Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Gajet Bukan “Babysitter” Buat Kanak-Kanak

Semakin Banyak Negara Mula Haramkan Media Sosial Untuk Kanak-kanak

Diterbitkan Julai 13, 2026 ยท Dikemas kini Julai 13, 2026 oleh ariff bukhari

Rancangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengawal selia akses kanak-kanak kepada media Sosial menyusuli pelaksanaan atau cadangan langkah serupa di seluruh dunia.

Senarai ini kini merangkumi lebih daripada 20 buah negara, termasuk lima buah negara yang sudah pun menguatkuasakan sekatan tersebut, menurut kiraan AFP.

Bagi kebanyakan negara, langkah ini masih sangat baharu dan menyasarkan kanak-kanak di bawah umur 15 atau 16 tahun.

Satu jawatankuasa pakar dijadualkan mengemukakan syor mereka kepada Suruhanjaya Eropah pada hari Isnin ini mengenai potensi pelaksanaan larangan media sosial untuk kanak-kanak di 27 buah negara anggota EU.

Sekatan yang Telah Dilaksanakan

Media sosial telah diharamkan untuk golongan bawah 16 tahun di Australia sejak Disember 2025.

Sementara itu, Brazil memperkenalkan undang-undang pada Mac lalu yang mewajibkan platform menghubungkan akaun pengguna bawah 16 tahun dengan akaun ibu bapa mereka, di samping memerlukan platform mengesahkan usia pengguna.

Di China, di mana rangkaian internet dikawal ketat oleh kerajaan, akses kanak-kanak bawah umur kepada media sosial telah disekat secara berperingkat sejak 2019.

Langkah awal mengenakan had masa dan waktu perintah berkurung untuk permainan dalam talian, sebelum sekatan serupa diperluaskan kepada platform media sosial dan penstriman pada tahun 2023.

Indonesia telah mengharamkan media sosial untuk golongan bawah 16 tahun sejak Mac lalu, dan Malaysia turut mengambil pendekatan serupa dengan perundangan yang mula berkuat kuasa pada Jun lalu bagi menyekat golongan bawah 16 tahun daripada platform utama.

Turki bakal menyertai senarai ini selepas meluluskan undang-undang untuk menyekat golongan bawah 15 tahun daripada media sosial pada April. Undang-undang tersebut dijangka berkuat kuasa pada akhir tahun 2026.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mengumumkan larangan media sosial untuk golongan bawah 15 tahun pada bulan lepas, dengan pelaksanaan dijadualkan dalam tempoh sekitar setahun lagi.

Sekatan yang Telah Diumumkan

Di peringkat EU, kerajaan Greece mengumumkan pada awal April bahawa mereka berhasrat untuk mengharamkan akses media sosial bagi golongan bawah 15 tahun bermula 1 Januari 2027.

Austria dan Slovenia juga sedang menyediakan perundangan untuk melarang akses masing-masing bagi golongan bawah 14 dan 15 tahun.

Di Jerman, di mana Canselor Friedrich Merz menyokong sekatan atau pengharaman terus media sosial untuk kanak-kanak, sebuah komisen pakar telah mencadangkan dua pilihan: larangan mengikut peringkat umur atau sekatan khusus mengikut platform.

Debat serupa sedang berlangsung di Sweden, di mana sebuah komisen kerajaan telah mencadangkan pengharaman media sosial untuk golongan bawah 15 tahun menjelang awal 2028.

Kerajaan Ireland pula memberi amaran bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang sendiri sekiranya tiada keputusan kolektif daripada EU.

Di Denmark, kerajaan mengumumkan pada Oktober 2025 bahawa ia akan mencadangkan pengharaman “beberapa platform media sosial” untuk golongan bawah 15 tahun.

Di luar EU, kerajaan Norway akan membentangkan rang undang-undang menjelang akhir tahun ini untuk mengharamkan akses bagi mereka yang berumur di bawah 16 tahun.

United Kingdom (UK) pula sedang merancang untuk mengharamkan media sosial bagi golongan bawah 16 tahun menjelang awal 2027.

Kanada juga mahu menetapkan had umur minimum untuk penggunaan media sosial pada usia 16 tahun.

Beberapa negeri di India sedang mempertimbangkan sekatan untuk kanak-kanak, dan pihak kerajaan menyatakan mereka sedang mengadakan perbincangan dengan pihak platform mengenai langkah-langkah yang berpotensi.

Dalam Pertimbangan

Cadangan untuk mengharamkan media sosial bagi kanak-kanak bawah 15 tahun kini sedang diteliti di parlimen Perancis. Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly) meluluskan rang undang-undang itu pada bacaan pertama pada Januari, namun Senat kemudiannya meminda draf tersebut untuk menyasarkan platform yang paling berbahaya sahaja, sekali gus mencetuskan kebimbangan di Brussels.

Versi akhir perundangan ini dijangka siap dalam beberapa minggu akan datang, dengan harapan kerajaan ia dapat dikuatkuasakan pada September.

Portugal sedang mempertimbangkan rang undang-undang yang akan menetapkan umur 16 tahun untuk akses bebas ke platform, perkhidmatan, permainan, dan aplikasi.

Sepanyol telah mencadangkan peningkatan had umur minimum untuk mendaftar di platform media sosial daripada 14 tahun kepada 16 tahun.

Di Itali, parlimen sedang menimbangkan undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. – AFP

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Agensi Kesihatan Sweden Syorkan Kanak-Kanak Bawah 13 Tahun Tidak Diberi Telefon Pintar
  • Matikan Segera Tetapan Instagram Ini, Meta AI Benarkan Sesiapa Saja Guna Wajah Anda

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY