Tiada MFi Untuk USB-C iPhone, Ini Sebabnya

Apple sudah mula menggantikan port Lightning untuk iPhone mereka dengan USB-C bermula dari siri iPhone 15. Bagi mereka yang tertanya-tanya ada atau tidak kabel USB-C iPhone 15 dengan perakuan MFi, jawapannya adalah tidak.



Tiada perakuan MFi untuk aksesori kabel USB-C bagi siri iPhone 15 sepertimana yang telah disahkan oleh Arstechnica yang menyatakan "Kami boleh mengesahkan bahawa laporan awal ini (ura-ura USB-C dengan perakuan MFi) adalah tidak betul dan iPhone mempunyai port USB-C standard sepenuhnya yang berfungsi dengan baik dengan semua kabel, pengecas dan aksesori yang mematuhi USB 3 dan USB-PD (Penghantaran Kuasa) sedia ada, sama seperti peranti Apple yang lain."

Ini tidak menghairankan kerana, Apple sendiri pun sebenarnya sudah lama menggunakan port USB-C sejak sekian lama untuk produk mereka yang lain sejak 2015 lagi seperti Macbook Retina 12 inci (2015), iPad mini Gen-6 (2021), iPad Gen-10 (2022) dan iPad Air Gen-4 (2020).

Kapsyen: Macbook Retina 12 inci (2015) adalah produk pertama Apple dilengkapi port USB-C.


Sepanjang tempoh itu, Apple tidak pernah menyatakan keperluan perakuan MFi untuk kabel USB-C pada peranti mereka.

Malah dalam stor rasmi Apple sendiri ada menjual aksesori kabel USB-C pihak ketiga dan ia tidak pun menyatakan bahawa ia ada 'perakuan' MFi.

Kapsyen: Kabel USB-C pihak ketiga dari mophie yang dijual di stor rasmi Apple sendiri tidak menyatakan bahawa ia ada perakuan MFi.


Jadi di sini adalah selamat untuk menyatakan bahawa sebarang kabel USB-C ke USB-C adalah selamat untuk disambungkan bersama siri iPhone 15.

Cuma sebaiknya, dapatkanlah kabel yang berkualiti dari pihak ketiga. Biar sedikit mahal tapi diyakini kualitinya.

Malah, bagi memanfaatkan sepenuhnya kelajuan pindahan data USB-C berkelajuan sehingga 10Gbps pada iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max, Apple jelas menyatakan bahawa ia perlu menggunakan jenis kabel USB-C 3 dan ke atas.





{suggest}

Sumber: Ars Technica

Berkaitan