Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara digital paling maju di rantau Asia Pasifik apabila disenaraikan dalam kelompok negara “Advanced”.
Menerusi laporan Closing the Mobile Connectivity Gap in Developing Asia and the Pacific oleh GSMA Intelligence, laporan tersebut meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang berjaya mempercepatkan transformasi digital melalui liputan rangkaian mudah alih yang meluas, penggunaan internet yang tinggi serta pelaksanaan dasar digital yang berkesan.
Malah, Malaysia dan negara jiran, Thailand terserlah apabila disenarai sebagai negara digital dengan pengguna utama rangkaian 4G dan 5G di rantau Asia selepas menyaksikan peningkatan ketara dalam penggunaan data.
Daripada purata 5 gigabait (GB) sahaja bagi setiap sambungan pada tahun 2020, ia meningkat mendadak kepada 13 GB bagi setiap sambungan pada tahun 2025.
Ia sekali gus meletakkan Malaysia dan Thailand tergolong dalam kalangan 10 negara dengan penggunaan data mudah alih tertinggi di dunia.

GSMA Intelligence menyatakan, pencapaian ini banyak didorong oleh pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Kerajaan Malaysia yang bermula pada tahun 2020.
“Program ini menyumbang kepada penambahbaikan infrastruktur dan penerimagunaan dengan mempermudah proses kelulusan, menyelaraskan peraturan persekutuan dan negeri, melaksanakan rangkaian teras berbilang pengendali (melibatkan enam pihak) bagi membolehkan perkongsian infrastruktur secara pasif dan aktif, serta menyediakan pembiayaan awam untuk kawasan yang kurang mendapat liputan.”
Selain itu, kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pemain industri turut memainkan peranan penting dalam memperluas akses internet kepada rakyat.

Permintaan terhadap penstriman video, media sosial, permainan dalam talian dan aplikasi digital harian terus meningkatkan penggunaan data mudah alih, menjadikan negara ini antara peneraju penggunaan internet mudah alih di rantau ini.
Dalam masa sama, Malaysia turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI).
Penubuhan National AI Office mencerminkan kesungguhan negara untuk menarik pelaburan, menggalakkan inovasi dan memperkukuh ekosistem digital yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi baharu.
Walau bagaimanapun, laporan tersebut menegaskan bahawa masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian.
Antaranya termasuk meningkatkan kemahiran digital rakyat, memastikan perkhidmatan dan peranti kekal mampu milik, serta memperkukuh aspek keselamatan siber dan kepercayaan pengguna terhadap platform digital.
