, Pixel 10 Pro Fold berada di kelas tersendiri.

Kalau Google berani turunkan harga ke paras RM6,999, ia mungkin jadi telefon lipat paling seimbang di pasaran Malaysia.

Sebagai seorang yang memang menggunakan telefon lipat, saya berpendapat yang Pixel 10 Pro Fold antara yang paling sedap digunakan di pasaran Malaysia. Mungkin ia tidak cukup berkuasa dan ketinggalan dalam beberapa aspek dengan pesaingnya tetapi pengalaman foldable tu “mahal”.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress