Amazon hari ini mengumumkan perjanjian penggabungan muktamad untuk mengambil alih syarikat satelit Globalstar, sebagai langkah bagi membolehkan perkhidmatan Amazon Leo menawarkan sambungan terus ke peranti pengguna.
Melalui pengambilalihan ini, Amazon akan memperoleh akses kepada satelit Globalstar, spektrum frekuensi radio serta kepakaran operasinya. Gabungan ini juga membolehkan Amazon Leo memperkenalkan perkhidmatan Direct-to-Device (D2D) dalam rangkaian satelit orbit Bumi rendah (LEO), sekali gus membantu pengendali rangkaian mudah alih meluaskan perkhidmatan suara, teks dan data kepada pengguna yang berada di luar liputan rangkaian selular terestrial.
Amazon is acquiring @Globalstar to support our long-term vision for Amazon Leo.
The agreement will allow us to build a next-generation direct-to-device constellation that connects to Leo first- and second-generation systems, forming a unified network to connect hundreds of… pic.twitter.com/uzba7V9RSa
— Amazon Leo (@Amazonleo) April 14, 2026
Dalam masa sama, Amazon turut mengumumkan perjanjian jangka panjang dengan Apple bagi menyokong perkhidmatan satelit untuk iPhone dan Apple Watch. Antaranya termasuk ciri SOS Kecemasan, penghantaran mesej, Find My serta bantuan tepi jalan melalui satelit.
Amazon memaklumkan ia akan terus menyokong model iPhone dan Apple Watch sedia ada yang menggunakan rangkaian satelit Globalstar, termasuk rangkaian semasa dan yang bakal dilancarkan. Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan Apple untuk membangunkan perkhidmatan satelit masa hadapan berasaskan rangkaian Amazon Leo yang diperluas.
Nilai pengambilalihan tidak didedahkan secara rasmi, namun berdasarkan harga tawaran sekitar AS$90 sesaham, laporan Reuters menyebut nilainya dianggarkan mencecah kira-kira AS$11.57 bilion.
Perjanjian ini dijangka dimuktamadkan pada 2027, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia serta pencapaian beberapa sasaran operasi oleh Globalstar.
Sekiranya berjalan lancar, Amazon menyasarkan pelancaran perkhidmatan Leo D2D seawal 2028, yang membolehkan telefon kekal berhubung di luar liputan selular.
{suggest}
