Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Tips Memilih GPU Laptop Gaming Terbaik, Dari RTX 5050 Hingga RTX 5090

Posted on Julai 17, 2026Julai 17, 2026

Memiliki laptop gaming idaman pasti menggembirakan namun jika tersalah pilih ia akan mengecewakan.

Salah satu perkakasan yang paling utama dalam sesebuah laptop gaming sudah tentulah GPU.

Namun, memilih Unit Pemprosesan Grafik (GPU) atau kad grafik yang betul adalah amat penting kerana, GPU menentukan kelancaran permainan, kualiti visual, dan jangka hayat laptop anda untuk jangka masa panjang.

Jadi, bagi memudahkan pilihan anda, di sini dikongsikan beberapa tips penting yang perlu dipertimbangkan berdasarkan siri NVIDIA GeForce RTX 50:

1. Kenali Hierarki GPU

  • Kelas Permulaan (RTX 5050)

Model dalam siri RTX 5050, kad grafik ini dikategorikan sebagai kelas permulaan.

Ia biasanya dimuatkan dalam laptop gaming berprestasi pada harga bajet di mana ia sesuai untuk mereka yang mahukan teknologi generasi terkini (Siri RTX 50) tanpa perlu berbelanja besar.

RTX 5050 memberikan prestasi 1080p untuk permainan harian atau e-sukan dengan  menampilkan banyak ciri RTX dan DLSS terkini bagi siri 50 terbaharu untuk imbangan kadar bingkai (framerate) yang baik.

Model MSI Cyborg 15 ini adalah contoh laptop gaming yang dipacu pemproses Intel Core i5 serta GPU RTX 5050 pada harga sekitar RM4,000 sahaja.
  • Kelas Pertengahan (RTX 5060, 5070 & 5070 Ti)

Barisan Siri RTX 50 ini menawarkan prestasi permainan 1080p yang lebih lancar.

Peningkatan kepada siri RTX 5070/5070 Ti akan memberi kuasa tambahan untuk mengendalikan resolusi yang lebih tinggi seperti 1440p dengan tetapan grafik tinggi.

Ia merupakan pilihan yang terbaik dan bernilai tinggi jika anda mahukan laptop dengan prestasi yang mantap dalam permainan lengkap dengan semua ciri terkini dan paling penting masih tidak begitu membebankan bajet anda.

ASUS TUF Gaming F16 adalah antara model laptop dengan pilihan GPU RTX 5060, 5070 atau 5070Ti yang boleh dimiliki pada harga sekitar RM6,000.
  • Kelas Premium (RTX 5080 & 5090)

Bagi mereka yang berbajet besar, laptop gaming dengan RTX 5080 dan ke atas pastinya menjadi pilihan utama.

Siri RTX 50 ini menawarkan memori VRAM 16GB yang besar untuk game berat (AAA) dengan ray tracing pada skrin 1440p.

Manakala RTX 5090 menduduki kasta tertinggi dalam hierarki perkakasan laptop kini.

Ia direka khusus untuk pengguna yang mahukan prestasi mutlak tanpa had untuk bermain permainan dalam resolusi 4K serta tetapan grafik tertinggi dengan lancar.

Acer Predator Helios 18 ini adalah antara model laptop dengan GPU NVIDIA® GeForce RTX™ 5090 serta perkakasan lain yang berspesifikasi tinggi di mana harganya boleh mencecah lebih RM20,000.

2. Padankan dengan Jenis Game Anda

Tidak semestinya anda perlu memiliki laptop berharga berbelas atau puluhan ribu untuk pengalaman gaming terbaik.

Ia berbalik kepada jenis game yang anda minat untuk menentukan GPU yang anda perlukan.

Sebagai contoh, game ringan seperti Valorant atau Fortnite sudah memadai dimainkan pada laptop dengan RTX 5050 atau 5060.

Namun, jika anda peminat tegar game dunia terbuka yang berat seperti Assassin’s Creed Shadows atau Cyberpunk 2077, anda memerlukan GPU kelas atas (RTX 5070 Ti ke atas) demi visual yang memukau dan lebih utama lagi ia “kalis masa depan” (future proof).

Ringkasnya, spesifikasi terbaik laptop gaming anda bergantung pada jenis permainan yang anda main.

3. Perhatikan Spesifikasi Skrin Laptop

Selain itu, had tetapan resolusi dan kadar segar semula (refresh rate) skrin laptop turut menentukan potensi GPU.

Sebagai contoh, GPU peringkat yang lebih tinggi boleh memberikan lebih banyak bingkai pada panel 240Hz atau 300Hz.

Ia memberikan anda kejelasan gerakan yang lebih lancar dan permainan yang lebih responsif untuk permainan yang kompetitif.

Skrin refresh rate tinggi (cth: 300Hz) memerlukan GPU berkuasa untuk menyalurkan bingkai yang cukup demi kelancaran visual.

Sebaliknya, skrin premium 4K memerlukan padanan minimum RTX 5080 atau 5090 agar kualiti visual tidak tersangkut-sangkut.

Jika anda mementingkan visual permainan sinematik dan terperinci, laptop berprestasi tinggi seperti ROG Strix SCAR 18 adalah pilihan terbaik yang ada ketika ini kerana skrin premiumnya mampu memaparkan grafik berkualiti tinggi dan kesan HDR yang memukau dengan sempurna.

4. Fahami Faktor TGP (Total Graphics Power)

Berapa banyak watt yang boleh digunakan oleh GPU anda?

Dua laptop dengan GPU yang sama tidak semestinya mempunyai prestasi yang serupa.

Laptop yang lebih tebal (seperti ROG Strix SCAR) mempunyai TGP (kuasa watt) yang lebih tinggi kerana sistem penyejukan yang besar, membolehkan GPU berfungsi pada tahap maksimum.

Sebaliknya, laptop dengan rekaan nipis pula mengehadkan TGP demi kecekapan tenaga dan fleksibiliti untuk mudah alih.

Bahasa mudahnya, memahami TGP membantu anda memilih gaya laptop yang paling sesuai dengan cara dan tempat anda bermain.

Model seperti ROG Zephyrus G16 yang beratnya kurang dari 2kg (1.86kg) boleh dianggap sebagai laptop gaming mudah alih.

Kesimpulan

Tidak semestinya laptop dengan spesifikasi yang paling berkuasa dan paling mahal harganya adalah yang terbaik untuk anda.

Pilih laptop dengan GPU yang bersesuaian dengan bajet anda, jenis game yang dimainkan, serta gaya hidup anda, sama ada mahukan prestasi maksimum atau kemudahan untuk dibawa ke mana-mana.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress