Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
UK Akan Sekat Akses Media Sosial Lepas Tengah Malam Untuk Remaja 16 Dan 17 tahun

UK Akan Sekat Akses Media Sosial Lepas Tengah Malam Untuk Remaja 16 Dan 17 tahun

Diterbitkan Julai 15, 2026 ยท Dikemas kini Julai 15, 2026 oleh ariff bukhari

Kerajaan UK pada Selasa memaklumkan bahawa ia akan memperkenalkan perintah berkurung media sosial pada waktu malam untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun, selepas Perdana Menteri Keir Starmer mengumumkan larangan media sosial bagi golongan bawah 16 tahun pada bulan lepas.

Dalam tindakan tegas terbaharu mengehadkan akses kanak-kanak kepada aplikasi yang mencetuskan ketagihan, kerajaan menyatakan perintah berkurung untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun pada platform seperti Instagram dan Facebook akan berkuat kuasa antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Kerajaan juga mengumumkan rancangan untuk menetapkan mod lalai (default) yang akan menyahaktifkan ciri-ciri ketagihan seperti skrol tanpa had (infinite scrolling) untuk golongan remaja yang lebih berusia.

Bagaimanapun, pengguna masih boleh mematikan tetapan tersebut secara manual, yang mana pengkritik menyifatkan langkah berkenaan sebagai tidak berkesan.

Setakat ini, kaedah penguatkuasaan bagi perubahan ini masih belum jelas.

Bulan lalu, UK menjadi negara terbaharu yang mengharamkan laman media sosial termasuk Snapchat, TikTok, YouTube, Instagram, dan Facebook bagi golongan bawah 16 tahun, melalui pelan perubahan yang dijadualkan berkuat kuasa pada awal 2027.

“Walaupun golongan muda mendapat lebih kebebasan apabila menginjak usia 16 tahun, mereka masih perlu dilindungi daripada ciri dalam talian yang paling menagihkan yang boleh memberi impak buruk kepada kesejahteraan mereka,” kata Menteri Teknologi, Liz Kendall dalam satu kenyataan.

“Langkah-langkah ini amat penting dalam membantu golongan muda mendapatkan tidur yang mencukupi, fokus pada sekolah dan kolej, serta meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.”

Langkah tersebut turut merangkumi kawalan terhadap penggunaan bot sembang kecerdasan buatan (AI) yang akan mewajibkan pengguna bawah 18 tahun untuk berehat secara berkala semasa menggunakan platform tersebut.

Walaupun beberapa badan kebajikan kanak-kanak menyambut baik reformasi ini sebagai perlindungan yang sudah lama tertangguh, sebahagian yang lain memberi amaran bahawa ia boleh menyebabkan kanak-kanak menggunakan internet dengan cara yang tidak selamat.

Pada Disember lalu, Australia menjadi negara pertama yang mengharamkan golongan bawah 16 tahun daripada media sosial, satu tindakan yang menyaksikan kejayaan bercampur-campur.

Kanada dan UAE adalah antara negara lain yang telah mengumumkan larangan serupa, manakala Indonesia mula menguatkuasakan larangannya bagi pengguna bawah 16 tahun pada Mac lalu.

– AFP

Berkaitan

  • Australia Kuat Kuasakan Larangan Akaun Media Sosial Pengguna Bawah 16 Tahun
  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Larangan Media Sosial Bawah 16 Tahun Di Indonesia Mula Berkuat Kuasa
  • Semakin Banyak Negara Mula Haramkan Media Sosial Untuk Kanak-kanak

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY