Sony Pening Kepala Untuk Letak Harga Jualan PS5

Sejak PlayStation 5 disahkan kehadirannya, rata-rata daripada peminat mula berteka-teki tentang harga jualan konsol terbabit.

Bakal memuatkan sejumlah ciri terbaik seperti teknologi ray tracing dan memori SSD, spekulasi mula kedengaran dengan memperkatakan harga jualannya mungkin berpatutan. Tidak kurang juga ada yang meramal edisi terbaru ini akan lebih mahal dari keluaran sebelumnya.

Ketika mana kita rungsing dengan harga, Sony turut dilaporkan bergelut dalam meletakkan nilai jualan yang sesuai untuk konsol berkenaan. Menurut laporan Bloomberg, kos penghasilan PS5 adalah $450 (~RM1864) seunit. Jika dibandingkan dengan PS4 yang dilancarkan pada 2013, kos penghasilannya dianggarkan pada nilai $381 (~RM1578) dan dipasarkan pada $399 (~RM1652). Di Malaysia, PS4 dijual pada harga bermula RM1799.

Antara faktor utama peningkatan kos adalah disebabkan persaingan dalam mendapatkan memori DRAM dan NAND yang juga digunakan pada industri telefon pintar. Selain daripada itu, penggunaan sistem penyejukan yang lebih mahal turut digunapakai pada PS5.

Jika Sony menggunakan strategi pemasaran seperti konsol terdahulu, berkemungkinan harga jualan PS5 akan bermula sekitar $470 (~RM1947) dan keatas.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Sony mungkin menunggu pesaing mereka, Microsoft, mengumumkan harga bagi Xbox Series X terlebih dahulu. Kedua-dua konsol, PS5 dan Xbox Series X dijangka pelancarannya sekitar hujung tahun ini.

Sumber: Bloomberg