Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Tim Cook Sah Akan Berundur Sebagai CEO Apple, Digantikan John Ternus

Posted on April 21, 2026April 21, 2026

Apple mengumumkan ketua perkakasannya, John Ternus, akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, menggantikan Tim Cook yang akan beralih kepada peranan Pengerusi Eksekutif.

Menurut Apple, peralihan ini telah diluluskan sebulat suara oleh Lembaga Pengarah sebagai sebahagian daripada perancangan penggantian jangka panjang yang telah disusun dengan teliti.

Cook akan terus memegang jawatan CEO sepanjang musim panas, dengan Ternus bakal menyertai Lembaga Pengarah Apple dan mengambil alih tugas tersebut secara rasmi pada 1 September 2026.

Sebagai Pengerusi Eksekutif, Cook akan membantu dalam beberapa aspek strategik syarikat, termasuk berinteraksi dengan pembuat dasar di peringkat global.

“Ini merupakan penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk menjadi CEO Apple dan diberi kepercayaan memimpin sebuah syarikat yang luar biasa. Saya amat menyayangi Apple sepenuh hati, dan saya sangat bersyukur berpeluang bekerja bersama pasukan yang begitu bijak, inovatif, kreatif serta penuh keprihatinan, yang sentiasa komited untuk memperkayakan kehidupan pelanggan kami dan menghasilkan produk serta perkhidmatan terbaik di dunia,” kata Tim Cook.

Tambah beliau, Ternus merupakan individu paling tepat untuk menerajui Apple, dengan sumbangan besar sepanjang lebih 25 tahun bersama syarikat itu.

“Saya amat bersyukur atas peluang untuk meneruskan misi Apple. Sepanjang hampir keseluruhan kerjaya saya di Apple, saya berpeluang bekerja di bawah kepimpinan Steve Jobs dan mendapat bimbingan daripada Tim Cook. Ia satu penghormatan untuk terlibat dalam pembangunan produk dan pengalaman yang telah mengubah cara kita berinteraksi dengan dunia dan antara satu sama lain,” kata Ternus.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap masa depan Apple, dengan sokongan pasukan yang disifatkan sebagai antara paling berbakat di dunia, serta komited untuk terus membangunkan sesuatu yang lebih besar.

Untuk rekod, Cook menyertai Apple pada 1998 sebelum dilantik sebagai CEO pada 2011. Di bawah kepimpinannya, Apple memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk kategori baharu Apple Watch, AirPods dan Apple Vision Pro, serta perkhidmatan seperti iCloud, Apple Pay, Apple TV dan Apple Music.

Sepanjang tempoh tersebut, nilai pasaran Apple meningkat daripada sekitar AS$350 bilion kepada AS$4 trilion, manakala hasil tahunan hampir meningkat empat kali ganda. Apple kini beroperasi di lebih 200 negara dan wilayah, dengan lebih 500 kedai runcit serta pangkalan peranti aktif melebihi 2.5 bilion unit.

Ternus pula menyertai Apple pada 2001 dalam pasukan reka bentuk produk sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Kejuruteraan Perkakasan pada 2013.  Beliau kemudian menyertai pasukan eksekutif pada 2021 dan memainkan peranan penting dalam pembangunan pelbagai produk utama termasuk iPad, AirPods, serta beberapa generasi iPhone, Mac dan Apple Watch.

Dalam perkembangan sama, Arthur Levinson yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi bukan eksekutif selama 15 tahun akan beralih menjadi pengarah bebas utama bermula 1 September 2026.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress