Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Turkiye Hidupkan Semula Roti Purba Berusia Lebih 5,000 Tahun

Posted on Mei 28, 2025Mei 28, 2025

Di bawah lantai sebuah rumah, satu sejarah telah dibangkitkan semula dari secebis roti hangus yang terkubur sejak Zaman Gangsa yang dianggarkan berusia lebih 5,000 tahun.

Hari ini, di bandar Eskisehir, Turkiye, roti itu yang ditemui pada September 2024 itu bukan sahaja dipamerkan di muzium, tetapi juga kini menjadi hidangan masyarakat setempat.

Segalanya bermula di tapak arkeologi Kulluoba, apabila sekumpulan ahli arkeologi menemui seketul roti bulat dan leper, sebesar tapak tangan, yang hampir sempurna bentuknya.

Tidak seperti cebisan roti yang biasa ditemui dalam aktiviti penggalian, roti ini terpelihara dengan baik kerana ia telah terbakar dan tertanam dalam upacara yang dipercayai simbol kemakmuran ketika rumah baharu didirikan.

“Biasanya, kami cuma temui serpihan. Tapi kali ini, kami menemui keseluruhan roti. Ia seolah-olah ditinggalkan sebagai satu ritual keberkatan,” Murat Turkteki, ketua pasukan arkeologi.

Foto menunjukkan roti Kulluoba, roti berusia 5,000 tahun yang ditemui dalam penggalian arkeologi di wilayah Eskisehir, di tengah Turkiye, yang dipamerkan di muzium arkeologi ETI Eskisehir, pada 23 Mei 2025. (Photo oleh Yasin AKGUL / AFP)

Terinspirasi oleh penemuan itu, Datuk Bandar Eskisehir, Ayse Unluce, mencetuskan idea untuk menghidupkan semula resepi purba ini.

Hasil kajian mendalam mendapati, roti itu dibuat menggunakan tepung gandum emmer, lentil dan sejenis tumbuhan yang bertindak sebagai yis semula jadi.

Walaupun biji gandum emmer sudah pupus di Turkiye, pasukan penyelidik berjaya menghasilkan versi moden dengan menggunakan gandum kuno Kavilca, bulgur dan lentil.

Kini, di kedai roti milik komuniti “Halk Ekmek” (bermaksud “Roti Rakyat” dalam bahasa Turkiye), roti yang dipanggil sebagai “Kulluoba” (nama diambil bersempena tapak lokasi ia ditemui) itu dihasilkan secara manual sebanyak 300 roti setiap hari yang dijual pada harga 50 lira Turki (~RM7.50) seketul.

Gambar ini menunjukkan roti Kulluoba yang dimasak hasil penemuan ke atas roti berusia 5,000 tahun yang ditemui dalam penggalian arkeologi di wilayah Eskisehir. (Photo oleh Yasin AKGUL / AFP)

Tanpa bahan pengawet, rendah gluten, dan padat khasiat, roti ini cepat menjadi rebutan di mana ia habis terjual dalam masa beberapa jam sahaja selepas dilancarkan.

“Saya datang awal sebab takut kehabisan. Saya sangat ingin rasa bagaimana roti zaman dahulu,” Suzan Kuru, seorang pelanggan yang teruja untuk merasai roti purba itu.

Namun, roti ini bukan sekadar nostalgia rasa, tapi menjadi simbol harapan masa depan di mana Eskisehir kini berdepan kemarau, dan kerajaan tempatan melihat Kavilca sebagai tanaman masa depan yang tahan lasak dan kurang bergantung pada air.

“Leluhur kita memberi isyarat. Dalam menghadapi krisis iklim, kita perlu beralih kepada tanaman yang lebih lestari,” Ayse Unluce, Datuk Bandar Eskisehir.

{suggest}

Sumber: AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress