Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) Google Pixel 11 Pro — Pilihan Tepat Jika Anda Rancang Kembali Ke Pixel

Posted on Ogos 26, 2026Ogos 26, 2026

Google Pixel kini berada pada iterasi yang kesebelas. Jadi, apa yang baharu?

Jawapannya, “AI, tetapi bukan itu sahaja.”

Penguasaan

Apabila kita melihat sekilas pada spesifikasinya, ia kedengaran mantap (bagi varian yang saya cuba ini).

Telefon ini dilengkapi dengan WiFi 7, Bluetooth 6.0, RAM 16GB dan storan 512GB yang sepatutnya mencukupi pada tahun 2026.

Tetapi, apa yang kurang meyakinkan adalah cip. Telefon ini dikuasai oleh Google Tensor G6, iaitu cip buatan Google sendiri, dan ia dikilangkan oleh TSMC. Jadi, sepatutnya, cukup mantap, bukan?

Ya, skor AnTuTu bagi cip ini cukup tinggi, iaitu 1.4 juta. Walau bagaimanapun, ini hanya setanding dengan cip seperti Dimensity 8400 dan Snapdragon 8 Gen 2 yang telah keluar beberapa tahun yang lalu.

Skor AnTuTu.
Skor CPU dalam Geekbench 7.
Skor GPU dalam Geekbench 7.

Bukanlah telefon ini tidak boleh digunakan untuk gaming langsung. Saya telah pun cuba bermain Alien: Isolation dan Where Winds Meet, dan kedua-duanya boleh dimainkan, cuma bukan pada prestasi yang menakjubkan.

Banyak isu grafik glitching, terutama dalam Where Winds Meet. Telefon juga cepat panas setelah bermain hanya 10 minit.

Watak utama dan kucing-kucing terapung… Ini pada tetapan grafik asal (High). Perlu turunkan grafik, barulah selesai masalah tapi masih lagi lagging.

Kalau setakat menggunakan media sosial dan menavigasi melalui homescreen, tidaklah panas. Paling teruk pun, suam-suam sahaja.

Google sebenarnya tidak mementingkan peningkatan prestasi GPU pada cip ini, tetapi lebih kepada CPU untuk pemprosesan AI. Jadi, janganlah terlalu berharap pada cip ini, kecuali kalau anda penggemar AI.

Tetapi, apa yang boleh dipercayai adalah sistem operasi telefon ini.

Sistem Operasi

Dua sahaja yang boleh saya cakap: lancar, dan boleh diubahsuai.

Pixel 11 Pro menjalankan Android 17 dengan perasa Pixel UI, dan Material 3 Expressive.

Setakat lebih seminggu saya memakai telefon ini, memang lancar. OS cukup optimum dan tanpa sangkut-sangkut. Tidak seperti dalam telefon-telefon daripada Xiaomi, realme, dan HONOR.

UI juga terasa sangat personal.

‘Lock screen’.
‘Notification shade’.
Homescreen.
Dalam aplikasi ‘Settings’ pun bertukar warna.

Yang menyejukkan mata juga adalah ketiadaan ‘bloatware’. Hanya ada aplikasi-aplikasi buatan Google sahaja. Jadi, tidak perlu risau tentang pemaparan iklan setiap kali anda menggunakan telefon.

Satu lagi yang akan mengurangkan kerisauan adalah 7 tahun software update. Patutnya telefon ini masih boleh dipakai dan diwarisi kepada anak anda.

Bukan itu sahaja, telefon-telefon Pixel dijamin akan mendapat software update dahulu sebelum telefon Android jenama lain.

Tetapi, bagaimana pula dengan ketahanan bateri? Boleh tahan ke?

Hayat Bateri

Kebanyakan telefon Android pada masa kini menggunakan bateri Silikon Karbon yang mempunyai kapasiti yang besar tanpa menebalkan lagi telefon. Contohnya seperti Realme Power P4 dan OPPO Find X9 Ultra.

Tetapi, Google masih lagi menggunakan teknologi bateri Li-Ion yang berkapasiti 4850mAh.

Walau bagaimanapun, hayat bateri masih lagi panjang.

Contohnya, jika saya menggunakannya pada petang Jumaat dengan bateri 100%, akan ada baki bateri sekitar 25-30% pada petang Sabtu. Ini pun dengan tetapan skrin 120Hz, resolusi 2410×1080, penyambungan WiFi, sambungan earbuds Bluetooth, dan penggunaan ringan seperti melayari media sosial, tangkap gambar, dan sedikit gaming.

Jika guna sambungan data selular, mungkin akan kurang lagi, tetapi jangkaan saya adalah lebih 7 jam hayat bateri dengan penggunaan ekstrem. Dikira cukup baik.

Apa yang kurang mantap adalah kelajuan pengecasan.

Ya, Google mengatakan ada mod ‘Extreme Charging’ yang mampu mengurangkan perjalanan aplikasi di latar belakang, jadi patutnya boleh cas lebih laju melalui wayar.

Realitinya, telefon ini hanya menyokong pengecasan wayar 30W sahaja. Jadi, akan mengambil masa lebih kurang 90-100 minit untuk cas sehingga penuh. Masih lagi ketinggalan berbanding telefon-telefon Android lain, tetapi bolehlah.

Bagi pengecasan wayarles pula, ia menyokong Qi2.2, setinggi 25W. Ini lebih laju berbanding Pixel 10 Pro pada 15W, tetapi masih lagi biasa-biasa sahaja.

Bagaimana dengan hiburan? Luar biasa tak?

Hiburan

Senang kata, tidak.

Anda pasti tertanya, “Mengapa? Bukan ke skrin mantap?”

Benar, telefon ini dilengkapi dengan skrin Super Actua, bersaiz 6.3 inci, resolusi 2856×1280, panel LTPO OLED, dan kadar segar 120Hz. Bukan itu sahaja, skrinnya juga cukup terang, iaitu pada 2400 nits. Ia juga mampu mencapai 3600 nits apabila digunakan di kawasan yang terang.

Dengan skrin sebegini, memang puas untuk melayan filem. Tetapi, jika ia digandingkan dengan speaker dengan kualiti rendah, tiada guna juga.

Jadi, inilah masalah telefon Pixel 11 Pro, kualiti speaker kurang memuaskan. Memanglah speaker telefon ini stereo, dan ada bass, tetapi bagi saya, kejelasan bunyi instrumen dan suara orang itu kurang. Macam tenggelam sedikit.

Ia tidaklah teruk, cuma kurang memuaskan.

Pada pendapat saya, saya lebih menyukai speaker pada telefon iPhone 13 saya berbanding pada Pixel 11 Pro…

Kamera

Apabila masuk bab kamera pula, Google juga ada mengatakan bahawa ada naik taraf, tetapi sedikit sahaja dari segi teknikal, dan lebih kepada pemprosesan AI.

Ketika gambar ditangkap, AI akan memproses gambar dan menaikkan ketajaman dan kecerahannya menjadi ‘Hi-Res’. Seperti yang dilihat di bawah, AI memproses gambar dengan pantas.

Berikut adalah spesifikasi-spesifikasi kamera pada Pixel 11 Pro:

Kamera-kamera utama:

  • Wide: 50MP Octa PD, ƒ/1.68, dan saiz sensor imej 1/1.3″.
  • Ultrawide: 48 MP Quad PD dengan autofocus, ƒ/1.7, saiz sensor imej 1/2.51″.
  • Telefoto: 48 MP Quad PD dengan penstabilan imej optik (OIS), ƒ/2.8, 5x zum optik, dan saiz sensor imej 1/1.95″.

Kamera swafoto: 42MP, Dual PD dengan autofocus, ƒ/2.2 aperture.

Ada tiga kamera di belakang. Dan ya, telefon ni ada IP68. Tak ada masalah jika terpercik air sikit.
Kamera swafoto 42MP.

Sebenarnya, tidak jauh beza dengan kamera-kamera pada Pixel 10 Pro.

Apabila bercerita tentang hasil gambar dari kamera-kamera telefon ini, ia cukup baik, tetapi mengikut situasi.

Bermula dengan kamera swafoto, mantap bagi saya. Tajam dengan dynamic range yang baik. Hasil gambar juga konsisten.

Masuk ke kamera utama pula, ia mengikut situasi. Cukup pencahayaan, gambar nampak terbaik.

Nota: Sebelum ni, telefoto pada siri Pixel 10 tidak digunakan untuk menangkap gambar potret. Kini, boleh buat sedemikian pada siri Pixel 11 jika ingin menangkap gambar potret yang lebih proper.

Cubaan gambar ‘Portrait’. Cukup baik bokehnya, walaupun ia ditambah oleh AI.

Ada Pro Zoom, yang dikatakan boleh zum sehingga 120x. Sebenarnya, ia hanyalah zum digital, dengan sedikit AI ditaburkan pada gambar yang ditangkap untuk menjadikan imej kelihatan lebih tajam dan kurang noise.

Zum 1x.
Zum 120x dengan pemprosesan AI ‘Hi-Res’.
Gambar ‘RAW’ sebelum pemprosesan AI ‘Hi-Res’.

Kalau setakat zum pada bangunan yang jauh, senanglah kerja AI nak tajamkan imej.

Tapi kalau zum pada orang, mungkin ia akan bergelut sedikit. Dikhuatiri orang itu akan kelihatan seperti makhluk asing setelah diproses oleh AI.

Ketika menangkap gambar pada malam hari pula, kamera akan menggunakan mod Instant Night Sight secara automatik.

Logo butang ‘shutter’ secara automatik berubah menjadi ‘Night Sight’.

Sebenarnya, Night Sight telah pun wujud pada siri Pixel 10, tetapi kali ini, Google telah menaik taraf ciri ini pada siri Pixel 11. Google mengatakan bahawa ia mampu memproses dan menangkap gambar low-light 4.5 kali lebih pantas berbanding generasi yang lepas.

Setelah mencubanya, benar bahawa ia memproses dengan lebih pantas. Tetapi, kualiti gambar masih lagi kurang konsisten. Ia sangat bergantung kepada pemprosesan AI untuk menajamkan gambar. Sama juga dengan situasi dan suasana.

Nota: Ketika mengambil gambar juga, digalakkan untuk tidak bergerak. Anda perlu berdiri secara statik agar AI dapat memproses dan menajamkan gambar. Gerak sikit, gambar akan nampak kabur.

Gambar-gambar dari kamera swafoto kadangkala nampak baik, kadangkala nampak kurang memuaskan.

Gambar-gambar dari kamera utama juga tidak jauh beza.

Zum 1x.
Zum 5x (kamera telefoto).

Jadi, kamera-kamera telefon ini sangat bergantung kepada pemprosesan AI. Tanpa AI, siapalah dia.

Bab video pula, kamera-kamera belakang pada telefon ini masih lagi tidak dapat melawan iPhone, OPPO, dan vivo. Masih lagi ada masalah dynamic range yang tidak konsisten dan lens shifting.

Tetapi, video dari kamera swafoto amatlah baik kerana dengan dynamic range yang baik dan imej yang tajam, terasa seronok untuk merakam video dengannya. Jadi, memang sesuai bagi mereka yang suka membuat vlog.

Jadi, itu sahaja bagi telefon ini? Semestinya tidak.

Ciri-ciri Lain

Magic Capture: Dengan ciri ini, anda hanya perlu rakam video ketika suatu acara berlaku, dan AI akan mencari momen-momen terbaik dalam video tersebut.

Rupa UI ‘Magic Capture’.
Dari rakaman satu video, ia boleh mengeluarkan gambar-gambar terbaik.

Camera Looks: Ciri ini adalah bagi mereka yang ingin mengubah warna atau stail gambar yang ingin ditangkap dengan lebih lanjut sebelum gambar betul-betul ditangkap. Ibarat photographic style dalam iPhone 16 Pro dan ke atas.

Creator Suite: Ciri ini pula bagi mereka yang mencipta kandungan. Dalamnya, terdapat teleprompter, audio visualiser, speech enhancement, dan social media grid (bagi mereka yang membuat kandungan di TikTok). Diingatkan bahawa ciri ini hanya ada pada siri Pixel 11 dan ke atas sahaja.

