Ulasan - DJI Mini 3 Pro, Terbaik Untuk 'Content Creator'

Semalam secara rasminya dron terbaru dari DJI iaitu DJI Mini 3 Pro telah dilancarkan.

DJI menyatakan, Mini 3 Pro yang hanya berat yang kurang daripada 249 gram mampu diterbangkan selama 34 minit dengan Bateri Penerbangan Pintar sekali cas.

Tetapi dengan pengenalan bateri baharu yang dikenali sebagai Bateri Penerbangan Pintar Plus pada Mini 3 Pro, ia membolehkan dron ini diterbangkan sehingga selama 47 minit.

Bateri Penerbangan Pintar Plus berkapasiti 3850mAh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 58W.

Kapsyen: DJI Mini 3 Pro bersama DJI RC.


Antara spesifikasi utama Mini 3 Pro adalah ia dilengkapi dengan kamera 48MP, bateri berkapasiti 2453mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 37W dan dilengkapi dengan 4 antena serta sistem transmisi O3 baharu yang berupaya memberikan paparan langsung 1080p yang jelas dari jarak sejauh 12 km.

Team Wiser telah diberi kesempatan untuk menguji sendiri lebih awal dron DJI Mini 3 Pro ini.

Jadi ini pendapat kami berkenaan dron terbaru DJI ini.

Kamera memang power


Kualiti rakaman video pada kualiti 4K/60fps Mini 3 Pro memang terbaik habis.

Untuk pencipta kandungan bagi pelbagai platfom media sosial, dron ini sangat sesuai bagi mereka kerana ia menyokong ciri mod potret yang memudahkan pencipta kandungan terus memuat naik rakaman ke media sosial tanpa perlu suntingan tambahan.

Kapsyen: Kamera Mini 3 Pro menggunakan sensor CMOS 1/1.3 inci.


Gimbal kamera Mini 3 Pro juga begitu lancar sekaligus memberikan rakaman video pada tahap terbaik yang pastinya anda akan sangat berpuas hati hasil rakaman dari kamera 48MP Mini 3 Pro.

Ditambah pula dengan kelebihan dongakan sehingga 60 darjah ke atas, ia memberikan satu pengalaman baharu dalam menghasilkan sinematik video mengkagumkan.

Mesra Pengguna


Hanya seberat kurang dari 250 gram, Mini 3 Pro memang senang untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Dibantu dengan saiz yang kecil boleh disumbat ke dalam poket baju sahaja, ia cukup menyenangkan.

Tetapan bagi menerbangkan dron juga cukup mudah dengan adanya bantuan aplikasi DJI Fly serta sokongan rangkaian sehingga lebih daripada 30 satelit untuk modul GPS nya (Global Positioning System).

Kapsyen: Aplikasi DJI Fly terbina dalam alat kawalan jauh terbaru DJI RC serta Mini 3 Pro memudahkan sesiapa sahaja menerbangkannya.


Jadi, walaupun anda seorang pengguna yang baru nak berjinak-jinak dengan dron, menerbangkan Mini 3 Pro tidak akan memberikan kesulitan kepada anda.

Unit yang diterima kami juga disertakan dengan alat kawalan jauh baharu iaitu DJI RC yang dilengkapi dengan skrin sentuh terbina dalam bersaiz 5.5 inci.

Jadi, pengguna tak perlu lagi bergantung kepada telefon pintar sebagai pengawal dron mereka.

Kipas Lebih Senyap


Satu perkara yang kami perasan agak ketara berbeza dan menarik pada DJI Mini 3 Pro ini adalah bunyi kipasnya yang lebih senyap berbanding model-model dron DJI yang lain.

Kapsyen: Salutan getah baharu yang diaplikasikan dihujung kipas Mini 3 Pro mungkin penyebab bunyi kipas dron ini lebih senyap apabila diterbangkan.


Jadi nak menerbangkan dron ni rasa lebih selesa dan tak rasa bimbang kerana bunyi dron tersebut yang rendah tidak akan menjengkelkan orang sekeliling.

Mod Malam Lebih Cun


Satu lagi kelebihan yang ada pada DJI Mini 3 Pro ini adalah keupayaan rakaman mod malamnya yang lebih cun berbanding model-model dron DJI yang lain.

Kapsyen: DJI menambah baik mod malam menerusi Mini 3 Pro.


Kelebihan ini pastinya menjadikan Mini 3 Pro sebagai pilihan utama bagi penggemar dron yang gemar merakam imej dan video malam.

Kesimpulan


Selepas beberapa hari menguji sendiri dron DJI Mini 3 Pro ini, kami boleh simpulkan bahawa Mini 3 Pro dihasilkan secara khusus untuk pencipta kandungan.

Sama ada mereka yang sudah mahir dengan dron mahupun yang baru nak berjinak-jinak dalam lapangan ini.



Kelebihan bersaiz kecil dan seringan 249 gram sahaja memudahkan pengguna membawa dron mereka bersama apabila keluar negara.

Terutamanya negara-negara yang menetapkan had berat dron lebih daripada 250 gram di mana ia perlu didaftarkan bagi membolehkan dron itu dibawa masuk ke dalam negara tersebut.



DJI Mini 3 Pro sudah pun boleh dipra tempah melalui platfom Lazada dan Shopee.

Harga jualan rasmi bagi seunit dron DJI Mini 3 Pro adalah RM3,399.00.

Untuk info lanjut spesifikasi penuh DJI Mini 3 Pro , layari laman rasmi https://www.dji.com/dji-mini-3-pro.