Sony Mengesahkan Pelancaran Konsol PlayStation 5 Pada Tahun 2020

PlayStation 5. Cuti akhir tahun 2020.

Sony akhirnya mengesahkan nama akhir untuk konsol seterusnya, PlayStation 5 dan akan hadir pada tahun hadapan. Mengenai teknologi terkini, PS5 akan dilengkapi dengan tindak balas haptik baharu seumpama 3D Touch pada model iPhone yang terdahulu.

Selain itu, alat kawalan PS5 juga menerima kemaskini dengan dilengkapi teknologi 'adaptive trigger' ke dalam butang L2/R2. Bersama-sama dengan tindak balas haptik, kedua-dua penambahan teknologi ini membolehkan pengguna merasakan pengalaman bermain yang lebih mengasyikkan.

Alat kawalan PS5 juga akan menyokong USB-C, bateri yang lebih besar dan pembesar suara yang dikemaskini.

Mengenai perkakas, ia akan dimuatkan dengan teknologi ray tracing dan juga SSD. Sony juga mengatakan bahawa permainan yang dipasang akan mengambil ruang memori yang sedikit disebabkan penambahbaikan kelajuan SSD dalam membaca data berbanding konsol sebelumnya.

Kesemua permainan diwajibkan untuk dipasang ke dalam SSD untuk dimainkan walaupun PS5 ada juga menyokong ruang untuk cakera Blu-ray.

Antara lain adalah Sony mengalu-alukan pecahan pemasangan permainan kepada pembangun, di mana anda boleh hanya memasang komponen multi-pemain ataupun hanya memasang komponen kempen seorang pemain sahaja.

Sebelum ini, PS5 disahkan akan mempunyai 8 teras CPU, GPU kustom berasaskan AMD Radeon Navi, "3D Audio", sokongan permainan 8K, sokongan 4K pada 120hz, penggunaan kuasa yang lebih rendah, sokongan permainan PS4 dan juga penambahan SSD yang sangat laju.

Sumber: PlayStation Blog, The Verge, Wired

Berkaitan