CIMB kini memperkenalkan ciri Carbon Tracker dalam aplikasi CIMB OCTO yang membolehkan pengguna melihat anggaran jejak karbon berdasarkan perbelanjaan menggunakan kad kredit dan debit CIMB.
Menerusi ciri ini, pengguna boleh mengetahui anggaran pelepasan karbon dioksida setara (CO2e) yang dikaitkan dengan transaksi harian masing-masing. Pengiraan dibuat berdasarkan nilai pembelian dan kategori pedagang, seperti makanan dan minuman, kesihatan, membeli-belah, pengangkutan serta beberapa kategori lain.
Untuk menganggarkan pelepasan tersebut, Carbon Tracker menggunakan data transaksi kad bersama faktor pelepasan karbon yang berkaitan. Pengiraannya menggunakan Mastercard Carbon Calculator yang dibangunkan dengan kerjasama Doconomy, berasaskan Åland Index.
Pengguna boleh melihat pecahan anggaran pelepasan karbon mengikut kategori perbelanjaan, memantau trend bulanan serta membandingkan purata bulanan. CIMB turut menyediakan perbandingan yang lebih mudah difahami, seperti jarak perjalanan menggunakan kereta, bilangan sesi pengecasan telefon atau bilangan anak pokok yang ditanam.
Cara aktifkan Carbon Tracker dalam aplikasi CIMB OCTO
Untuk makluman, penjejakan hanya bermula selepas pengguna memilih (opt-in) untuk mengaktifkan ciri ini. Data pula akan dikemas kini dalam tempoh tiga hari bekerja selepas transaksi yang layak direkodkan. Pengguna juga boleh melihat sehingga 12 bulan data sejarah dalam paparan trend bulanan.
Ciri ini tersedia untuk semua pemegang kad kredit dan debit CIMB yang aktif. Untuk mengaktifkannya, ikut langkah di bawah.
Cara aktifkan Carbon Tracker
Pergi ke tab "More". Di bahagian perkhidmatan, pilih "Crabon Tracker".
Tekan "Calculate My Carbon footprint".
Aktifkan toggle di bahagian atas kanan, kemudian pilih "Agree and Continue".
Selesai. Keputusan akan tersedia dalam tempoh 3 hari.
Pengguna boleh memantau pelepasan CO2e melalui dashboard ringkasan Carbon Tracker.
Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa maklumat ini bukanlah ukuran sebenar atau gambaran menyeluruh mengenai jumlah pelepasan karbon pengguna. Sebaliknya, ia merupakan anggaran untuk membantu pengguna memahami kesan alam sekitar daripada corak perbelanjaan dan membuat pilihan yang lebih rendah impak terhadap alam sekitar.