Gemini Intelligence: Sepatutnya ciri ini berfungsi untuk mengesan data yang telah disimpan (contohnya, dalam aplikasi Google Calendar), dan ia akan memberitahu bila anda akan mempunyai kelapangan masa.

Bro, Sabtu ni free tak?

Apabila seseorang bertanya anda seperti ini, satu pop-up akan keluar.

https://wiserspace.sgp1.digitaloceanspaces.com/wp-content/uploads/2026/08/26110207/0940741a-ffed-4d9a-af13-99fe3b4db0bd.mp4

Tetapi, ciri ini hanya ada dalam aplikasi Google Messages sahaja buat masa ini. Ia tidak menyokong aplikasi lain seperti WhatsApp dan Telegram.

Sejujurnya, saya rasa ciri ini tidak akan digunakan secara meluas di Malaysia kerana majoriti menggunakan WhatsApp dan Telegram.

Pixelsnap: Bagi saya, ini adalah antara ciri yang sepatutnya ada pada majoriti jenama telefon Android pada masa kini. Ia sangat praktikal untuk melekatkan aksesori seperti pemegang kad dan powerbank wayarles.

Desktop Mode: Dengan adanya USB 3.2, bolehlah sambung telefon ini kepada sebuah monitor dan menggunakannya seolah-olah menggunakan PC. Ini tak jauh beza dengan Samsung Dex.

Apabila disambungkan USB hub…
Terpancar skrin desktop di monitor.

Face Unlock: Ciri ini menggunakan kamera swafoto untuk mengecam muka anda, tetapi disebabkan ia tidak mempunyai sensor infrared, ia hanya boleh digunakan dalam suasana yang cukup pencahayaan. Jika anda berada dalam bilik yang gelap, ia tidak akan berfungsi, dan anda akan disuruh untuk menggunakan kod laluan atau lukis corak.

Quick Share: Bagi mereka yang risau telefon ini tidak boleh ‘AirDrop’, tidak perlu risau. Dengan ciri ini, mudah untuk menghantar fail dari iPhone ke Pixel dan sebaliknya. Tak perlukan aplikasi tambahan seperti jenama Android lain.

HiLight: Ini adalah ciri yang jelas hanya satu gimik (buat masa ini). Ini kerana ia hanya boleh digunakan untuk Google Gemini Assistant dan Favourite Contacts…

‘HiLight’ beraksi. Nampak biasa sahaja…

Harapnya Google akan mengeluarkan kemas kini baharu pada masa terdekat agar ia boleh digunakan untuk aplikasi lain juga (WhatsApp, Instagram, Telegram).

Patut Beli Atau Tunggu?

Pixel 11 Pro merupakan sebuah telefon yang cukup baik dari segi hayat bateri, skrin, dan kamera (setelah diproses oleh AI).

Tetapi, masalah yang sama masih ada: Pengecasan yang tidak cukup pantas, kualiti rakaman video yang masih tidak mampu melawan telefon-telefon buatan China dan Apple, dan GPU yang masih lagi kurang berkuasa.

Apa pun, ini masih lagi sebuah telefon yang patut dipertimbangkan, hanya kerana Android asli yang sangat lancar dan tiada bloatware. Telefon ini adalah alternatif yang baik kepada iPhone, jika anda tidak berapa kisah tentang prestasi gaming.

Cip Tensor G6 juga sebenarnya sudah semakin baik. Tidak seperti awal kemunculan Tensor dahulu yang amat teruk.

Bagi yang masih lagi menggunakan telefon Pixel generasi lama seperti Google Pixel 6 dan 7, ini masa yang sesuai untuk mempertimbangkan telefon ini.

Bagi mereka yang menggunakan siri Pixel 9 dan 10 pula, anda patut tunggu sehingga Pixel 12 dikeluarkan.

Pada akhirnya, ini masih lagi sebuah telefon AI, bukanlah telefon terbaik secara keseluruhan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress