Ulasan - Galaxy A33 5G, Spesifikasi Dengan Harga Tak Kena

Samsung telah pun melancarkan model telefon pintar terbaru bagi siri A iaitu Galaxy A33 5G dalam bulan Mac lalu.

Galaxy A33 5G dikuasakan oleh cip pemprosesan dari Samsung sendiri iaitu Exynos 1280 (2.4GHz) yang baharu, skrin Super AMOLED besar bersaiz 6.4inci dengan kadar segar 90Hz, RAM 8GB dengan storan 128GB dan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong ciri pengecasan pantas sehingga 25W.

Kapsyen: Skrin Super AMOLED Samsung A33 5G tidak perlu dipertikai kualiti paparannya. Malah menyokong ciri keselamatan imbasan cap jari.


Untuk kameranya pula, ia dilengkapi dengan kamera utama 48MP, kamera makro (5MP), kamera ultra lebar (8MP) dan kamera bokeh (2MP). Sementara kamera swafoto pula 13MP.

Kelebihan


Sebagai sebuah peranti berprestasi sederhana, Galaxy A33 5G memberikan kuasa yang seperti diharapkan.

Aplikasi dapat dijalankan dengan lancar, kualiti imej dan video yang baik serta ketahanan bateri yang mampu bertahan hampir 2 hari lamanya dengan sekali cas.

Ia hasil daripada manfaat ciri penjimatan tenaga adaptif terbina dalam peranti ini serta arkitektur 5nm Exynos 1280.



Sistem Android 12 bersama versi One UI 4.1 berjaya melancarkan lagi penggunaan peranti ini untuk aktiviti harian.

Kamera utama  48MP nya juga berkuasa di mana ia berupaya merakam video UHD 4K (3840 x 2160)/30fps serta lengkap dengan ciri penstabilan imej (OIS).

Kapsyen: Hasil fotografi makro dari kamera Galaxy A33 5G.

Kelemahan


Walaubagaimanapun, kekecewaan terbesar peminat Samsung Galaxy Siri A mungkin kerana pilihan cip pemprosesan yang menguasakan A33 ini adalah dari Exynos, bukan dari Snapdragon seperti yang diharapkan.

Malah harganya juga boleh dikatakan sebagai agak mahal bagi peranti spesifikasi sederhana di mana harga rasmi Galaxy A33 5G adalah RM1,499.00.

Untuk harga sebegitu, pastinya pengguna berpendapat adalah lebih baik mereka membeli telefon pintar yang jauh lebih murah harganya tetapi memiliki spesifikasi yang hampir sama atau lebih berkuasa berbanding Galaxy A33 5G ini.

Kapsyen: Samsung Galaxy A33 5G sudah tersedia menyokong rangkaian 5G Malaysia.

Kesimpulan


Apa yang boleh disimpulkan di sini adalah, bagi peminat tegar telefon pintar Samsung, mereka pastinya akan memilih Galaxy A33 5G.

Bukan atas faktor minat semata-mata tetapi juga kerana peminat Samsung sudah sedia maklum dengan kualiti yang diberikan untuk telefon pintar mereka. Seperti kualiti binaan, sistem operasi yang stabil serta kepuasan menggunakannya.

Namun begitu, bagi pengguna umum yang bajetnya terhad mereka pastinya berasa lebih berbaloi memiliki telefon pintar  yang harganya lebih murah tetapi mendapat spesifikasi yang hampir sama dengan Galaxy A33.

Walau apa pun ia berbalik kepada anda sendiri. Tepuk dada, tanyalah selera.

Baca juga: