Sony Semiconductor Solutions dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) kini mengumumkan bahawa kedua-duanya telah memeterai perjanjian muktamad bagi menubuhkan sebuah usaha sama (JV) di Jepun untuk membangunkan serta mengeluarkan sensor imej generasi baharu bagi telefon pintar.
JV yang dikenali sebagai Advanced Vision Semiconductor Manufacturing Corporation itu akan beroperasi di Bandar Koshi, Wilayah Kumamoto, Jepun, dengan pengeluaran sensor imej secara besar-besaran dijangka bermula pada 2029.
Di bawah perjanjian tersebut, Sony akan menjadi pemegang saham kawalan tunggal, dengan JV tersebut dirancang untuk beroperasi sebagai anak syarikat dalam kumpulan Sony Group Corporation. Sony juga dijangka melantik Pengarah Perwakilan bagi syarikat berkenaan.
Dari segi pelaburan, Sony merancang menyumbang kira-kira 465 bilion yen (~RM11.93 bilion) melalui gabungan sumbangan tunai dan pemindahan aset, manakala TSMC akan menyumbang kira-kira 282 bilion yen (~RM7.24 bilion) dalam bentuk tunai. Sumbangan modal itu akan dibuat secara berperingkat berdasarkan permintaan pasaran dan keadaan perniagaan.
Dalam kerjasama ini, Sony akan memainkan peranan utama dalam pembangunan teknologi teras sensor imej, selain perancangan dan reka bentuk produk. TSMC pula akan menyumbangkan teknologi proses pembuatan termaju serta kepakarannya dalam pembuatan bagi menyokong pembangunan dan pengeluaran sensor imej secara besar-besaran.
Kedua-dua syarikat menyasarkan kerjasama ini dapat mempercepatkan pengkomersialan produk sensor imej berdasarkan keperluan pelanggan, selain memperkukuh kapasiti pembuatan serta pembangunan teknologi.
Pada masa sama, pelaburan tambahan yang diperlukan untuk mencapai kapasiti pengeluaran yang dirancang juga sedang dipertimbangkan dengan mengambil kira sokongan daripada kerajaan Jepun.
Bagaimanapun, penubuhan JV dan penyelesaian transaksi masih tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang diperlukan serta beberapa syarat penutupan lain.
{suggest}
